SPRM kesan lebih 10,000 pelekat cukai jalan dikeluarkan tanpa kebenaran sah JPJ

By  |  0 Comments

RoadTax

Berhubung dengan pelbagai laporan mengenai kenderaan klon, pelbagai tindakan sewajarnya diambil oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras gejala ini.

Baru-baru ini, SPRM cawangan Negeri Sembilan berjaya mengesan lebih 10,000 keping pelekat cukai jalan yang diseludup keluar daripada simpanan pihak JPJ antara November tahun lepas hingga Mac tahun ini.

Menurut laporan Bernama, SPRM negeri juga mengesan sejumlah 1,500 geran kenderaan telah dikeluarkan tanpa kebenaran yang sah oleh kakitangan JPJ daripada simpanan JPJ yang mungkin digunakan bagi tujuan memalsukan pelbagai jenis kenderaan.

Siasatan mendapati pihak sindiket menjual sekeping pelekat cukai jalan asli antara RM450 hingga RM800, manakala sekeping geran kereta pula boleh mencecah sehingga RM1,200.

Susulan itu, SPRM negeri telah menahan empat individu termasuk dua kakitangan JPJ berhubung kegiatan kenderaan klon dalam ‘Ops Photostat’ yang dijalankan baru-baru ini.

Keempat-empat mereka termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 20 dan 30-an itu diberkas secara berasingan sekitar daerah ini minggu lalu.

Kedua-dua orang awam berkenaan ditangkap kerana berperanan menjadi orang tengah sindiket ini, manakala dua orang kakitangan JPJ pula ditahan kerana disyaki menerima imbuhan berupa wang tunai menyalurkan setiap maklumat pendaftaran kenderaan kepada orang tengah dan mengeluarkan pelekat cukai jalan dan geran kereta yang masih kosong daripada simpanan JPJ.

Pengarah SPRM negeri, Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan menggesa semua pemilik kereta klon di negeri ini supaya tampil menyerahkan kenderaan mereka secara sukarela kepada pejabat SPRM negeri bagi mengelak dikenakan hukuman.

Sehingga kini, sebanyak 16 buah kenderaan disyaki kenderaan skrap telah disita dan 11 orang termasuk sembilan lelaki dan dua wanita ditangkap sejak ‘Ops Photostat’ dijalankan bulan lepas.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *