Galeri : Toyota Rush 2015 kekal dengan konsep sporty

By  |  0 Comments

Rush_Ext_02

Pada 24 April lalu, UMW Toyota telah mengumumkan kemasukan model Rush 2015 telah pun berada di pasaran tempatan.

Walau pun hanya mengalami perubahan kosmetik yang tidak begitu ketara, namun demi mengekalkan imej sporty, Rush 2015 telah ditampilkan dengan beberapa elemen yang direka semula, termasukla bampar hadapan, gril radiator dan bonet.

Bagi menampakkan sedikit kelainan pada penampilannya, kekemasan jaluran krom di antara lampu utama dan gril radiator telah diadaptasi.

Tampil dengan dua varian iaitu 1.5S dan 1.5G (auto/manual), sedikit kelainan antara keduanya iaitu kedudukan lampu LED pada bahagian lampu utama. Bagi varian 1.5S, ia juga ditampilkan dengan lampu kabus.

Bagi bahagian belakang, ia masih kekal sama seperti mana model terdahulu, cuma bampar bagi Rush 2015 ini telah direka semula serta diserlahkan dengan lampu kombinasi LED.

Selain itu, ia turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16-inci dengan rekaan dua-tona yang dibaluti tayar 235/60 atau 215/65 bagi memberikan cengkaman dan kestabilan yang lebih baik.

Tidak lengkap dengan itu, bahagian kabinnya juga tidak dilupakan. Warna kelabu gelap menjadi tema utama, melatari segenap ruang. Namun tempat duduknya telah disertakan dengan jahitan merah, mencetuskan lagi ambien penuh sporty di dalam kabin. Bukan itu sahaja, tema merah-putih juga dijadikan pilihan bagi panel meter.

Tiada perubahan daripada sudut mekanikal, di mana ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter 4-silinder 16-injap DOHC VVT-i. yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 109 PS pada 6,000 rpm dan puncak tork 141 Nm pada 4,400 rpm.

Varian 1.5 S ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Manakala 1.5G hanya transmisi automatik empat-kelajuan.

Bagi aspek keselamatan, kesemua varian dilengkapi dengan dua beg udara, ISOFIX, ABS dan EBD.

Terdapat lima pilihan warna iaitu Champagne Metallic, White, Black Metallic, Silver Mica Metallic dan warna baharu Grey Metallic, harga atas jalan (termasuk GST & insurans) bagi Semenanjung Malaysia yang ditawarkan ialah RM103,300 bagi Rush 1.5S Automatik, Rush 1.5G Automatik pula RM 100,300 dan Rush 1.5G Manual berharga RM98,000.

Pembelian Rush 2015 ini turut didatangkan dengan waranti 36 bulan atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *