JPJ keluarkan notis larangan kenderaan berat di jalan raya pada Aidilfitri

By  |  1 Comment

LORRY_JPJ

Menerusi laman web rasminya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah pun mengeluarkan notis mengenai larangan pemanduan kenderaan barangan semasa Hari Raya Aidilfitri 2015. Ia membabitkan dua sesi iaitu pada 15 & 16 Julai dan 24 & 25 Julai. JPJ telah mengklasifikasikan kenderaan berat ini mengikut kategori dan ia tertakluk pada masa larangan berada di atas jalan raya.

Bagi Kategori 1, ia melibatkan lori Low Loader, lori balak, lori pembancuh simen (Concrete Mixer Truck), lori jongket (Tipper) dan lori yang membawa bahan binaan seperti simen, besi, keluli, batu, pasir dan tanah. Ia juga termasuk dengan lori pembawa kenderaan motor (Car Carrier) BDM melebihi 5000kg, lori membawa bahan galian seperti amang, bijih timah dan arang batu serta jentera berat beroda, traktor dan trak tunda (kecuali bagi maksud tugas menyelamat atau tugas kecemasan). Kategori ini melibatkan sekatan penuh atau Total Ban.

Kategori 2 pula ialah bagi lori kontena/kargo membawa barang-barang elektronik/elektrik yang hanya dibenarkan beroperasi daripada jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

Manakala Kategori 3 pula ialah kren bergerak (Mobile Cranes) yang hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang. Jarak perjalanan tidak melebihi 25 km dari tapak pembinaan di sekitar kawasan Lembah Klang, Bandaraya Johor Bahru, Kuantan dan Ipoh sahaja (tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu).

Bagi Kategori 4 pula, tiada dikenakan sekatan dan ia hanya melibatkan lori gas dan kimia untuk bekalan perubatan dan industri kimia, lori kontena kargo membawa barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri atau sebaliknya, lori kargo membawa barang keperluan harian (makanan dan minuman dari kilang, buah-buahan, sayuran), bahan-bahan mentah (kelapa sawit, produk kelapa sawit, getah skrap dan susu getah), barang runcit, surat khabar, ternakan, kotak kosong atau lori kosong dalam perjalanan pulang.

Kategori ini juga melibatkan lori mengangkut sampah dan bahan kumbahan (Sewerage) dan sisa pepejal industri, kenderaan barangan/lori d’controlled BDM 5,000 kg dan ke bawah serta lori kontena/kargo yang berulang-alik di antara terminal di pelabuhan dalam negeri itu.

Begitu juga dengan lori kontena/kargo yang berulang-alik dari pelabuhan ke gudang dan di sekitar kawasan perindustrian yang berhampiran dengan pelabuhan, lori tanker pengangkut bahan bakar (petroleum/diesel, gas dan LPG), lori dan jentera berat yang terlibat dalam kerja-kerja kecemasan dan menyelamat (Rescue Operation) serta lori perkhidmatan pos / courier service.

Jika kenderaan yang berada dalam notis larangan ini masih berada di atas jalan raya pada tarikh yang dinyatakan pihak JPJ akan mengambil tindakan termasuk menyaman kenderaan terbabit. Notis larangan ini dikeluarkan bagi memberikan kelancaran trafik kepada para pengguna jalan raya terutamanya yang ingin pulang ke kampung halaman pada 15 & 16 Julai dan kembali semula ke kediaman masing-masing pada 24 & 25 Julai.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *