Chevrolet Colorado Muscle Power…boleh tahan power!

By  |  0 Comments

Colorado_Ext_04

Chevrolet Colorado antara trak pikap yang terkenal di Amerika Syarikat. Di Malaysia pula, biar pun ia tidak sepopular model Toyota Hilux, Ford Ranger, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max, namun Colorado memiliki tempatnya yang tersendiri.

Penulis berkesempatan memandu uji Colorado Muscle Power beberapa minggu yang lalu. Pada mulanya, penulis tidak meletakkan sebarang harapan pun dengan trak pikap ini. Namun selepas beberapa hari memandu ujinya, penulis mendapati ia boleh tahan hebat dan berkuasa.

Unit yang dipandu uji ini iaitu 2.8 LTZ Auto dipadankan dengan enjin diesel terbaharu Duramax generasi kedua berkuasa turbo. Ia mampu memuntahkan kuasa maksimum sehingga 193hp pada 3,600rpm dan puncak tork yang cukup mengagumkan iaitu 500Nm pada 2,000rpm.

Colorado_Ext_22

Malah varian ini juga boleh dipacu daripada titik sifar hingga ke 100km/j dalam masa 10 saat dan mampu mencecah kelajuan sehingga 180km/j. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Dengan enjin 2.8L, Colorado Muscle Power ini mudah meledakkan kuasanya dan jarang sekali tertangguh-tangguh. Dari kelajuan perlahan, sederhana dan seterusnya dipacu laju, ledakan kuasanya jarang mengecewakan.

Padanan kotak gear automatik enam-kelajuan juga dirasakan cukup serasi. Pertukaran gear berlaku tanpa tertangguh dan ia pantas memberikan respons mengikut kelajuan. Namun sepanjang pemanduannya, penulis lebih senang memilih mod auto berbanding manual. Bagi penulis, mod manual yang ditampilkan kurang ‘ummph’ dan anjakan pacuannya tidak begitu secemerlang auto.

Colorado_Ext_32

Penulis menguji Colorado Muscle Power ini di lebuh raya, jalan biasa (termasuk jalan kampung) dan laluan off-road yang tidak begitu mencabar. Ketika merentasi lebuh raya, kerap kali Colorado Muscle Power seakan mencabar kenderaan lain yang bersedia memberikan laluan apabila pikap ini muncul dari belakang.

Pikap ini juga tidak mengecewakan bila melalui jalan berselekoh, terutamanya di jalan-jalan kampung dan pekan kecil. Olengan badannya tidak begitu dirasai. Melenjannya di selekoh juga agak mengasyikkan. Ketika melewati permukaan jalan yang beralun, tidak rata dan sesekali terlanggar lubang mahu pun lopak, usah bimbang, pikap sebegini memang menepati keadaan sebegitu.

Colorado_Ext_41

Tidak lengkap sekiranya tidak melenjan pikap semantap ini di laluan off-road. Disebabkan masa yang agak mencemburui penulis, membuatkan Colorado Muscle Power ini hanya dibawa ke laluan off-road yang biasa-biasa sahaja, sekadar di kawasan dusun, tapak pembinaan dan sedikit kawasan berbukit. Bolehlah sekadar melepaskan gian menyelusuri off-road yang cuma ‘manja-manja’ ini. Tiada kekangan langsung buat Colorado Muscle Power.

Sewaktu mendaki bukit antara kecuraman 20 hingga 30 darjah, Bantuan Mula Mendaki (HSA) sangat membantu. Walau pun agak licin dengan bukit bersalut tanah merah, namun rasa cuak yang pada mulanya terbentuk terlerai begitu sahaja apabila Colorado Muscle Power tiada masalah mendakinya.

Begitu juga ketika menuruni bukit, dengan bantuan Sistem Kawalan Menuruni Bukit (HDCS) memberikan kerjasama yang seadanya. Selain itu, Kawalan Cengkaman, Bantuan Brek Hidraulik dan Kawalan Brek Selekoh juga sangat membantu dalam pengendalian Colorado Muscle Power ini. Sekali gus membuahkan tahap keyakinan yang lebih tinggi apabila mengendalikannya dalam apa jua situasi jalan.

Colorado_Ext_44

Malah elemen standard seperti Kawalan Kestabilan Elektronik, ABS dan EBD juga tidak lekang memberikan respons yang sepatutnya. Ternyata ia memang diyakini sebagai kenderaan paling selamat di dalam kelasnya, seperti yang didakwa oleh Chevrolet sendiri.

Jika melalui laluan off-road yang ekstrem, usah gentar kerana Colorado Muscle Power memiliki mod pacuan 4×4, anda hanya perlu memutar tombol butang kawalannya yang berhampiran dengan gear.

Dengan saiz kerangka berukuran 5347 mm panjang, 1882mm lebar, 1772mm tinggi dan jarak roda pula 3096 mm, ia merupakan trak pikap bersaiz sederhana dan mudah untuk dikendalikan. Malah jika terpaksa membuat pusingan U, tidak menyukarkan. Malah juga tidak sukar untuk memarkirnya, cuma adat bagi trak pikap jika melalui laluan yang sempit, pasti kena lebih berhati-hati.

Malahan jika membawa muatan atau bebanan, Colorado Muscle Power ini masih mantap. Menerusi spesifikasinya, ia mampu membawa bebanan sehingga 1,025kg.

Berkenaan dengan penggunaan bahan apinya, ternyata ia memang menjimatkan. Tercatat penggunaan antara 9.2 liter bagi setiap 100 km.

Selain itu, ia juga telah menerima pengiktirafan dalam Fasa Ketiga daripada New Car Assessment Program untuk negara Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai ASEAN NCAP. Di mana Colorado menerima pengiktirafan lima bintang untuk Pelindungan Penumpang Dewasa dan tiga bintang bagi Pelindungan Penumpang Kanak-kanak.

Bagi imej luaran yang dipertaruhkan, ia masih kelihatan maskulin biar pun agak ringkas. Bahagian hadapannya dilengkapi dengan lampu utama projektor, lampu kabus dan gril yang menjadi signatur bagi Chevrolet. Lampu belakang LED pula memberikan kuasa yang lebih garang pada bahagian tersebut. Rim aloi bersaiz 17-inci yang dibaluti 255/65 Bridgestone Dueler H/T 840s memiliki rekaan yang sporty.

Menjengah bahagian kabinnya, bentangan papan pemukanya kelihatan ringkas. Ia juga turut ditampilkan dengan sistem infotainmen Chevy’s MyLink yang dilengkapi dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci, sambungan Bluetooth, USB, enam pembesar suara, sambungan bagi telefon pintar dan roda stereng yang mempunyai butang kawalan suara.

Ruang dalamannya juga sederhana luas, termasuk pada tempat duduk belakang dengan ruang kaki dan ruang kepala yang memang ‘ngam ho’.

Selain Summer White, Colorado Muscle Power ini turut menampilkan pilihan warna seperti Black Sapphire, Royal Grey, Auburn Brown dan yang cukup menarik perhatian, Sizzled Red.

Dengan kekemasan ‘Muscle Power’ ini, untuk varian automatik, ia berharga RM106,888 dan RM95,888 bagi manual. Ia turut ditawarkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Diproduksikan di Thailand, generasi kedua bagi Colorado ini sememangnya bukan sekadar pikap biasa. Ia juga sesuai dijadikan pengangkutan seharian kerana memiliki penampilan yang menepati gaya hidup masa kini.

Spesifikasi :
Enjin : 2.8L Duramax XLDE28 turbo diesel
Transmisi : Auto 6-kelajuan dengan Manual Shift Mode
Kuasa maksimum : 193 hp @ 3,600 rpm
Tork maksimum : 500 Nm @ 2,000 rpm
Sistem suspensi : Double Wishbones (hadapan)/Leaf Spring (belakang)
Saiz tayar : 255/65R17
Kapasiti tangki bahan api : 72 liter

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *