Peugeot 308 THP serba baharu penuh inovasi & lebih sensasi – Harga RM132,888

By  |  0 Comments

Launch

Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Peugeot di Malaysia telah pun melancarkan model yang dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Eropah 2014 di Geneva Motor Show tahun lalu, Peugeot 308 THP serba baharu, di Zebra Square, KL, malam ini.

Peugeot 308 THP serba baharu ini boleh dianggap sebagai kekuatan Peugeot di rantau ini dengan memberikan lebih tumpuan ke atas strategi, teknologi dan ekologi. Diibaratkan sebagai sebuah koreografi dengan gabungan garisan penuh anggun dan kesederhanaan, 308 THP serba baharu ini membawa trademark Peugeot ke serata dunia dengan penampilan yang penuh signifikan.

Hatchback daripada segmen-C ini tampil dengan rekaan luaran dan dalaman yang mampu memacukan evolusi di dalam pemanduan. Di samping memiliki keseimbangan yang sempurna terhadap kualiti dan sporty. Ternyata ia juga jauh berbeza berbanding dengan model sebelumnya, di mana 308 THP serba baharu ini hadir dengan arah rekaan baharu dan mempunyai gaya yang tersendiri dalam segenap aspek.

Peugeot308_01

Penjana kuasanya buatan Aisin dari Jepun iaitu enjin 1.6L Turbo High Pressure (THP) 150 empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 165 Hp pada 5,000 rpm dan tork setinggi 240 Nm pada 1,450 rpm. Ia turut hadir dengan gabungan transmisi Quickshift Technology dengan menampilkan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Gabungan enjin dan transmisi ini turut mencatatkan penggunaan bahan api yang efisien iaitu 6.5 liter/km dengan emisi karbon dioksida 150g/km. Ia juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.4 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatat pula ialah 211 km/j.

Bagi jaminan kualiti, 308 THP serba baharu ini telah diuji dalam pemanduan sejauh 2.5 juta kilometer, 2,500 jam bagi ujian getaran dan suhu, 250,000 kitaran bagi pemantauan penghawa dingin dan 4.3 juta ujian bagi skrin sesentuhnya.

Peugeot308_06

Peugeot 308 THP serba baharu ini berukuran 4253 mm panjang, 1804 mm lebar, 1457 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2620mm. Ia turut memiliki ruang kargo seluas 470 liter dan boleh mencecah sehingga 1309 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Dengan imej yang sederhana dan penuh emosi, Peugeot 308 THP serba baharu ini nampak begitu menarik dengan kehadiran lampu utama teknologi LED sepenuhnya, pertama di dunia, yang memberikan kekuatan pencahayaan dengan penuh karakteristik.

Selain itu, ia juga ditampilkan dengan lampu belakang dan lampu kabus LED, serta rim aloi Sapphire bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 225/40 R18.

Peugeot308_37

Bahagian belakangnya pula menyerlahkan lagi imej umpama bayang piramid dengan garisan profil sisi yang sungguh menonjol. Ternyata keseluruhan rekaan hatchback ini menyelahkan lagi sifat penuh elegan yang diinspirasikan dari model konsep SR1.

Menjengah bahagian kabinnya, ia menampilkan rekaan Peugeot i-Cockpit yang inovatif. Dengan gabungan empat komponen utama iaitu roda stereng balutan kulit, panel instrumen yang diposisikan sedikit tinggi dan penuh bergaya, konsol tengah penuh bergaya serta skrin sesentuh HD pelbagai-fungsi bersaiz 9.7 inci.

2015-peugeot-308-showrooms 31

Ia turut menampilkan sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik automatik, tempat duduk Sports Alcantara, tempat duduk pemandu bersama fungsi urut, bumbung panoramik dengan tirai elektrik, sistem bunyi Arkamys dengan enam pembesar suara, zon berkembar penghawa dingin automatik, sambungan digital dengan USB dan Bluetooth, serta kamera undur.

308 THP serba baharu ini juga bakal dilengkapi pelbagai elemen terkini termasuklah enam beg udara, Isofix, ESP, Kawalan Kelajuan Dinamik, Emergency Collision Alert dan Emergency Collision Braking. Peugeot 308 THP serba baharu ini juga telah menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP.

Menampilkan lima warna pilihan iaitu Pearl White, Artense Grey, Mocha Brown, Rouge Red dan Nera Black, 308 THP serba baharu ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd (NAM), Gurun, Kedah.

Kini ia sudah boleh ditempah di bilik pameran Peugeot di seluruh negara dengan harga atas jalan RM132,888 termasuk GST dan insurans. Setiap pembeliannya juga disertakan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad, servis bantuan Peugeot 24 jam, keahlian Peugeot Privilege dan banyak lagi.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *