Toyota Rush 2015 sudah ada di bilik pameran – Harga antara RM98k-RM103k

By  |  1 Comment

Rush_front

UMW Toyota baru sahaja mengesahkan model Rush 2015 telah pun berada di pasaran tempatan, iaitu sebulan selepas model SUV daripada segmen-B ini diperkenalkan di Indonesia.

Dengan perubahan kosmetik yang minima tetapi masih mengekalkan imej sport, Rush 2015 ini tampil dengan bampar hadapan, gril radiator dan bonet yang direka semula. Ia juga ditampilkan dengan kekemasan gentian karbon dan efek dua tona pada bahagian bampar, menonjolkan lagi sisi sporty Rush ini.

Namun ia bertambah menarik dengan penampilan kekemasan jaluran krom di antara lampu utama dan gril radiator. Perbezaan antara Rush 1.5S dan 1.5G ialah kedudukan lampu LED pada bahagian lampu utama. Bagi varian 1.5S, ia juga ditampilkan dengan lampu kabus.

Rush_back

Pada bahagian belakang, imejnya masih sama dengan model terdahulu tetapi bamparnya telah direka semula serta menampilkan lampu kombinasi LED.

Menambahkan lagi imej sporty, Rush 2015 turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16-inci dengan rekaan dua-tona.Ia dibaluti tayar 235/60 atau 215/65 bagi memberikan cengkaman dan kestabilan yang lebih baik, terutama ketika membrek.

Menjengah bahagian dalamannya, ia lebih diperkemaskan dan agak menonjol dengan tema warna kelabu gelap. Tempat duduknya pula disertakan dengan jahitan merah, mencetuskan lagi ambien penuh sporty di dalam kabin. Bukan itu sahaja, tema merah-putih juga dijadikan pilihan bagi panel meter.

Rush merupakan SUV bersaiz kecil bagi tujuh-tempat duduk. Ia juga memiliki tiga baris tempat duduk dengan memberikan pelbagai versatiliti. Malah terdapat juga corong penghawa dingin pada barisan tempat duduk ketiga. Barisan tempat duduk kedua dan ketiga boleh dilipat bagi memberikan lebihan ruang pada kargo.

Di bawah hudnya, ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter 4-silinder 16-injap DOHC VVT-i. Ia berkemampuan menyalurkan kuasa sehingga 109 PS pada 6,000 rpm dan puncak tork 141 Nm pada 4,400 rpm. Varian 1.5 S ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Manakala 1.5G hanya transmisi automatik empat-kelajuan.

Bagi aspek keselamatan, kesemua varian dilengkapi dengan dua beg udara, ISOFIX, ABS dan EBD.

Toyota Rush 2015 sudah boleh didapati di semua bilik pameran Toyota. Ia terdapat dengan lima pilihan warna iaitu Champagne Metallic, White, Black Metallic, Silver Mica Metallic dan warna baharu Grey Metallic.

Harga atas jalan (termasuk GST & insurans) bagi Semenanjung Malaysia yang ditawarkan ialah :

Rush 1.5S Automatik – RM103,300
Rush 1.5G Automatik – RM 100,300
Rush 1.5G Manual – RM98,000

UMW Toyota Motor turut menawarkan waranti 36 bulan atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) bagi setiap pembelian Rush.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *