PANDU UJI : Mitsubishi Triton 2015

By  |  0 Comments

TritonMediaDrive_03

Keseluruhan : Banyak perubahan yang lebih signifikan ditampilkan pada barisan Triton 2015. Ia lebih seronok dipandu, malah cukup menyenangkan dari segi pengendalian.

Kelebihan : Butang 4WD Selector lebih mudah dikendalikan, malah sistem pacuan semua-roda bagi Triton 2015 ini lebih responsif. Enjin VGT yang dipertingkatkan ini juga lebih ‘ummpph’ berbanding model lama. Dan sistem suspensi dengan talaan baru juga memberikan lebih kestabilan dan kemantapan dalam pengendalian.

Kekurangan : Clutch Bitting Point bagi VGT MT agak jauh ke dalam dengan klac yang agak keras. Manakala VGT Adventure dan VGT AT pula, prestasi enjin dan transmisi automatik lima-kelajuan seakan kurang bergandingan dengan cukup baik, melainkan pilih mod Sport dengan penggunaan pedal penukar gear/tuil gear sepenuhnya untuk respons yang lebih pantas.

TritonMediaDrive_28

Pada 26 Mei lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan barisan terbaharu untuk Triton 2015. Ia ditampilkan dengan lima varian iaitu VGT Adventure, VGT AT, VGT MT, MT dan Quest.

Untuk Triton generasi kelima ini, Infokereta.com telah memandu uji tiga varian iaitu VGT Adventure, VGT AT dan VGT MT. Di mana penulis telah mengikuti konvoi Triton 2015 anjuran MMM bersama sekumpulan wakil media permotoran dari Saujana Subang menuju ke Pulau Pinang.

Menurut pengamatan penulis, ketiga-tiganya memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri yang akan dihuraikan satu-persatu menerusi ulasan pandu uji ini.

TritonMediaDrive_133

Bagi varian-varian tersebut, ia telah dipadankan dengan penjana kuasa Mitsubishi yang telah dipertingkatkan iaitu 2.5 liter VGT empat-silinder turbodiesel. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 178 PS pada 4,000 rpm. Manakala tork puncak dipertingkatkan daripada 350 Nm ke 400 Nm pada 2,000 hingga 3,500 rpm.

Di mana VGT atau Variable Geometry Turbo yang diperkenalkan pada generasi sebelumnya, telah pun dipertingkatkan bagi menyalurkan kuasa yang tiada tandingan bersama pengecas turbo terkini. Ia boleh menyalurkan kuasa turbo dalam apa jua kelajuan. Malahan turut membantu meningkatkan lagi kuasa pendikit dan dalam masa yang sama memberi penggunaan bahan api yang efisien.

Malah ketika dalam kelajuan yang rendah, VGT ini dikatakan mampu menambah pengeluaran kuasa dan meminimakan turbo lag. Namun jika dalam kelajuan yang tinggi, VGT membantu memaksimumkan pengecasan turbo untuk kuasa dan tork yang lebih tinggi.

Dengan enjin yang dipertingkatkan ini, ia memang tidak lokek untuk menyalurkan kuasa yang dikehendaki. Apatah lagi dengan adanya saluran tambahan dengan pengecas turbo, prestasinya jarang menghampakan.

TritonMediaDrive_37

Menurut MMM, kapasiti enjin yang dipadankan ini sudah mencukupi dan tidak perlulah meletakkan enjin yang lebih besar untuk barisan Triton 2015 ini. Alasan yang relevan, cuma ada sesetengah keadaan yang membuatkan jentera ini sedikit lambat untuk memuntahkan kuasanya. Ini termasuklah ketika melalui laluan berbukit dan mahu memotong kenderaan lain.

Dalam keadaan ini, tenaga enjin memang perlu dikerah supaya lebih bekerja keras, maka tekanan pada pedal pendikit dipergunakan sebaik mungkin.

Namun bagi VGT MT, padanan transmisi manual dengan lima-kelajuan ternyata lebih memuaskan. Bagi penulis, transmisi manual lebih cekap dan lancar bekerjasama dengan enjin. Malah ia memang seiringan dengan corak pemanduan.

Cuma yang kurang menyenangkan, unit manual yang dipandu ini memiliki sedikit kekurangan di mana clutch biting point agak ke dalam. Sudahlah terasa klacnya agak keras sedikit, bila clutch biting point agak ke dalam, memang boleh menyebabkan kaki cepat sakit. Apatah bila terpaksa bermain-main dengan klac terutamanya sewaktu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mengeluh juga dibuatnya sebab sakit kaki!

Tapi menurut MMM, clutch biting point ini boleh dikonfigurasi semula untuk keselesaan pemanduan yang lebih optimum.

Seperti mana yang penulis nyatakan, secara peribadinya, penulis lebih menyenangi varian manual ini. Ia juga seakan lebih responsif dengan pergerakan enjin, malah mampu memberikan prestasi yang lebih memberangsangkan. Ia terasa lebih berkuasa apabila melepasi 3,500 rpm dan boleh mencecah kelajuan melebih 160 km/j.

Ada sedikit rasa yang agak ‘kurang’ bagi varian VGT Adventure dan VGT AT yang dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan. Ia seakan memerlukan RPM yang agak tinggi (melebihi 3,500 rpm) untuk mendapatkan kuasa enjin yang lebih responsif. Jika di bawah 3,000 rpm, kuasa enjin tidak begitu memuaskan.

TritonMediaDrive_55

Melainkan, guna mod Sport dengan pedal penukar gear, maka anjakan gear lebih cepat dan sekali gus membantu meningkatkan respons enjin. Secara tidak langsung, membuatkan pemanduan lebih menyeronokkan terutamanya ketika melayan selekoh-selekoh di jalan raya. Tetapi hanya varian VGT Adventure yang ada pedal penukar gear. Bagi varian VGT AT, mod Sport digunakan dengan kawalan tuil gear biasa.

Selain memandu di lebuh raya, konvoi ini turut melibatkan jalan kampung dan apa yang paling menyeronokkan, sempat melenjannya di kawasan off-road iaitu di daerah Ulu Slim, Perak termasuklah menyeberangi anak sungai.

Percubaan mengendalikan varian VGT AT tidaklah sesukar mana ketika melibatkan pemanduan off-road. Jika merentasi laluan yang agak sukar, gunakan butang kawalan 4WD Selector sama ada mod 2L, 4L atau 4H mengikut kesesuaian laluan.

Bagi mod 2L dan 4H, ia boleh ditukar ketika jentera dipandu dalam kelajuan sehingga 100km/j. Manakala bagi 4L, jentera perlu diberhentikan terlebih dahulu sebelum mod ini ditukar. Malah mod 4L ini boleh digunakan di antara 1,500 hingga 2,000 rpm dalam kelajuan antara 10 hingga 20km/h. Dan ia sangat sesuai digunakan jika merentasi laluan yang sukar termasuk permukaan jalan yang licin.

Penjana kuasa 4WD dengan mod 4L turut bergabung tenaga dengan Hybrid Limited Slip Differential (LSD) untuk pengendalian yang lebih optimum.

Penulis merasakan butang kawalan 4WD Selector yang ditampilkan bagi Triton baharu ini lebih menyenangkan berbanding tuil gear 4WD pada model sebelumnya. Malah sistem pacuan semua-roda ini juga terasa lebih responsif, sekali gus memudahkan pengendalian jentera ketika merentasi cabaran off-road.

TritonMediaDrive_74

Mengenai sistem brek, gabungan Ventilated Disc untuk bahagian belakang dan Leading & Trailing Drum pada belakang memang berpadanan. Namun mungkin disebabkan unit pandu uji ini masih baharu, terasa sedikit ‘jerking’ terutamanya ketika brek dilepaskan secara mendadak.

Manakala bagi sistem suspensinya, padanan Independent-Wishbone dengan gegelung spring di bahagian hadapan dan untuk belakang pula Elliptic Leaf Spring, boleh dikatakan cukup berpadanan. Selalunya, jika jentera sebegini kurang dimuatkan dengan bebanan, akan mudah terasa bumpy terutamanya ketike meluncur di lebuh raya atau jalan biasa.

Namun bagi Triton 2015, perkara ini agak minimal dirasai. Sekali gus mengurangkan kesan olengan badan kecuali jika melalui permukaan jalan yang beralun atau pun melayan selekoh dengan kelajuan yang agak tinggi.

Biasanya penulis mudah terkena ‘kinetosis’ atau travel/motion sickness jika menaiki kenderaan sebegini (jika bukan sebagai pemandu). Namun mujur juga perkara ini tidak dialami. Ternyata Triton 2015 memang memberikan keselesaan yang optimum termasuk pada para penumpang.

Bagi Triton 2015 ini, ia turut dipadankan dengan casis yang lebih mantap dengan rekaan aerodinamik yang lebih baik bagi kestabilan pengendalian dan kuasa cengkaman yang lebih optimum. Di mana ia boleh disesuaikan dengan apa jua corak permukaan jalan sama ada on- atau off-road.

Memudahkan lagi pengendaliannya, ia turut dipadankan dengan tilt & telescopic steering iaitu yang pertama bagi segmen trak pikap. Di mana roda sterengnya boleh dilaraskan untuk keselesaan pemandu.

Bagi ketiga-tiga varian ini (termasuk varian MT 4×4 kecuali Quest MT 4×2), ia memiliki ukuran keseluruhan bersaiz 5,280 mm panjang, 1,815 mm lebar, 1,780 mm tinggi dan jarak rodanya pula 3,000 mm.

Walau pun ia sebuah trak pikap, ia bukanlah sukar untuk dikendalikan. Ia memiliki jejari pusingan minimum 5.9m bagi varian 4WD (5.7m untuk 2WD) dan ini tidak menyulitkan untuk membuat pusingan U.

Bagi jarak terendah dengan tanah atau ground clearance pula ialah 205 mm (minimum). Jadi setakat hendak meredah anak sungai yang cetek atau tidak begitu dalam, memang tidak mendatangkan masalah.

Sememangnya perubahan yang besar bukan sahaja dilakukan pada enjin, sistem suspensi yang ditala semula dan juga sistem pacuan empat-roda yang dipertingkatkan, malah imej yang ditampilkan juga lebih menarik dan sedap mata memandang.

Dengan imej yang lebih maskulin, sporty dan agresif, pastinya menjadi antara daya tarikan utama Triton 2015 ini. Lihat sahaja bahagian hadapan pikap ini, kehadiran gril 3D bersama kekemasan krom dengan rekaan hud yang sporty cukup menyerlahkan gayanya.

Bagi varian VGT Adventure, ia menampilkan lampu utama auto Xenon HID dengan lampu nyalaan siang (DRL). Bagi lain-lain varian, hanya dipadankan dengan lampu utama halogen multi-refletor tanpa DRL.

Menambahkan lagi gayanya, VGT Adventure, VGT AT dan VGT manual juga dilengkapi dengan lampu kabus, bampar pemijak belakang serta perumah cermin sisi krom dengan indikator.

VGT Adventure pula dipadankan dengan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 245/65 R17, manakala VGT AT dan VGT MT pula dengan rim aloi 16-inci berserta tayar 245/70 R16.

Rekaan yang bersifat aerodinamik juga jelas kelihatan pada bahagian sisi pikap ini. Ia mampu memberikan seretan angin sehingga 0.42Cd iaitu terbaik di dalam kelasnya. Sekali gus memberikan penjimatan bahan api, kuasa pendikit yang lebih jitu dan juga mengurangkan bunyi angin dari meresap masuk ke dalam kabin.

Dengan teknologi penuh inovatif J-Line, ruang kabin juga ternyata lebih luas dan selesa. Ia juga memberikan lebihan ruang untuk kargo.

Bagi bahagian kabinnya juga menampilkan perubahan yang agak besar dan jauh berbeza berbanding model terdahulu.

VGT Adventure dan VGT AT turut dilengkapi dengan butang penghidup enjin, sistem audio enam-pembesar suara dengan skrin sesentuh bersama fungsi pemain CD, MP3 serta sambungan USB

Dan tambahan untuk VGT Adventure yang memiliki Arahan Suara dan kamera undur. Manakala varian lain pula hanya sistem audio dengan fungsi 1-DIN CD, MP3, AUX, USB dan empat-pembesar suara.

VGT Adventure juga tampil dengan zon-berkembar penghawa dingin (hanya automatik bagi VGT AT/MT), roda stereng tiga-jejari balutan kulit dengan kawalan audio, Bluetooth dan Arahan Suara serta kawalan kelajuan.

Varian VGT AT dan VGT MT juga ditampilkan dengan roda stereng tiga-jejari balutan kulit dengan kawalan audio sahaja.

Bagi tempat duduk pula, VGT Adventure dibaluti material kulit dan hanya fabrik bagi varian lain.

Bagi aspek keselamatan pula, Triton 2015 ini turut didatangkan dengan ABS, EBD, pengesan undur, Isofix, dua beg udara dan 3-poin tali pinggang keledar dengan pra-tekanan/pengehad bebanan.

Triton 2015 ini didatangkan dengan pilihan warna termasuk Pearl White dan Shadow Black untuk semua varian (kecuali MT & Quest yang tiada warna hitam), Sterling Silver (untuk VGT AT, VGT MT, MT & Quest sahaja) dan dua warna tambahan untuk VGT Adventure iaitu Earth Green serta Red Solid.

Mitsubishi Triton 2015 ini ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans, termasuk GST) RM108,274 bagi varian VGT Adventure, Triton VGT AT (RM98,550), Triton VGT MT (RM92,115), Triton MT (RM83,163) dan Triton Quest (RM67,604).

Ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) bagi setiap pembelian model Triton 2015 ini. Selain itu, ia juga ditawarkan dengan dua tahun servis percuma.

Spesifikasi :
Enjin : 2.5L DOHC 16V DI-D Common Rail VGT Intercooler
Kuasa maksimum : 178 PS @ 4,000 rpm
Tork maksimum : 400 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi : Auto 5-kelajuan/manual 5-kelajuan
Kapasiti tangki bahan api : 75 liter

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *