COMOS – Program perkongsian kereta pertama di Malaysia dilancarkan

By  |  0 Comments

Comos-IK 002

Program Perkongsian Kenderaan Elektrik (EV) atau Cohesive Mobility Solution (COMOS) telah pun dilancarkan pagi ini bertempat di Bangsar.

Program usaha sama awam-swasta antara Consortium Ecotour Sdn Bhd, Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Malaysian Green Technology Corp ini berazam mahu menjadikan COMOS sebagai perkhidmatan E-mobiliti lengkap dengan menyepadukan pelbagai bahagian ekosistem EV dan rangkaian nilai, termasuk penyediaan stesen pengecas EV, kumpulan operator EV, operator pengurusan parkir dan operator rangkaian telekomunikasi.

Ia merupakan inisiatif yang memberikan pilihan kepada orang ramai untuk membuat tempahan bagi mengambil dan memulangkan semua Comos EV di lokasi utama yang terpilih di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Comos-IK 007

Pengerusi Eksekutif Consortium Ecotour Sdn Bhd,, Dato’ Sri Haji Syed Zainal Syed Tahir berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan di antaranya adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai Dasar Automotif Nasional (NAP) dengan mewujudkan ‘critical mass’ untuk kegunaan EV. Malah Comos turut dilihat mampu meningkatkan kesedaran orang ramai bagi menghargai dan menerima dengan baik EV di Malaysia.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Ahmad Phesal Haji Talib. Malah beliau turut mencuba perkhidmatan Comos ini dengan mengendalikan sendiri EV yang disediakan.

Buat permulaan, COMOS beroperasi di sekitar bandaraya Kuala Lumpur terlebih dahulu, sebelum ke destinasi lain seperti Pulau Langkawi (Disember 2014), Pulau Pinang (2016), Putrajaya, Melaka (2015) dan Johor Bahru (2016).

Manakala antara model EV yang terpilih menyertai COMOS ialah Renault Zoe, Renault Twizy, dan Nissan Leaf.

Comos-IK 005

Untuk menyewa EV ini, pengguna hanya perlu mendaftarkan diri melalui aplikasi di telefon bimbit atau laman web untuk menempah EV termasuk menyatakan lokasi pengambilannya. Kemudian pengguna akan mengambilnya di lokasi berkenaan dan mula memandu EV di destinasi yang bersesuaian.

Untuk memulangkan semula EV ini, pengguna hanya perlu pergi ke stesen pengecas yang terpilih, sentuhkan kad COMOS pada kios utama dan menandakan EV tersebut dikembalikan secara automatik. Proses pembayarannya akan dilakukan menerusi perkhidamatan dalam talian dan pengguna akan menerima SMS pengesahan selepas transaksi pembayaran selesai.

Untuk fasa pertama ini iaitu operasi di Lembah Klang, sebanyak 60 stesen pengecas telah dikenalpasti. Antaranya ialah di Jalan Medan Tuanku 1, Lorong Bunus 1, Lorong P.Ramlee, LRT Ampang Park, LRT Pasar Seni dan LRT Bangsar. Antara 15 lokasi terbabit telah menerima kerjasama sepenuhnya dari PRASARANA dan DBKL.

Perkhidmatan COMOS ini dikenakan bayaran tentatif sebanyak RM300 (untuk sewa tahunan), RM50 (sewa bulanan) dan antara RM20 hingga RM25 sewaan mengikut jam penggunaan.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *