Mitsubishi Attrage bukan sebarangan sedan

By  |  10 Comments

Attrage33

Harga bahan api sedunia yang tidak menentu sejak kebelakangan ini turut mendorong orang ramai mencari sebuah kenderaan yang mampu memberikan penjimatan belanjawan yang lebih optimum. Justeru, syarikat pengeluar kenderaan dunia juga tidak ketinggalan di dalam menghasilkan model-model kenderaan yang menepati kehendak pasaran termasuklah dalam soal penjimatan bahan api yang efisien.

Selain daripada kenderaan hibrid dan kenderaan elektrik (EV), enjin konversional masih menjadi pilihan ramai terutamanya yang gigih menawarkan penjimatan bahan api, boleh dipercayai dan sudah pasti mampu milik. Menyedari hakikat ini, Mitsubishi juga tidak mahu melepaskan peluang dengan memperkenalkan model sedan baharu, Mitsubishi Attrage yang menepati kriteria yang diperlukan pada zaman ini.

Attrage29

Pada 12 November 2013 lalu, Attrage telah pun diperkenalkan di pasaran Malaysia dengan tiga varian iaitu GL (manual lima kelajuan) serta dua lagi model tampil dengan transmisi CVT INVECS-III iaitu GS dan SE (spesifikasi tertinggi).

Ketiga-tiga varian Attrage ini dijanakan oleh enjin MIVEC 1.2 liter, tiga silinder sebaris, 12-injap dan DOHC. Berkeupaya menyalurkan kuasa maksimum sehingga 80 PS pada 6,000 rpm dan puncak tork 106 Nm pada 4,000 rpm.

Sekilas pandang, Attrage boleh diibaratkan sebagai model Mirage versi sedan iaitu telah dipanjangkan saiznya. Tetapi sebenarnya ia diproduksi berdasarkan model sedan Concept G4 yang pernah dipamerkan di Bangkok Motor Show pada Mac tahun lalu.

Attrage36

Hujung minggu lalu, penulis telah diberikan peluang untuk memandu uji Attrage varian GS ini. Ia merupakan peluang kali kedua selepas pernah mengujinya buat beberapa jam di Litar Bangkok pada tahun lalu.

Pasti ada yang memandang rendah akan model sedan ini kerana ia hanya menawarkan kapasiti enjin yang kecil. Tidak dinafikan, Attrage memang diproduksi untuk kenderaan yang lebih sesuai digunakan di bandar, tetapi ini tidak bermakna prestasinya harus dipandang enteng.

Walau pun enjinnya hanya 1.2 liter, tetapi prestasi Attrage tidak mengecewakan. Penulis berkesempatan mengujinya di jalan bandar, jalan kampung dan lebuh raya. Ia menghasilkan pemanduan yang santai tetapi jika inginkan sedikit kerahan tenaga, Attrage masih berkeupayaan dipecut dengan mudah sehingga mencapai 150km/j.

Malah jika mahu memotong kenderaan lain, ia juga masih berkuasa dan tidak menghampakan. Cuma jika melalui jalan berbukit, pedal pendikit harus ditekan lebih bagi mengarahkan enjinnya memuntahkan kuasa sehabis mungkin.

Attrage52

Inilah kelebihan yang ada pada enjin MIVEC ciptaan Mitsubishi. Biarpun ia tampil dengan enjin berkapasiti kecil seperti Attrage namun kuasa prestasinya tidak mengecewakan. Malah penulis juga cukup teruja ketika mengendalikan Attrage ini kerana ia menggabungkan pemanduan yang santai tetapi masih cekap prestasinya. Enjin MIVEC bukan sahaja menyerlahkan prestasi yang mengagumkan, malah membantu memberikan kuasa yang efisien setiap masa.

Bukan sahaja soal enjin, malah transmisi CVT yang diterapkan boleh dipuji. Pertukaran gear secara automatik juga lancar dan tidak terasa kesan sentakan. Ia mampu membuatkan jentera dipacu lancar dengan momentum kelajuan tersendiri. Sekali gus memudahkan lagi pengendalian.

Attrage21

Tetapi jika memaksa ia dipacu lebih keras, bunyi enjinnya dapat didengar lebih jelas meresepi bahagian kabin. Namun, ia tidak mengganggu fokus pemanduan kerana memang sudah terbukti bahawa Attrage lebih sesuai untuk pemanduan santai, bukannya agresif.

Mengenai soal pengendaliannya pula, sistem suspensinya wajar menerima pujian. Di mana kolaborasi antara suspensi topang MacPherson pada roda hadapan dan torsion beam di belakang membuatkan kerangka Attrage lebih tegar. Sekali gus memberikan kestabilan yang optimum buat jentera ini biar pun dipacu pada kelajuan yang sedikit tinggi.

Malahan, olengan badannya juga berada pada tahap sederhana dan tidak mengurangkan kadar keselesaan buat penumpang terutamanya yang duduk di bahagian belakang.

Stereng berkuasa elektronik (EPA) juga mudah dikendalikan mengikut arah pemanduan yang diingini. Ia tidak berat dan juga tidak ringan, membuatkan Attrage senang dikendalikan termasuklah ketika melalui jalan berliku atau pun jika mahu membuat pusingan U (dengan jejari pusingan minima 4.8 meter).

Manakala sistem brek standard yang digunakan iaitu Ventilated Disc pada bahagian hadapan dan Drum untuk belakang memberikan tindak balas yang sewajarnya ketika diperlukan.

Mitsubishi sangat menekankan penjimatan bahan api yang efisien buat Attrage. Malah dikenali sebagai sebuah kereta sedan Eco, Attrage yang hanya seberat di antara 905kg (875kg untuk varian GL) ini dikatakan sebagai paling ringan dalam segmen-B.

Dengan kombinasi enjin 1.2 liter dan beratnya membolehkan Attrage memperoleh bacaan penggunaan api yang mengagumkan iaitu 21km untuk setiap liter berdasarkan ujian New European Driving Cycle (NDEC). Ia dikatakan sebagai catatan terbaik bagi kenderaan di bawah segmen yang sama.

Walau bagaimana pun penggunaan bahan api yang sebenarnya turut dipengaruhi oleh corak pemanduan. Jika anda mengamalkan corak pemanduan santai, maka sudah tentu penjimatan bahan api dapat dikecapi. Tetapi seandainya anda memandu secara agresif dan memanjang hendak laju sahaja, pastinya ia akan melibatkan penggunaan bahan api yang banyak.

Kesemua varian Attrage dilengkapi dengan aspek keselamatan seperti beg udara berkembar, ABS, EBD dan tali pinggang keselamatan pra-regangan.

Mengenai rekaan luaran dan dalamannya, apa yang ditampilkan sekadar yang begitu diperlukan terutamanya untuk varian GL dan GS. Melainkan varian SE, ia tampil dengan kit badan yang lebih sporty dengan beberapa elemen tambahan lain.

Bahagian hadapan varian GS dilengkapi dengan jeriji krom yang menampakkan ciri elegan untuk sedan Eco ini. Dengan logo kebanggaan Mitsubishi di bahagian tengah jerigi, turut dilengkapi lampu utama dan lampu kabus bersama rekaan yang moden. Manakala cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik turut dilengkapi dengan lampu indikator.

Rim aloi bersaiz 15 inci yang turut menjadi pilihan memberikan penampilan yang sporty dengan menawarkan pengendalian lebih dinamik.

Attrage16

Bahagian kabin varian GS ini juga sederhana dengan papan pemuka yang juga tampil ringkas. Tiada sebarang butang kawalan terletak pada roda stereng. Tetapi didatangkan dengan elemen tambahan seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear, penghawa dingin automatik digital dan alat kawalan pembuka but. Manakala tempat duduk balutan fabrik berwarna hitam menjadi pilihan.

Dengan saiz kerangka 4,245mm (panjang), 1,670mm (lebar) dan 1,515mm (tinggi), Attrage turut menawarkan ruang yang lebih luas dan selesa. Bagi ruang kargo pula, ia mampu memuatkan barangan sehingga 450 liter.

Dengan lima warna pilihan kerangka iaitu biru, merah metalik, kelabu gelap, perak dan putih mutiara, harga yang ditawarkan untuk varian GS sangat berpatutan iaitu RM69.980. Manakala bagi varian GL pula ialah RM60,980 dan RM77,980 bagi SE. Ia adalah harga atas jalan berserta insurans dan setiap pembelian bakal menerima tiga tahun atau 100,000km jaminan (yang mana terdahulu) dan juga servis percuma selama setahun.

Spesifikasi :


Enjin : 1.2 liter MIVEC 3-silinder sebaris, 12-injap, DOHC

Transmisi : Manual 5-kelajuan atau CVT

Kuasa maksimum :80PS @ 6,000rpm

Tork maksimum : 106Nm @ 4,000rpm

Kapasiti tangki bahan api : 42 liter

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

10 Comments

  1. asri shamsudin

    February 16, 2015 at 10:12 pm

    Salam…..sy antara pemilik attrage tp yg 2nd spec…mmg tidak megecewakn…mnyk jimat…dr jb hingga ke mersing…rm 20 sahaja..mmg keta ni utk family bukn utk speed tp pada kaki speed,sy rekemen,lancer j speck.rasa sendiri.

    • hazlina

      April 17, 2015 at 1:12 pm

      mudah tak untuk maintain attrage ni? jika perlu replacement, senang tak utk sparepart didapati?

  2. radzi

    November 12, 2015 at 7:09 pm

    Mudah saja, mantain attrage ni service setiap 10 ribu km, spare part mudah didapati… kalau perlu order pun dlm 2 – 3 hari sampai la

    • ZALEKHA

      August 2, 2016 at 3:37 pm

      Attrage boleh tk servis di kedai servis biasa.

  3. asri abdullah

    December 2, 2015 at 7:47 pm

    Saya tertarik kpd Attrage dan Mirage,dah ada MPV dan Viva,mana patut saya pilih.

    • Izwaashura Sadali

      December 2, 2015 at 8:52 pm

      Salam sejahtera,

      Kalau anda memerlukan kereta bersaiz kecil, Mirage lebih sesuai. Sebaliknya, jika memerlukan kereta sedan sederhana,pastinya Attrage pilihan terbaik.

  4. siti

    January 17, 2016 at 11:07 pm

    Sy ingin bertanya, mahal tak spare part untuk mitsubishi mirage? Dari segi kualiti antara mitsubishi mirage dan perodua axia yg mane lebih baik memandangkan dua2 compact car

  5. ZALEKHA

    August 2, 2016 at 3:38 pm

    boleh servis attrage di kedai servis kereta biasa

  6. Ruslin

    January 7, 2017 at 4:51 pm

    Saya baru beli attrage 2016…tp pengunaaan minyak tak sampai spt di war warkn 21km/L. Da bawa ke servic centre tp masi sama. Best ride hanya skitar 16…17km/L

  7. Ruslin

    January 7, 2017 at 4:54 pm

    Saya baru beli attrage 2016…tp pengunaaan minyak tak sampai spt di war warkn 21km/L. Da bawa ke servic centre tp masi sama. Best ride hanya skitar 16…17km/L.
    Bole bantu ke permasalahan ni…da 2x bawa ke servic centre. Seminggu selepas beli n 3mngu slps beli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *