Proton miliki aspek keselamatan setanding model import -MITI

By  |  0 Comments

Proton_Iriz_Drive_ 035

Proton memiliki aspek keselamatan terbaik, berdasarkan penarafan lima bintang daripada Asutralasian Car Assesment Program (ANCAP) dan ASEAN NCAP. Sekali gus membuatkan model-model Proton adalah setaraf dengan jenama lain seperti BMW, Volvo, Toyota dan Honda, menurut Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa, menerusi menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kenyataan ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh MP Batu Gajah, V Sivakumar yang meminta pengesahan daripada kementerian tersebut adalah Proton mampu bersaing dengan jenama import lain, memetik laporan Malaysiakini.com.

Menurut Mustapa lagi, model baharu Proton memiliki teknologi yang maju, berkualiti tinggi dan prestasi yang memberangsangkan. Sambil menyebut beberapa model Proton dalam pasaran seperti Exora, Preve, Suprima S dan Iriz yang menampilkan teknologi keselamatan termasuk ABS, EBS, Bantuan Brek dan Kawalan Kestabilan Kenderaan.

Malah ia juga memiliki beberapa elemen keselamatan tambahan seperti enam beg udara, cagak Isofix untuk kerusi kanak-kanak dan juga perehat kepala yang mampu mengurangkan risiko kecederaan kepala.

Pada September 2014, ASEAN NCAP telah mengeluarkan keputusan ujian pelanggaran yang melibatkan Proton Iriz. Di mana model terbaharu Proton ini telah menerima penarafan lima bintang dengan memperolehi markah sebanyak 14.07 bagi ujian Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat bintang (82%) bagi ujian Pelindungan Penumpang Kanak-kanak (COP).

Sebelum itu, Proton Preve telah menerima penarafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) dan ANCAP. Malah telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Pelindungan Penumpang Dewasa Bagi Keluarga Sederhana di ASEAN NCAP Grand Prix Awards yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 27 Ogos lalu.

Malah Suprima S juga pernah menerima penarafan lima bintang daripada ANCAP pada tahun 2013.

“Penarafan ini secara tidak langsung meletakkan model Proton sebaris dengan model popular dari jenama import lain seperti BMW, Volvo, Toyota dan Honda. Malah beberapa model baharu Proton turut memiliki karakteristik yang tersendiri termasuk dengan adanya teknologi ‘Lotus dalam pemanduan dan pengendalian’ yang membantu meningkatkan lagi standard kenderaan Proton,” ujar Mustapa.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *