Toyota Camry 2015 alami perubahan mekanikal yang lebih signifikan

By  |  1 Comment

Toyota-Camry-2015-4

Semalam UMW Toyota Motor telah menganjurkan sesi ringkas ‘suai-kenal’ dan pandu uji model Camry 2015 dengan menampilkan varian Camry Hybrid 2.5HV dan Camry 2.0G. Walau bagaimana pun, sesi pandu uji untuk pihak media tempatan ini hanya seketika sahaja iaitu melibatkan 14km ‘on-the-road’ dan beberapa ujian pengendalian di parkir terbuka Setia Alam Convention Centre.

Jadi buat setakat ini, Infokereta.com hanya memberikan ulasan ringkas mengenai Camry 2015 yang bakal dilancarkan esok. Untuk ulasan penuh pandu ujinya, kena tunggu masa yang akan datang ya.

Untuk merasai peningkatan yang terdapat pada Camry baharu ini, pihak media turut mencuba Camry generasi sebelumnya bersama beberapa model persaingnya termasuklah Honda Accord 2.0 dan Nissan Teana 2.0. Namun seperti biasa, penulis lebih cenderung untuk membandingkan antara Camry baharu dengan model sebelumnya.

Toyota-Camry-2015-6

Bagi pengendalian di parkir terbuka tersebut, sebanyak empat ujian dilakukan iaitu melibatkan Blind Spot Monitor (BSM), brek, Noise, Vibration, & Harshness (NVH) dan RCTA (Rear Cross Traffic Alert). Malah pihak media turut berpeluang mengendalikan Camry Hybrid 2.5HV untuk keempat-empat ujian terbabit.

Ujian pertama iaitu brek, Camry baharu ini dipandu dalam kelajuan maksimum (full-throttle) sebelum membrek sepenuhnya pada jarak kurang 500 meter. Dengan sistem brek yang digunakan iaitu cakera Ventilated (bahagian hadapan) dan cakera Solid (bahagian belakang), ternyata ia cukup bekerjasama dengan sistem keselamatan yang ditampilkan termasuk ABS dengan EBD dan BA.

Malah Camry 2.0G ini turut ditampilkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TC) yang sangat membantu apabila diperlukan. Jadi ketika kenderaan dipandu dalam kelajuan yang tinggi dan harus membrek secara tiba-tiba, ia dapat diberhentikan dengan lebih selamat. Malah kenderaan terasa masih stabil dalam keadaan sebegini. Bukan itu sahaja, sterengnya juga lebih mudah dikawal bagi mengelakkan kenderaan terbabas.

Bagi ujian kedua iaitu BSM, bagi mengetahui fungsinya, dua orang penunggang motosikal berada berhampiran dengan kenderaan yang dipandu tetapi tidak kelihatan pada kedua-dua cermin sisi. Namun pengesan pada BSM ini berkeupayaan mengesan kehadiran penunggang terbabit dan terus menghantar isyarat dengan nyalaan lampu pada cermin sisi.

Walau bagaimana pun, sistem BSM ini tidak disertakan dengan bunyi, sekadar nyalaan lampu pada sudut cermin sisi tersebut. Menurut Toyota, ia tidak disertakan dengan bunyi dengan alasan supaya ia tidak ‘mengganggu’ pemandu dan penumpang di dalam kereta tersebut. Kalau asyik berbunyi terutamanya jika memandu di kawasan yang sibuk dengan kenderaan lain, mesti terasa konsentrasi pemanduan terganggu.

Dan disebabkan ketiadaan bunyi ini, maka secara tidak langsung, ia turut mengajar pemandu supaya lebih peka dan sering memantau melalui cermin sisi ketika dalam pemanduan.

Toyota-Camry-2015-15

Untuk mengetahui tahap NVH bagi Camry 2015 ini, pemanduan di beberapa corak permukaan jalan yang tidak rata dilakukan. Berbanding dengan model pesaingnya yang turut serta dalam ujian ini, dengan menggunakan aplikasi ‘Sound Meter’ menerusi telefon pintar, Camry 2015 mencatatkan jumlah bunyi sebanyak 65 berbanding 75 dari pesaingnya.

Ternyata Camry 2015 lebih kurang menyerap kesan bunyi bising, getaran dan kekasaran berbanding pesaing terdekatnya itu. Malah ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata, pemandu dan penumpang Camry 2015 kurang terasa bumpy.

Ujian terakhir di kawasan parkir tersebut iaitu RCTA, Camry 2015 dipandu dengan kelajuan antara 8 hingga 30 km/j dan apabila jaraknya berada hampir dengan objek terutamanya pejalan kaki, bunyi amaran akan dikeluarkan. RCTA ini membantu pemandu ketika mengundur kenderaan keluar daripada petak parkir. Apabila kenderaan diundur dan dalam kelajuan yang rendah, sistem ini bertujuan mengesan kenderaan sekiranya berada pada kenderaan lain dan ia akan mengeluarkan bunyi amaran.

20150331_0409

Tidak lengkap dengan sekadar ujian ringkas ini, pihak media berpeluang memandu uji Camry 2.0G 2015 di lebuh raya. Dari Setia Alam menuju ke Lebuh Raya Glenmarie dalam jarak lebih kurang 14 km, varian ini sekali lagi dapat diuji.

Seperti mana Camry 2.0E, varian Camry 2.0G juga dijanakan oleh enjin baharu iaitu 6AR-FSE 2.0L 4-silinder, DOHC dengan VVT-iW, VVT-i yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 167 PS pada 6,500 rpm dan tork setinggi 199 Nm pada 4,500 rpm.

Ternyata dengan enjin baharu ini, hamburan kuasanya lebih pantas dan jarang tertangguh-tangguh. Apabila pedal pendikit dipijak sepenuhnya, enjin ligat memberikan kuasa kelajuan yang diingini. Ternyata ia cukup responsif berbanding dengan model sebelumnya.

Toyota-Camry-2015-3

Malah perubahan signifikan turut dilakukan pada kotak gearnya apabila Camry 2015 ini dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bersama Super ECT, berbanding kotak gear automatik empat-kelajuan pada model sebelumnya.

Di mana transmisi yang telah dipertingkatkan ini turut membantu penukaran gear secara automatik dengan lebih lancar. Sekali gus membantu menyalurkan kuasa prestasi yang diingini dengan cukup responsif. Dibandingkan dengan kotak gear model Camry sebelumnya yang agak lambat dalam menukar gear, al-maklumlah, cuma empat-kelajuan sahaja.

Walau pun telah melakukan ujian NVH di parkir terbuka Setia Alam Convention Centre, pastinya pengalaman memandunya di lebuh raya memberikan lebih banyak kepuasan. Ternyata usaha Toyota di dalam menala semula karakteristik NVH Camry 2015 ini membuahkan hasil. Malah pelarasan suspensinya juga membantu untuk mengelakkan bunyi bising daripada menyerapi bahagian kabin. Bukan itu sahaja, ia turut membantu memberikan pemanduan yang lebih berdinamik.

Toyota-Camry-2015-2

Malah kesan olengan badannya juga lebih berkurangan dan agak optimum berbanding dengan model sebelumnya. Ternyata Toyota berjaya membuat pelbagai pembaharuan, perubahan dan peningkatan yang lebih cemerlang untuk Camry 2015 ini.

Menerusi pandu uji ringkas ini, penggunaan bahan api bagi varian 2.0 liter ini dicatatkan pada 7.3 liter/100 km.

Namun dengan sesi pandu uji yang ringkas ini, tidak banyak ulasan yang mampu dikongsi. Malah Infokereta.com juga tidak sabar untuk melenjan Camry Hybrid 2.5HV kerana semalam hanya berpeluang mengenalinya ketika melalui empat ujian itu sahaja. Tunggu giliran Infokereta.com memandu uji ‘kaw-kaw’ Camry Hybrid 2.5HV dan Camry 2.0 2015 ini.

Barisan Toyota Camry 2015 ini iaitu Camry Hybrid 2.5HV, Camry 2.0G dan Camry 2.0E ini akan dilancarkan esok pagi di Petaling Jaya. Ikuti perkembangan selanjutnya di Infokereta.com.

Toyota Camry Hybrid 2.5HV 2015

Toyota Camry 2.0G 2015

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *