PANDU UJI : Ford Mondeo

By  |  0 Comments

Mondeo_Ext_04

Keseluruhan : Prestasi enjin, pengendalian dan imejnya memang seiring sejalan. Masing-masing tampil dengan keunikan dan kehebatan yang tersendiri yang pastinya begitu menyenangkan.

Kelebihan : Enjinnya cepat memberikan respons yang cukup bagus dan optimum serta sangat bersesuaian dengan pemanduan secara agresif mahu pun sekadar fun driving.

Kelemahan : Agak sukar untuk menebak kelemahan yang ada pada Mondeo ini. Kerana ia kelihatan begitu sempurna penghasilannya. Malah prestasinya juga bagai tiada cacat cela.

Perasaan teruja untuk memandu Ford Mondeo ini membuak-buak apabila menerima respons dari ramai kenalan dan pembaca yang ingin mengetahui ulasannya.

Lantas peluang memandu uji Mondeo selama empat hari diambil sepenuhnya. Memilih untuk merentasi Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke bumi Hang Tuah untuk berkelana seketika sambil melenjan Mondeo sebaik mungkin.

Mondeo dikuasakan oleh enjin 2.0L EcoBoost® Ford yang berupaya menjana kuasa mengagumkan mencecah 240PS pada 5,300 rpm dan tork puncak 345Nm pada 2,300 rpm.

Prestasinya memang tidak pernah menghampakan. Malah lonjakan kuasanya pantas dan tidak teragak-agak untuk beraksi apabila diperlukan tanpa mengerahkan enjin bergerak lebih.

Enjin penuh berkuasa ini turut menerima kerjasama secara optimum dengan transmisi automatik SelectShift enam-kelajuan. Ternyata Mondeo ini mudah untuk dijinakkan tidak kira apa juga gaya pemanduan, sama ada agresif atau pun sekadar fun driving.

Mondeo_Ext_36

Keselesaan pemanduannya memang cukup menyerlah dan tidak terasa jentera dipacu dalam kelajuan yang tinggi terutamanya bila membelah lebuh raya. Melihat sahaja jarum meter menghampiri angka 190 km/j, kaki mula memperlahankan rentak kawalan pendikit.

Bayangkan dalam hanya 7.9 saat, Mondeo mampu mencapai kelajuan dari 0-100 km/j. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 240km/j.

Bertambah teruja apabila memandu dengan memilih mod manual sambil ‘bermain-main’ paddle shifter terutamanya ketika melenjan di selekoh atau jalan berliku. Kedudukan gear mudah ditukar dengan lancar, dan inilah teknologi yang diolah oleh Ford yang diinspirasikan daripada jentera lumba.

Kombinasi sistem pengecas turbo, pancitan terus bahan api dan pemasaan aci sesondol boleh ubah bebas berkembar (twin independent variable camshaft timing, Ti-VCT) pada enjin EcoBoost® Ford menawarkan penjimatan bahan api sehingga 8L/100km2. Sekali gus mampu memberikan kombinasi kuasa dan penjimatan yang tiada tandingannya.

Mondeo turut sarat dengan pelbagai teknologi pintar. Antaranya, Kawlaan Kelajuan Adaptif untuk menawarkan pemanduan yang lebih pintar dan selamat. Di mana sistem ini mengenal pasti kelajuan kenderaan melalui satu alat pengesan yang akan mengimbas keadaan trafik di hadapan dan mengemas kini kedudukan kenderaan sepantas 20 kali sesaat.

Tidak lengkap dengan itu, Mondeo ini juga dipenuhi dengan pakej keselamatan yang komprehensif termasuk Lane Keeping Aid Ford akan mengesan sekiranya pemandu memandu keluar dari laluan mereka secara tidak sengaja dengan memantau garis pada jalan raya.

Mondeo_Ext_38

Ia kemudian memberi amaran kepada pemandu dengan menggetarkan stereng. Jika masalah sama terus berulang, sistem yang canggih ini akan membawa pemandu kembali ke laluan yang betul dengan mengenakan kuasa tork pada stereng, dengan syarat indikator telah dipasang.

Malah ia turut dilengkapi dengan kamera belakang yang membolehkan pemandu dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku di bahagian belakang kenderaan. Sementara bunyi ‘beep’ yang dikeluarkan oleh alat pengesan parkir memberitahu jarak kenderaan kepada pemandu. Sistem ini juga memperlahankan muzik bagi membolehkan pemandu mendengar isyarat ‘beep’ dengan lebih jelas.

Selain itu, aspek keselamatan lain yang turut dipadankan dengan Mondeo baharu ini ialah tujuh beg udara, ABS, EBD, ESC, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki dan cagak ISOFIX.

Mondeo baharu ini memiliki ukuran yang bersesuaian iaitu 4,871 mm panjang, 1,852 mm lebar, dan setinggi 1,486 mm, manakala jarak rodanya pula ialah 2,850 mm.

Konklusinya, pemanduan dan pengendalian Mondeo boleh dikatakan memang cukup sempurna. Tiada apa yang boleh dipertikaikan kerana segala elemen yang ada padanya memang cukup responsif, malah boleh dikatakan terbaik dalam kelasnya.

Berkaitan dengan imej yang dipertaruhkan, sentuhan sedikit moden dan sporty membuatkan jentera ini mudah menarik perhatian mata.

Ia dilihat memiliki profil sebuah jentera sport coupe menerusi garis bumbung yang rendah. Profil sisinya pula direka supaya kelihatan menarik dari segi visualnya.

Reka bentuk bahagian hadapan yang elegan dan teknikal nyata menyerlah dengan gril berbentuk trapezoidal, bonet serta rekaan lampu utama yang nipis dan dipotong menggunakan lazer.

Ia turut dipadankan dengan rim aloi lima-jejari berganda bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar Michelin Primacy 3 235/50.

Teknologi canggih pada Mondeo diteruskan kepada lampu utama LED sepenuhnya itu digabungkan dengan sistem lampu hadapan adaptif Ford untuk meningkatkan pandangan pemandu ke kawasan sekelilingnya.

Bergantung kepada kelajuan kenderaan, sudut stereng dan jarak dengan objek di hadapan, sistem ini berfungsi meningkatkan tahap pandangan dengan cara menilai cahaya di sekelilingnya. Salah satu teknologi menarik yang diterapkan pada Mondeo baharu ini.

Mondeo_Ext_22

Ketika melalui jalan yang gelap dan kurang familiar dengan keadaan jalan, sistem lampu hadapan adaptif sebegini sangat membantu melancarkan pemanduan.

Elemen penuh sofistikated dan elegan menjalari segenap ruang bahagian kabin. Terrasa seperti berada di dalam sebuah kokpit. Ia tampil dengan rekaan simetrikal yang mudah diakses oleh pemandu dan penumpang hadapan.

Ia turut menampilkan sejumlah teknologi pintar, termasuklah ciri MyKey® Ford yang eksklusif. Di mana ia membolehkan pemandu memprogramkan kunci tersebut dengan beberapa tetapan seperti menetapkan had kelajuan maksimum, amaran pemakaian tali pinggang keledar dan volum maksimum sistem audio.

Sistem sambungan SYNC 2 Ford merangkumi sebuah skrin sentuh berwarna lebih besar bersaiz lapan inci untuk mengoperasikan sistem hiburan, pendingin hawa dan telefon menggunakan arahan suara yang intuitif. Dengan teknologi skrin sentuh dan bebas tangan yang termaju pada Mondeo baharu, pemandu boleh mematuhi peraturan jalan raya dan kekal berhubung.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kawalan kelajuan adaptif, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik dua-zon, brek parkir elektronik, tempat duduk, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, tempat duduk pemandu dengan 10 cara pelarasan serta corong penghawa dingin pada tempat duduk penumpang belakang.

Mondeo_Int_25

Ruang kabinnya juga luas dan cukup selesa. Ia mampu memuatkan lima penumpang dalam satu masa. Manakala ruang kargonya pula memiliki kapasiti sehingga 557 litres.

Dengan tag harga atas jalan RM198,000, pemilikan Mondeo baharu ini ternyata sangat berbaloi dan merupakan pilihan yang bijak bagi sedan premium ini.

Mondeo baharu hadir bersama Pelan Servis Lanjutan Ford (ESP) untuk menawarkan ketenangan minda kepada para pelanggannya. ESP Ford adalah program penyelenggaraan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 60,000km yang meliputi kos alat ganti dan buruh secara percuma.

Selain pemeriksaan dan servis penyelenggaraan rutin, ESP Ford turut merangkumi penggantian alat-alat ganti seperti palam pencucuh, penyerap hentak, tali sawat enjin, pad brek dan penggilap cermin.

Spesifikasi :
Enjin : 2.0 liter 16-injap, DOHC, suntikan terus bahan api, pengecas turbo dengan variable valve timing
Kuasa maksimum : 237 hp @ 5,300 rpm
Tork maksimum : 345 Nm @ 2,300 rpm
Transmisi : Automatik SelectShift 6-kelajuan
Sistem suspensi : Topang MacPherson (hadapan) & Multi-link (belakang)
Kapasiti tangki bahan api : 62 liter
Pilihan warna : Tectonic Silver, Frozen White, Panther Black & Ruby Red
Harga : RM198,000 (atau RM203,771 termasuk insurans)

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *