Perkhidmatan BRT-Laluan Sunway mula beroperasi hari ini

By  |  0 Comments

myRapid2

Semalam satu lagi sejarah perkhidmatan pengangkutan awam negara telah pun tercipta apabila sistem Bas Rapid Transit Laluan Sunway (BRT-Laluan Sunway) telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini merupakan pengangkutan awam menggunakan teknologi mesra alam pertama negara dan ia dibangunkan Kumpulan Prasarana dan Kumpulan Sunway, laporan Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem pengangkutan BRT-Laluan Sunway itu merupakan projek pengangkutan awam yang mencapai piawaian antarabangsa dan amat membanggakan negara.

“Projek ini memenuhi hasrat kerajaan untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien, boleh diharap dan selesa,” katanya semasa merasmikan sistem BRT-Laluan Sunway di Kompleks BRT Sunway.

Ia turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai bas elektrik pertama negara yang digunakan untuk sistem pengangkutan awam.

Beliau berkata apa yang dicapai hari ini merupakan teknologi pintar dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan pengurangan pelepasan gas karbon.

Perdana menteri berkata sistem BRT-Laluan Sunway ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan lagi penggunaan teknologi hijau dan gaya kehidupan baharu yang mesra alam dalam perkhidmatan pengangkutan awam.

Najib turut memuji kaedah pelaksanaan projek BRT yang merupakan kerjasama awam-swasta (PPP) antara Kumpulan Prasarana dengan Kumpulan Sunway, dan berharap lebih banyak kerjasama dapat dilakukan dalam memajukan pengangkutan awam negara.

Beliau berkata pelaksanaan sistem pengangkutan itu merupakan capaian penting negara ke arah mengajak masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dengan lebih kerap dan mengurangkan penggunaan kereta persendirian seperti dilakukan di negara maju.

“Ada sesetengah negara maju yang penduduknya menyimpan kenderaan di ‘country side’ dan menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana. Kita juga boleh melakukannya jika mempunyai sistem pengangkutan awam yang bersepadu dan masalah ini telah dikenal pasti kerajaan, ” katanya.

MyRapid3

Sistem BRT-Laluan Sunway menjadi perkhidmatan bas pertama menggunakan ‘elevated track’ atau laluan bertingkat sekali gus memastikan perjalanan dapat dirancang hingga waktu terakhir.

Ia juga merupakan perkhidmatan bas awam henti-henti pertama yang menggunakan bas elektrik sepenuhnya di negara ini. Kos pembinaan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam itu sebanyak RM634 juta.

Ia meliputi laluan bertingkat sejauh 5.4 kilometer itu menempatkan tujuh buah stesen dari Sunway-Setia Jaya sehingga USJ7, Subang Jaya, dan akan dihubungkan ke stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu Setia Jaya dan sistem LRT yang sedang dibina di USJ 7 yang akan dibuka tahun depan.

MyRapid5

BRT-Sunway Line mula beroperasi hari ini dan tiada bayaran dikenakan untuk tempoh dua bulan.

Ia beroperasi di tujuh stesen iaitu Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dengan USJ7 sebagai stesen terakhir dengan kemudahan ‘park and ride’ turut disediakan.

Sebanyak 15 bas mesra alam akan digunakan dengan setiap bas boleh memuatkan 67 orang, termasuk penumpang berdiri, pada satu-satu masa. Dengan kelajuan maksima 80km/jam, bas ini turut menyediakan kemudahan bagi golongan OKU.

BRT-Sunway Line akan memberi perkhidmatan kepada 500,000 penduduk di Bandar Sunway dan Subang Jaya.

Dijangkakan 2,400 penumpang setiap jam akan menggunakan perkhidmatan itu tahun ini dan jumlah itu diramalkan meningkatkan kepada 5,200 orang pada tahun 2035.

Foto : myrapid.com.my

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *