Honda HR-V bersedia takluki pasaran tempatan – Berharga RM100k – RM119k

By  |  0 Comments

HRV_03

Akhirnya tibalah masa yang dinanti-nantikan, pagi ini berlangsungnya pelancaran model terbaharu Honda iaitu HR-V, SUV crossover yang dijangka bakal hangat di pasaran.

Boleh dianggap sebagai kenderaan generasi baharu yang bersandarkan kualiti yang dinamik dan elemen keselamatan SUV, keterujaan seperti coupe dan kepelbagaian fungsi serta keselesaan umpama minivan, HR-V atau nama panjangnya Hip & Smart Runabout Vehicle membawakan persona yang tersendiri. Malah ia telah menggabungkan sisi elegan dan keseronokan pemanduan turut tampil dengan prestasi yang bersesuaian.

HRV_V_01

Bagi pasaran Malaysia, HR-V menawarkan tiga varian iaitu Gred E, Gred S dan spesifikasi tertinggi, Gred V.

Ketiga-tiga varian ini dikuasakan oleh enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 142 PS pada 6,500 rpm dan tork setinggi 172 Nm pada 4,300 rpm. Ia juga bergabung tenaga dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) yang dibangunkan di bawah teknologi unggul ciptaan Honda, Earth Dreams.

Selain berkongsi platform dengan City dan Jazz, HR-V juga menggunakan transmisi CVT yang sama dengan kedua-dua model berkenaan, namun memiliki penetapan yang sedikit berbeza. Walau bagaimana pun, ia tetap memberikan kelebihan bagi prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api.

HR-V berukuran 4,294 mm panjang, 1,772 mm lebar dan 1,605 mm tinggi serta memiliki jarak roda 2,610 mm. Malah ia juga memberikan sudut pandangan yang lebih luas bagi pemandu yang dioptimumkan oleh kelebaran tiang hadapan kerangka. Bukan itu sahaja, keselesaan pemanduan juga lebih terserlah hasil daripada pusat graviti yang lebih rendah.

HRV_V_04

Adik kepada CR-V ini telah mempertaruhkan gaya sporty, ranggi dan elegan. Bahagian hadapannya cukup menyerlah dengan padanan lampu utama LED (lampu halogen bagi Gred S dan E), lampu pencahayaan siang LED dan gril yang penuh bergaya.

Bagi menambahkan lagi elemen yang dipertaruhkan itu, ia turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16-inci dan bagi menampakkan imej yang lebih bergaya, antena sirip jerung juga dipadankan, selain mampu memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik. Manakala bahagian belakangnya menampilkan lampu kombinasi LED yang membiaskan sedikit imej agresif buat HR-V ini.

Pembuka pintu pada bahagian penumpang belakang agak tersorok, membuatkan ramai yang beranggapan HR-V ini hanya memiliki dua-pintu. Namun itulah antara keistimewaan yang ditonjolkan oleh Honda untuk HR-V di mana ia menampilkan pembuka pintu bahagian penumpang belakang yang tersorok, bagi menyerlahkan lagi imej umpama coupe.

Walau bagaimana pun, bagi pasaran Malaysia, HR-V spesifikasi tertinggi tidak disertakan dengan bumbung panoramik seperti mana yang ada pada model bagi pasaran Thailand. Ini kerana Honda Malaysia berpendapat, bumbung panoramik bukanlah suatu keperluan utama dan ia lebih kepada gaya sahaja.

Menjengah ke dalam kabinnya, gambaran penuh elegan serta sofistikated meresapi segenap ruang. Ini termasuklah pada papan pemuka di bahagian kokpit yang dilengkapi dengan instrumen piano black dan permukaan sentuhan lembut.

HRV_S_Modulo_26

Ia menampilkan tempat duduk balutan semi-kulit (fabrik untuk Gred S), konsol tengah tinggi dengan tempat perehat tangan, meter ambien dengan tujuh warna pilihan bagi menaikkan mood pemandu, poket konsol dengan port USB dan HDMI, tujuh pemegang cawan, paparan audio tujuh-inci (5-inci untuk Gred E/audio standard bagi Gred S), enam pembesar suara (empat bagi Gred S dan E), kawalan pemanduan, butang kawalan audio pada roda stereng, Mod ECON, Bantuan ECO, panel penghawa dingin sentuhan auto (manual bagi Gred S) dan corong udara berbentuk panjang yang dikatakan mampu menyalurkan udara yang lebih menyeluruh ke segenap ruang kabin.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin (tiada pada Gred S), brek parkir elektronik, kawalan kelajuan (tiada pada Gred S) dan pemegang brek automatik.

Untuk pasaran Malaysia juga, Honda tidak ‘menghadiahkan’ pedal penukar gear pada belakang roda stereng seperti mana yang ditampilkan pada versi Thai. Bukan itu sahaja, sedikit kelainan pada kekemasan bahagian konsol tengahnya yang hanya mempamerkan bentangan black matte berbanding hitam berkilat pada HR-V versi Thai.

Honda sememangnya turut mementingkan keluasan ruang dalamannya termasuk bahagian kargo. Ternyata HR-V turut menampilkan ruang kaki dan ruang kepala termasuk pada tempat duduk penumpang belakang yang cukup selesa.

Ia juga menampilkan tempat duduk kombinasi kulit, dan tempat duduk belakang yang memiliki kepelbagaian konfigurasi bagi memberikan lebihan ruangan kargo. Dimensi tempat duduk ini boleh dikonfigurasikan dengan tiga mod iaitu Mod Utiliti, Mod Ketinggian dan Mod Kepanjangan.

Bagi elemen keselamatannya, Honda Malaysia tidak berkompromi mengenai soal ini lalu memberikan yang terbaik buat HR-V dengan adanya enam beg udara (hanya dua untuk Gred S dan E), Brek Parkir Elektrik (EPB), Auto Brake Hold, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), ISO Fix, One Touch Lane Change, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS, EBD, BA dan kamera belakang pelbagai-sudut (sudut lebar, sudut normal dan sudut atas-bawah/tiada pada Gred S).

Seperti mana model Honda yang lain, HR-V turut dibangunkan dengan teknologi G-CON yang bertindak mengawal impak G-Force jika berlaku pelanggaran dan mengurangkan risiko kecederaan terhadap penumpang.

HR-V ditawarkan dengan lima warna pilihan iaitu Alabaster Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Taffeta White, Cyrstal Black Pearl dan satu warna baharu, Ruse Black Metallic.

Harga atas jalan berserta insurans yang ditawarkan pula ialah RM99,800 bagi Gred S, RM108,800 untuk Gred E dan Gred V pula RM118,800. Setiap pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad dan selang servis percuma jarak perbatuan 10,000 km di 78 pusat servis Honda di seluruh Malaysia.

Untuk HR-V ini juga, Honda Malaysia turut menawarkan Pakej Modulo dengan dua pilihan menarik bagi gaya luaran iaitu Sport Aero Package bernilai RM3,950 dan Tough Advance Package berharga RM3,800. Manakala dua pakej aksesori dalaman juga ditawarkan iaitu Smart Utility berharga RM1,650 dan Urbane Utility pula ialah RM1,550.

Untuk ulasan pandu uji Honda HR-V versi Thailand, sila KLIK DI SINI.

Honda HR-V Gred S Modulo

Honda HR-V Gred E

Honda HR-V Gred V

Honda HR-V spesifikasi Thai

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *