Renault Twizy dilancarkan – Tampil dengan 2 varian & harga RM72k – RM74k

By  |  0 Comments

Renault Twizy, kenderaan berkonsepkan mobiliti elektrik sepenuhnya telah pun dilancarkan petang ini. Dibawa masuk oleh TC Euro Cars selaku pemegang francias tunggul jenama Renault di Malaysia, Renault Twizy didatangkan dengan dua varian iaitu Urban dan Cargo.

Renault Twizy dilihat cukup sesuai bagi pelbagai jenis mobiliti urban, ia juga bersifat sifar emisi dan pencemaran. Bertambah menarik dengan gaya penampilan yang diperagakan, Twizy hanya besar sedikit berbanding skuter tiga roda.

Memiliki ukuran sepanjang 2.34 meter dan lebar 1.23 meter, Twizy sangat sesuai dikendalikan di kawasan bandar. Secara tidak langsung, membuatkan Twizy juga mudah untuk diparkir biar pun pada tempat yang sempit dan terhad. Ia juga memiliki berat sekitar 450kg sahaja.

Kenderaan elektrik (EV) kompak ini tidak kurang pantasnya. Padanan motor elektrik dan stereng yang tepat membuatkan pengendaliannya juga lebih lincah berbanding kereta biasa, malah seronok dipandu. Motor elektriknya mampu menjana kuasa maksimum 13kW dan tork 57Nm, membolehkan Twizy mencapai kelajuan maksimum sehingga 80km/j.

Bateri lithium-ion berkuasa 6.1kWh diletakkan di bahagian bawah tempat duduk hadapan. Di bahagian hujungnya pula, terdapat satu ruang kecil yang menempatkan kabel mengecas. Kabel itu perlu disambung dengan mana-mana outlet berkuasa 230V/240V. Cas penuh hanya mengambil masa selama tiga jam setengah sahaja. Dengan rangkaian jarak sejauh 100km, Twizy boleh dipandu ke seluruh bandar.

Dengan empat roda dan brek cakera, pengendalian Twizy memang cukup meyakinkan. Malah daripada segi keselamatannya pula, ia turut menawarkan ciri-ciri yang tidak jauh berbeza dengan kenderana konvensional. Talaan suspensi yang keras menawarkan kestabilan dan keselamatan yang meyakinkan.

Selain itu, chasisnya pula dibangunkan oleh Renault Sport Technologis yang pastinya menawarkan kualiti pengendalian yang lebih jitu.

Ia juga dilengkapi dengan ciri keselamatan pasif termasuklah pelindung kabin, tali pinggang kaledar empat poin (untuk pemandu) dan sebuah beg udara. Manakala bagi varian Urban, tali pinggang kaledar tiga poin untuk penumpang di belakang turut disertakan.

Rekaan Twizy juga tidak kurang menarik. Ia dilihat seperti sebuah topi kaledar yang diletakkan di atas satu asas teknikal dengan permukaan sekecil mungkin. Ia juga memiliki perkadaran sebuah kereta dengan empat buah roda yang kelihatan ‘terkeluar’ dari kabinnya.

Lampu utama berbentuk bulat yang menjadi sebahagian daripada identiti baharunya juga kelihatan menarik. Sementara cermin utama yang besar menawarkan pemandangan yang lebih jelas.

Varian Urban hadir bersama sebuah tempat duduk penumpang di belakang. Manakala varian Cargo pula menawarkan ruang but kedap air berkapasiti 180 liter. Ia boleh diakses melalui pintu belakang dnegan bukaan sehingga 90 darjah.

Ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan tanpa insurans) RM71,888 bagi varian Urban dan RM73,888 untuk Cargo, ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua tahun atau 50,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan selang servis 10,000 km atau enam bulan (mana yang tiba terlebih dahulu). Di samping itu, waranti pengeluar selama tiga tahun atau 50,000 (mana yang tiba terlebih dahulu) bagi bateri dan rangkaian kuasa elektrikal turut ditawarkan.

Renault Twizy Urban

Renault Twizy Cargo

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *