Hyundai Elantra facelift tampil dengan 14 elemen penambah baikan – Harga antara RM86k hingga RM115k

By  |  0 Comments

ELANTRA FL Exterior (3)

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) melancarkan model facelift bagi Elantra yang kini telah pun berada di semua bilik pameran di seluruh Malaysia.

Menampilkan 14 elemen yang telah ditambah baik dan dipertingkatkan, Elantra ini juga kelihatan lebih mantap berbanding model sebelumnya. Penambah baikan tersebut bukan sahaja melibatkan imej luaran, malah rekaan dalamannya juga tidak ketinggalan diberi suntikan yang lebih segar,

Elantra facelift ini telah dipertingkatkan sebanyak 20mm bagi saiz panjangnya berbanding model sebelum ini, iaitu menjadi 4550mm tetapi masih mengekalkan saiz jarak rodanya.

Bahagian bampar hadapan dan belakangnya juga telah ditambah iaitu 5mm dan 15 mm, memberikan rupa yang lebih stabil dan seimbang. Malah ia turut tampil dengan rekaan baharu bagi bampar hadapan, gril radiator, lampu kabus dan lampu utama projektor yang lebih dinamik. Rim aloinya juga telah diberi rekaan semula dan lampu belakang kombinasi turut menyerlahkan lagi imej premium Elantra ini.

Lampu Panduan LED dan lampu utama projektor hanya didapati untu model 1.6 Premium dan 1.8 Premium sahaja.

Menjengah ruangan kokpitnya, kelihatan rekaan yang lebih premium dan baharu ditampilkan. Termasuklah corong penghawa dingin yang diposisi semula, tombol gear Transmission Gear Shift (TGS) baharu, Flex Steer System pada roda stereng yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan Normal, Comfort atau Sport, corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang, MirrorLink Audio Visual Receiver, dan Supervision Cluster yang dipertingkatkan dengan paparan OLED (Organic Light-Emitting Diode) bersaiz 3.4 inci.

ELANTRA FL Interior (1)

Menuru Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors, Lau Yit Mun, “Versi baharu Elantra ini boleh dianggap sebagai suatu rekaan yang sempurna. Selain mengekalkan elemen terbaik yang sedia ada, Hyundai turut menampilkan beberapa elemen tambahan untuk model Elantra ini.”

Untuk Elantra facelift ini, ia menawarkan dua pilihan penjana kuasa iaitu Nu D-VVT 1.8 liter MPI dan Gamma 1.6 liter MPI D-CVVT. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan kedua-dua enjin ini mampu memberikan ledakan kuasa yang lebih padu, dalam masa yang sama memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

Ia turut menampilkan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif termasuklah Kawalan Kestabilan Elektrik (ESC), ABS, Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta enam beg udara.

Elantra facelift ini ditawarkan dengan pilihan warna Creamy White, Carbon Grey, Phantom Black, Sleek Silver dan Tomato Red.

ELANTRA FL Exterior (2)

Ia ditawarkan dengan empat varian iaitu Elantra FL 1.6 Elegance (RM85, 888), Elantra FL 1.6 Executive (RM 95,676), Elantra FL 1.6 Premium (RM100, 546) dan Elantra FL 1.8 Premium (RM114, 984.40). Ksemua harga yang dinyatakan itu adalah tanpa insuran, cukai jalan, pendaftaran JPJ, penjanjian jual-beli dan tertakluk pada Semenanjung Malaysia sahaja.

Bermula 5 Mac sehingga 5 April ini, pelanggan yang membeli Elantra FL 1.8 Premium akan ditawarkan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000 km (bersama servis jarak 10,000 km), yang mana tiba terlebih dahulu.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *