Isuzu D-MAX DIABLO… hitam itu menawan!

By  |  0 Comments

Dmax_Diablo_02

Mungkin ramai yang beranggapan sebuah trak pikap lebih sesuai untuk pengangkutan harian yang lasak. Jadi gaya yang ditampilkan sekadar ringkas pun tidak mengapa. Namun sejak kebelakangan ini, semakin ramai memilih trak pikap sebagai pengangkutan harian dan inginkan jentera yang memiliki imej yang bersesuaian dengan gaya hidup masa kini. Justeru, semakin banyak pengeluar trak pikap memperkenalkan model yang tampil bergaya bagi menepati cita rasa ramai.

Malam ini Isuzu turut memperkenalkan D-MAX DIABLO yang tampil dengan rekaannya yang unik, berani dan bergaya. Walau pun tiada sebarang perubahan daripada sudut mekanikal, namun imej yang dipertaruhkan ini pastinya mampu dijadikan daya tarikan utama.

“Saya percaya bahawa ramai pengguna yang mahu beralih daripada kebiasaan, mempamerkan kebebasan serta keperibadian melalui kenderaan yang mereka miliki. Isuzu D-MAX DIABLO menawarkan platform yang sempurna untuk menzahirkan individualisme seseorang dan meneroka sempadan pemotoran yang lebih hebat,” kata Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida.

Dmax_Diablo_Ext_02

Sebagai sebuah kenderaan yang memiliki kemampuan yang tiada tandingan, sama ada di atas jalan raya atau laluan off-road, Isuzu D-MAX telah dikenali menerusi sifatnya yang mampu ke mana sahaja dan melakukan apa jua perkara. Ditambah dengan kombinasi kemasan hitam dan warna yang cukup menyerlah, anda kini mempunyai sebuah trak pikap yang berbeza.

Tampil berbeza, kemasan warna Isuzu D-MAX DIABLO yang tersendiri memberikan kenderaan ini penampilan gothic yang membantu ia lebih menyerlah berbanding trak pikap lain.

Kebanyakan kemasan krom bertukar kepada warna hitam atau kelabu gelap untuk dipadankan bersama warna badan Cosmic Black Mica. Ini termasuklah gril, pemegang pintu, cermin, roof rails dan bampar belakang.

Hanya logo krom Isuzu pada gril dan kemasan guard berwarna perak pada bampar hadapan menawarkan perbezaan kepada warna kenderaan trak pikap ini yang gelap. Pada waktu siang, lampu pencahayaan siang LED memancarkan cahaya agar lebih mudah dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain.

Dmax_Diablo_Ext_09

Bagi menyerlahkan lagi penampilannya yang agresif, badan Isuzu D-MAX DIABLO dilekatkan dengan pelekat bersama motif eksklusif. Ia juga menggunakan rim aloi LENSO ‘Beastly Black’ bersaiz 17-inci yang dipadankan khusus untuk gaya luaran trak pikap ini.

Bagi memastikan barang-barang anda berada dalam keadaan selamat dan kering sepanjang perjalanan, Isuzu D-MAX DIABLO hadir bersama penutup D-LOC. Penutup yang boleh dikunci ini dicat dengan warna badan kenderaan. Ia juga mempunyai aero spoiler, sekali gus menawarkan trak pikap ini penampilan yang menarik dan tersendiri.

Pada bahagian dalaman, Isuzu D-MAX DIABLO dilihat semakin garang dengan warna-warna yang digunakannya. Tempat duduknya dibaluti dengan kulit Itali premium berwarna merah, manakala perehat tangan di bahagian tengahnya mempamerkan keunikan yang tersendiri.

Kabinnya turut menawarkan warna kontras yang ketara bersama kemasan dalaman iaitu kelabu gelap, selain pintu dan bahagian tengah (central tunnel) berwarna hitam berkilat (piano black). Karpetnya pula disulam khas dan pemijak kaki yang diiluminasi memberikan rasa misteri sebaik sahaja anda masuk ke dalam kabinnya.

Namun, Isuzu D-MAX DIABLO bukan sekadar rupa sahaja. Sistem hiburan multimedia BLAUPUNKT yang hadir bersama kamera undur memastikan anda bukan sekadar nampak hebat di atas jalan raya, malah boleh menikmati keseronokan semasa memandu, terutamanya dengan sistem bunyi yang mantap.

Hanya 300 unit sahaja ditawarkan, Isuzu D-MAX DIABLO ini didatangkan dengan dua varian iaitu DIABLO 2.5L 4×4 AT dan DIABLO 3.0L 4×4 AT.

Manakala harga atas jalan (tidak termasuk insurans) yang ditawarkan ialah RM107,077 bagi DIABLO 2.5L 4×4 AT dan RM113,717 untuk DIABLO 3.0L 4×4 AT. Setiap pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun/100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) berserta dengan servis bantuan 24 jam Isuzu Doctor Mobile. Kini ia sudah boleh didapati di semua bilik pameran Isuzu di seluruh negara.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *