Pandu Uji : Mazda3 versi CKD

By  |  1 Comment

Mazda3_CKD_Ext_04

Keseluruhan : Pembelian Mazda3 CKD ini juga boleh dikatakan sebagai berbaloi kerana ia hadir dengan prestasi yang mengagumkan, pengendalian pemanduan yang selesa, penggunaan bahan api yang efisien serta imej yang tidak banyak kurang berbanding unit CBU.

Kelebihan : Bonus yang cukup ketara bagi Mazda3 ini ialah penggunaan bahan api yang cukup efisien. Ketika menyertai Mazda Skyactiv Challenge 2015 yang lalu, ia tercatat 2.99 L/100km, untuk kelajuan antara 65-75km/j secara konsisten (bagi 80% laluan lebuh raya). Jika kelajuan antara 80-110km bagi corak perjalanan merentasi laluan lebuh raya, bandar dan jalan biasa, mampu mencatatkan sekitar 8.3L/100.

Kelemahan : Ketika jentera baru bergerak atau dalam kelajuan rendah/sederhana, kuasa pecutannya agak ‘malu-malu’ mahu menyerlah ketika ditagih. Namun jika jentera sudah berada dalam kelajuan yang diingini, kuasa pecutannya memang menyerlah. Sistem breknya cukup responsif namun tekan sedikit sahaja terasa kesan sentakannya.

Mazda3 CKD ini merupakan satu jentera yang wajar dibanggakan oleh Mazda. Ternyata hari demi hari, teknologi yang diungguli oleh Mazda ini wajar menerima pujian. Sudah banyak perubahan signifikan yang dilakukan, sekali gus membawakan nama Mazda lebih cemerlang di persada automotif global.

Memandu sama ada versi pemasangan tempatan (CKD) atau unit yang diimport sepenuhnya, seakan tiada perbezaan yang ketara. Itu jika mengulas daripada sudut prestasi dan kuasanya. Ia masih berkongsi penjana kuasa yang sama iaitu 2.0L SKYACTIV-G empat-silinder DOHC 16V yang mampu memberikan hamburan kuasa 162 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 210 Nm pada 4,000 rpm.

Hamburan kuasa yang dipersembahkan oleh Mazda3 CKD ini memang tidak mengecewakan. Walau pun ia mengambil sedikit masa untuk menyerlah sepenuhnya selepas pedal pendikit dipijak, namun apabila mencapai kelajuan yang diingini, anda akan mula mengaguminya.

Mazda3_CKD_Ext_36

Sepanjang bersama jentera ini untuk dipandu uji selama empat hari, tidak kira sama ada perjalanan yang melibatkan kawasan bandar, pekan kecil, mahu pun lebuh raya, prestasi enjinnya tidak mampu membuatkan penulis mengeluh. Sama ada dalam kelajuan yang perlahan, sederhana mahu pun agak tinggi, enjinnya sedaya mungkin memberikan lonjakan prestasi yang diingini. Sukar untuk ditebak kelemahan enjinnya. Bagai sempurna belaka.

Padanan enjin SKYACTIV-G dengan transmisi SKYACTIV-DRIVE automatik enam-kelajuan juga mempamerkan satu lagi kecemerlangan jitu dari Mazda. Gabungan yang begitu sepadan. Seiring dan sejalan. Setiap pertukaran gear secara automatik cukup lancar dan responsif. Seakan tidak merasai bilakah gear bertukar.

Mazda3_CKD_Ext_31

Jika memilih penguasaan gear manual, keseronokan pengendalian Mazda3 CKD ini turut menyerlah. Walau pun ia tiada perbezaan daripada segi ‘rasa’ dengan penggunaan transmisi automatik sepenuhnya, tetapi jika anda inginkan pengendalian pemanduan yang mungkin boleh mengelakkan anda daripada terleka, penggunaan gear manual boleh disarankan.
Pengendaliannya juga seimbang. Sama ada merentasi laluan yang berselekoh, lurus mahu pun berbukit.

Mengendali varian sedan yang berukuran 4588mm panjang, 1795mm lebar, 1450mm tinggi dan 2700mm jarak roda, perkataan sukar seakan tiada dalam kamusnya. Cuma sesekali ketika melayan selekoh tajam dalam kelajuan yang agak tinggi, terasa sedikit oversteer.

Namun ia masih mudah untuk dikawal dan dielakkan. Bantuan stereng berkuasa yang ditampilkan pada Mazda3 CKD ini cukup responsif, erat bekerjasama dengan pedal pendikit dan pedal brek. Saling bersatu dalam mempersembahkan pengendalian yang lebih optimum.

Mazda3_CKD_Ext_39

Sistem suspensi yang mengabungkan topang MacPherson dan Multi-Link, ternyata mampu memberikan kestabilan yang lebih mantap serta meyakinkan. Malahan rasa bumpy dan olengan badannya juga agak minima.

Cuma konsentrasi pemanduan sedikit terganggu apabila memandu dalam kelajuan melebihi 160km/j, bunyi enjin semakin jelas kedengaran. Hal ini masih sama dengan apa yang dialami bagi Mazda3 CBU. Mungkin ia kedengaran agak remeh, tetapi sebenarnya ia agak menganggu. Tengah syok memandu, tiba-tiba gangguan bunyi enjin lebih merasuk pula.

Satu lagi pencapaian yang wajar diberi pujian ialah penggunaan bahan api yang cukup efisien. Ini terbukti apabila penulis menyertai Mazda Skyactiv Challenge 2015 yang lalu, ia tercatat 2.99 L/100km, untuk kelajuan antara 65-75km/j secara konsisten (bagi 80% laluan lebuh raya). Jika kelajuan antara 80-110km bagi corak perjalanan merentasi laluan lebuh raya, bandar dan jalan biasa, mampu mencatatkan sekitar 8.3L/100.

Bercerita soal imej yang dipertaruhkan, sekilas pandang, memang tidak berbeza dengan model CBU. Bagi Mazda3 CKD ini, ia menampilkan lampu projektor Bi-Xenon Adaptif yang dipadankan dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus. Imej hadapannya juga tiada beza dengan varian hatchback. Masih hensem dan berketerampilan.

Profil sisinya juga cukup menyerlah terutamanya dengan kehadiran garisan yang penuh karakter yang menampakkan ciri-ciri aerodinamiknya. Dengan rim bersaiz 18-inci yang membaluti tayar Toyo Proxes T1 Sport 215/45R18 juga menyerlahkan lagi gayanya.

Lampu kombinasi belakang dengan bahagian belakang yang sedikit pendek tanpa kehadiran spoiler tidak mencacatkan langsung imej Mazda3 CKD ini. Ia nampak ringkas tetapi masih rugged.

Mazda3_CKD_Int_21

Menjengah bahagian kabinnya, ia turut menampilkan butang penghidup enjin, penghawa dingin zon dan tempat duduk balutan kulit (fabrik bagi sedan Mid) yang turut menampilkan tempat duduk pemandu pelarasan elektronik.

Ia turut didatangkan dengan Auto Cruise, sistem navigasi dan cermin pandang belakang anti-silau. Ia juga menampilkan skrin sesentuh LCD bersaiz tujuh-inci dan untuk sistem hiburan pula menampilkan radio, pemain CD, sambungan Bluetooth, AUX, slot bagi USB dan kad SD serta enam pembesar suara.

Pada bahagian panel instrumen, speedometer terletak di bahagian tengah diapit dengan meter putaran digital pada sebelah kiri dan kanan pula terdapat skrin paparan pelbagai informasi.

Elemen ekstra turut boleh didapati pada Mazda3 SKYACTIV versi CKD ini iaitu paparan pelbagai-informasi dan i-STOP buat ketiga-tiga varian serta Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif dan Kemasukan Pintar.

Untuk Mazda3 CKD ini tidak ditampilkan bumbung matahari dan juga penghawa dingin pada tempat duduk belakang, tidak seperti unit CBU yang ada kedua-dua elemen berkenaan.

Mengenai ruang dalamannya pula, ternyata kepuasan pasti dapat dizahirkan dengan keluasan pada bahagian ruang kaki, ruang kepala termasuklah pada tempat duduk penumpang belakang. Malah ruang kargo juga juga memuaskan dan boleh memuatkan kapasiti sehingga 408 liter.

Selain itu, ia turut Sistem Kawalan Lampu Tinggi, Sistem Brek Bandar Pintar, Pemantauan Kenderaan di Belakang dan Sistem Amaran Penukaran Haluan.

Menitik beratkan soal keselamatan, Mazda3 CKD ini turut dilengkapi dengan ABS, EBD, BA, DCS, TCS dan enam beg udara.

Dengan harga RM 121,105.30 tanpa insurans, ia boleh dikatakan sebagai pembelian yang berbaloi dan mempunyai nilai mata wang. Malah setiap pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) serta servis percuma.

Spesifikasi :
Enjin : 2.0 liter Skyactiv-G 4-silinder sebaris DOHC 16-injap

Kuasa maksimum : 162hp @ 6,000 rpm

Tork maksimum : 210Nm @ 4,000 rpm

Transmisi : Skyactiv-Drive 6-kelajuan automatik

Kapasiti tangki bahan api : 51 liter

Pilihan warna : Meteor Grey Mica, Artic White, Aluminium Metallic & Reflex Blue Mica

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

  1. Shah

    July 28, 2015 at 9:55 pm

    Video pandu uji xde ke?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *