Audi A6 sedan facelift dilancarkan – Varian 1.8 TFSI & 3.0 TFSI quattro

By  |  0 Comments

Audi_A6_1

Satu lagi model kenderaan menawan yang dilancarkan pada suku ketiga tahun ini ialah Audi A6 sedan baharu. Keputusan Audi Malaysia untuk melancarkan Audi A6 sedan terbaharu ini dilihat tepat pada masanya kerana sambutan terhadap model keluaran Jerman ini boleh dikatakan memberangsangkan.

Tampil dengan dua varian iaitu A6 1.8 TFSI dan A6 3.0 TFSI quattro, Audi A6 baharu ini telah dinaik taraf serta digandingkan dengan pelbagai elemen yang terkini.

Pengarah Urusan Audi Malaysia, Immo Buschmann berkata, “Dengan pembinaan yang terdiri daripada aluminium komposit ringan terbaharu, casis dinamik, enjin yang cekap serta sistem multimedia yang terkini, Audi A6 baharu ini telah menetapkan piawaian kenderaan kelas bisnes yang lebih tinggi.”

Bagi A6 1.8 TFSI yang lebih efisien, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 190 hp pada 4,200-6,200 rpm serta tork setinggi 320 Nm pada 1,400-4,100 rpm. Ini membolehkan ia dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 7.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 233km/j.

Manakala A6 3.0 TFSI quattro pula, lonjakan kuasanya lebih menguja iaitu 333 hp pada 5,300-6,500 rpm dan maksimum tork yang mampu dicapai pula ialah 440 Nm pada 2,900-5,300 rpm. Hamburan kuasa dan tork ini mampu membuatkan varian ini dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 5.1 saat. Ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250km/j.

Audi_A6_2

Kedua-dua varian turut dipadankan dengan transmisi S tronic tujuh-kelajuan.

Imej yang ditampilkan untuk luaran dan dalaman pastinya turut menjadi daya tarikan utama. Bahagian luarannya ditampilkan dengan gril Singleframe yang lebih luas dengan kekemasan krom bagi menampakkan sudut yang lebih anggun.

Sudut lain yang turut dinaik taraf termasuklah saluran udara, bampar, sills sisi, lampu belakang, lampu tailpipes dan lampu utama. Ia digabungkan dengan ciri penuh estetik serta menyerlahkan lagi imej yang dipertaruhkan.

Bagi A6 1.8 TFSI, bahagian luarannya dipadankan dengan lampu utama Xenon auto, lampu belakang LED dan high-beam assistant. Manakala A6 3.0 TFSI quattro dilengkapi dengan lampu utama LED, high-beam assistant, lampu belakang LED dengan indikator dinamik, kamera pandang belakang dan pembuka ruang storan belakang auto.

Untuk bahagian kabin pula, kedua-dua varian dilengkapi dengan 4-zon penghawa dingin auto, kawalan kelajuan, pakej pencahayaan luaran & dalaman, perehat tangan bahagian tengah hadapan, tempat duduk balutan kulit Milano, kekemasan dalaman sutera dan 4-pelarasan sokongan lumbar.

Namun bagi sistem hiburan dan komunikasi, A6 1.8 TFSI dilengkapi dengan radio MMI berserta paparan berwarna bersaiz 6.5 inci, pemain CD, pembaca kad memori SDHC, menyokong format MP3, WMA dan AAC serta sistem bunyi 6-saluran amplifier Audi serta 10 pembesar suara.

Elemen ini juga ada pada A6 3.0 TFSI quattro tetapi ditambah dengan sistem dialog suara, paparan peta 3D, sistem bunyi BOSE dengan 12-saluran amplifier serta 14 pembesar suara, sambungan Wi-Fi hotspot dan navigasi dengan Google Earth.

Untuk aspek keselamatan pula, kedua-dua varian dilengkapi dengan ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), indikator pemantauan tayar, Electric child-proof lock, Hold Assist, dan ISOFIX. Bagi A6 3.0 TFSI quattro, ia dilengkapi dengan lapan beg udara, manakala hanya enam untuk A6 1.8 TFSI.

Audi A6 baharu ini ditawarkan dengan 13 pilihan warna iaitu Ibis White, Brilliant Black, Glacier White, Oolong Grey, Mythos Black, Dakota Grey, Floret Solver, Diamond Beige, Aviator Blue, Tornado Grey, Havana Black, Moonlight Blue dan Garnet Red.

Harga atas jalan yang ditawarkan (termasuk GST & tanpa insurans) ialah RM323,900 bagi A6 1.8 TFSI dan bermula di bawah RM500,000 untuk A6 3.0 TFSI quattro. Setiap pembelian Audi A6 ini turut didatangkan dengan waranti selama empat tahun atau 120,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Audi A6 1.8 TFSI

Audi A6 3.0 TFSI quattro

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *