Galeri : Toyota Camry 2.0G 2015 versi CKD

By  |  0 Comments

Toyota-Camry-2015-IK-10

Pagi tadi, UMW Toyota Motor, telah menganjurkan sesi pandu uji Toyota Camry baharu khas bersama pihak media di Setia Alam, Klang, iaitu dua hari sebelum ia dilancarkan secara rasminya. Sebelum berkongsi sedikit ulasan mengenai pandu ujinya, Infokereta.com paparkan himpunan foto pertama Toyota Camry 2.0G 2015 iaitu salah satu varian Camry baharu yang versi pemasangan tempatan (CKD) ini.

Minggu lalu, foto-foto varian Camry Hybrid 2.5HV dan Camry 2.0E telah pun disiarkan selepas berlangsungnya majlis perasmian projek Toyota Camry serba baharu CKD di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), Shah Alam. Camry Hybrid 2.5HV merupakan model hibrid yang pertama daripada Toyota dihasilkan secara CKD di Malaysia.

Bagi kedua-dua Camry 2.0 versi CKD ini, ia dijanakan oleh enjin baharu 2.0 liter VVT-iW D-4S yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 167 PS pada 6,500 rpm dan tork setinggi 199 Nm pada 4,600 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik “Super ECT” enam-kelajuan yang turut hadir dengan mod manual.

Di mana enjin serta transmisi bagi varian 2.0G dan 2.0E baharu ini mengalami perubahan lebih signifikan berbanding dengan model sedia ada dengan enjin 2.0 liter VVT-i (150 PS/190 Nm) dengan kotak gear automatik empat-kelajuan.

Melihat secara lebih dekat varian 2.0G ini, ia ditampilkan dengan lampu utama projektor HID dengan lampu nyalaan siang LED, paip ekzos berkembar dan rim bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 215/60 Bridgestone Turanza ER33. Seperti biasa, Toyota turut menawarkan kit badan sebagai pilihan.

Bagi bahagian kabinnya pula, Camry 2.0G dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit berwarna hitam, tempat duduk pemandunya juga boleh dilaras secara berkuasa dengan lapan cara, sistem kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, kekemasan kayuan pada bahagian papan pemuka, konsol tengah, tombol gear dan pemegang pintu, zon berkembar penghawa dingin, butang kawalan pada stereng dan kawalan kelajuan.

Toyota-Camry-2015-IK-20

Varian ini juga ditampilkan dengan kluster instrumen Optitron baharu bersama paparan pelbagai-informasi berwarna. Manakala unit kepala DVD-AVN ditawarkan secara pilihan.

Infokereta.com akan mengulas lebih lanjut mengenai satu per satu varian Camry baharu ini pada hari pelancarannya Khamis ini.

Toyota Camry 2.0G 2015

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *