Kia Cerato Koup – Imej & kuasa saling berpadanan

By  |  0 Comments

Kia-Cerato-Koup-testdrive-IK 04

Sementara menantikan hari pelancarannya tidak lama lagi, Infokereta.com berpeluang memandu uji Kia Cerato Koup ini. Biar pun ini cuma sesi pandu uji dalam hanya tempoh sejam, namun memadai untuk ulasan serba ringkas.

Pada pandangan pertama, ternyata Cerato Koup ini pantas menambat hati. Imej yang digandingkan cukup sporty dan pastinya mudah menarik perhatian generasi muda khususnya.

Namun adakah imej yang dipertaruhkan ini sepadan dengan kuasa serta pengendaliannya?

Menerusi sesi pandu uji ringkas ini, kuasa yang digandingkan memang setara dengan imej yang dipertaruhkan. Kia Cerato Koup yang dijanakan oleh enjin 1.6 liter Gamma T-GDI (Turbocharged Gasoline Direct Injection) yang mampu memberikan kuasa sehingga 204 PS dan tork setinggi 265 Nm.

Biar pun tidak dapat melenjannya sepuas mungkin ekoran kesesakan lalu lintas pada petang Jumaat lalu, namun apabila laluan yang ditetapkan iaitu Penchala Link menuju ke Publika sesekali memberikan kesempatan untuk memecut Cerato Koup ini, pasti tidak akan dilepaskan.

Kia-Cerato-Koup-testdrive-IK 01

Biarpun cuma berkapasiti 1.6 liter, namun dengan gabungan kuasa turbo, ternyata ia umpama tenaga magnet yang amat diperlukan. Pergerakan enjinnya kekal lancar biarpun ketika kerahannya diperlukan secara mendadak. Namun kemantapan enjinnya boleh dikatakan dalam kategori pertengahan bagi sebuah jentera yang digabungkan dengan kuasa turbo.

Dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, anjakan gearnya kurang dirasai. Malah jika menggunakan mod manual menerusi pedal penukar gear di belakang stereng, pacuannya lebih memuaskan dan pengendaliannya terasa lebih jinak. Menurut risalah spesifikasinya, Cerato Koup ini mampu dipacu daripada 0-100 km/j dalam hanya 7.4 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 222 km/j.

Memandang keseluruhan imej luaran dan dalamannya, ternyata simbahan aura sporty dan ranggi menjadi pilihan. Cermin pintu tanpa bingkai membuatkan Cerato Koup ini lebih sporty. Ia juga ditampilkan dengan padanan gril atas yang lebih nipis, gril bawah yang lebih besar dengan kekemasan gentian karbon tiruan, lampu kabus bulat besar, cermin sisi dan pemegang pintu berwarna hitam berkilat, lampu belakang yang lebih bersudut dan paip ekzos berkembar.

Kia-Cerato-Koup-testdrive-IK 05

Memasuki ruang kabin pula, gaya serupa turut ditampilkan. Ia dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kamera undur, pengesan parkir hadapan dan belakang, zon-berkembar kawalan suhu automatik dengan kluster ioniser, kluster LCD Supervision 4.2 inci, tempat duduk balutan kulit dengan fungsi pemanasan (untuk tempat duduk hadapan) dan bumbung matahari.

Jentera dua-pintu ini diilhamkan daripada model popular Cerato sedan dan juga Forte Koup. Ia dijadualkan bakal dilancarkan tidak lama lagi dengan harga anggaran RM150,000 iaitu lebih RM30,000 berbanding model sedan 2.0.

Infokereta.com akan membawakan ulasan penuh bagi Cerato Koup ini bila ada kesempatan memandu ujinya sekali lagi.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *