Ford Mondeo baharu buka tempahan pra-pelancaran mulai 1 hingga 5 Apr di BSC

By  |  0 Comments

Photo 2 - Mondeo Side View (2)

Hari ini Ford mengumumkan bahawa pengambilan tempahan pra-pelancaran Mondeo baharu yang sarat dengan teknologi akan bermula pada satu acara prebiu khas di Bangsar Shopping Centre (BSC) mulai 1 hingga 5 April 2015.

Sesi pandu uji model tersebut juga disediakan pada acara tersebut, sedikit awal sebelum ia mula berada di bilik-bilik pameran Ford di seluruh negara akhir bulan ini.

“Mondeo baharu memberikan lonjakan dinamik kepada barisan produk Ford yang kian berkembang di Malaysia. Dengan teknologi termaju Ford dan reka bentuk yang elegan, Mondeo menawarkan pengalaman pemanduan sofistikated sebagaimana yang diharapkan oleh pelanggan di Malaysia daripada Ford,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran Malaysia, Ford Motor Company, Veemala Rethinasamy.

Rekaan Mondeo baharu yang kemas itu dikuasakan oleh unit enjin 2.0L EcoBoost® berprestasi tinggi. Enjin yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 240PS dan tork 345Nm dengan penggunaan bahan api cuma 8L/100km itu dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift enam kelajuan yang lancar.

Teknologi EcoBoost® Ford menggabungkan sistem pengecas turbo, pancitan terus dan pemasaan injap boleh ubah untuk mengurangkan sesaran enjin. Ia turut meningkatkan penjimatan bahan api sebanyak 20 peratus dan mengurangkan emisi sehingga 15 peratus berbanding enjin-enjin tradisional yang memiliki prestasi sama.

Photo 3 - Mondeo Side View

Malah ia turut menampilkan teknologi MyKey Ford yang eksklusif iaitu membolehkan pemiliknya memprogramkan kunci tersebut untuk menghalang pelbagai ciri, sama ada untuk diri sendiri atau ketika golongan remaja memandunya.

Para pemilik juga boleh menghadkan kelajuan maksimum dan merendahkan suara sistem audio. Malah mereka boleh mematikan sistem audio sepenuhnya jika pemandu dan penumpang tidak memakai tali pinggang keledar.

Mondeo buat pertama kalinya memperkenalkan sistem ketersambungan SYNC 2 Ford ke pasaran Malaysia. Ia merangkumi sebuah skrin sentuh berwarna lebih besar bersaiz lapan inci untuk mengoperasikan sistem hiburan dan telefon menggunakan arahan suara. SYNC 2 tampil dengan pelbagai ciri baharu dan dipertingkatkan, seperti kemampuan mengenal pasti suara lebih baik yang membantu pemandu kekal berhubung ketika mata fokus ke atas jalan raya dan tangan terus memegang stereng.

Teknologi canggih pada Mondeo diteruskan kepada lampunya. Lampu utama LED sepenuhnya itu digabungkan dengan sistem lampu hadapan adaptif Ford untuk meningkatkan pandangan pemandu ke kawasan sekelilingnya.

Sistem itu mengubah suai sudut dan kepadatan lampu tinggi untuk dipadankan dengan persekitaran pemanduan, kondisi cahaya di sekeliling, sudut stereng, jarak kenderaan di hadapan dan pengaktifan penggilap cermin hadapan.

Mondeo baharu juga dilengkapi ciri Adaptive Cruise Control yang mengimbas posisi trafik sepantas 20 kali sesaat. Jadi, jika trafik perlahan, kelajuan kenderaan turut diperlahankan. Apabila jalan semakin lancar, kenderaan akan kembali kepada kelajuan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Ciri paddle shifter pula menawarkan kemudahan kotak gear automatik dan keterujaan menukar gear secara manual. Manakala kamera belakang mengoptimumkan lagi aspek kecekapan dan keselamatannya.

Sistem-sistem keselamatan itu hadir sebagai ciri standard. Antaranya, tujuh beg udara yang merangkumi beg udara untuk pemandu dan penumpang, beg udara sisi dan satu beg udara pada bahagian lutut pemandu. Selain beg udara jenis curtain di bahagian hadapan dan belakang kabin.

Kombinasi sistem Kawalan Kestabilan Elektronik dan Kawalan Cengkaman membantu memastikan sentiasa pemandu berhubung dengan jalan raya serta dapat mengawal kenderaan. Terutama ketika mengambil selekoh dan memotong kenderaan lain. Bersama sistem brek anti-kunci Ford, ia membantu mengurangkan kemungkinan roda daripada tergelincir, terkunci atau masalah over/under-steer.

Photo 4 - Mondeo Interior

Bahagian dalaman Mondeo tampil lebih kemas, elegan dan ekspresif dengan memberi penekanan terhadap aspek ergonomik dan keselesaan, bersama kemasan serta peralatan yang premium.

Di bahagian dalam, rekaan konsol tengahnya menyerlahkan elemen sporty dan rasa seperti sebuah kokpit. Reka bentuknya yang simetrikal membolehkannya ia mudah diakses oleh pemandu dan penumpang hadapan. Sementara kolum stereng yang boleh dilaras secara elektrik dan lengkap dengan memori nyata menambah kemudahan kepada pemandu.

Rekaan pintar kerusi hadapan Mondeo baharu yang boleh dilaras sebanyak 10 cara menampilkan bahagian penyandar lebih nipis. Sekali gus membolehkan penumpang belakang menikmati ruang kaki lebih luas tanpa perlu mengorbankan keselesaan pemandu dan penumpang hadapan.

Bunyi bising berjaya dikurangkan dengan menggunakan suspensi belakang jenis integral link dan material penyerap bunyi tambahan. Sementara bunyi bising angin pula dikurangkan ke tahap yang sebelum ini hanya dinikmati oleh kenderaan dalam segmen lebih mewah.

Dihasilkan di kilang tercanggih Ford di Valencia, Sepanyol, Mondeo tampil bersama profail sebuah sports coupe dengan garis bumbung yang rendah. Profil sisinya yang kemas dihasil untuk memberikan pandangan visual yang ringan. Sementara rekaan bahagian hadapan yang sofistikated dan teknikal diserlahkan menerusi gril berbentuk trapezoidal Ford yang mantap, bonet serta reka bentuk lampu utama adaptif dan nipis yang dipotong menggunakan laser.

Mondeo baharu menggunakan material dan teknik produksi yang sofistikated untuk menawarkan tahap kekukuhan yang lebih baik. Selain berupaya meningkatkan keselamatan dengan mengurangkan berat dan menjadikannya lebih mapan.

Photo 1 - Mondeo Front

Aplikasi besi berkekuatan tinggi yang dibentuk secara hidro, pertama dalam industri telah digunakan untuk menghasilkan tiang A, B dan roof rail. Struktur dalaman pada bahagian belakang yang diperbuat daripada magnesium baharu memberikan penjimatan berat sekitar 40 peratus berbanding besi biasa.

Ford Mondeo baharu akan ditawarkan pada harga anggaran RM203,800 seunit.

Sebagai tambahan kepada acara di BCS mulai 1 hingga 5 April, Mondeo juga akan dipamerkan di beberapa lokasi lain di sekitar Lembah Klang. Para pelanggan boleh menempah dan memandu uji Mondeo di Desa Park City
(22-26 April) dan Setia City Mall (6-10 Mei).

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *