Toyota Fortuner 2015 tampil dengan sedikit perubahan kosmetik

By  |  0 Comments

Toyota-fortuner-2015-1

UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah mengumumkan kehadiran Toyota Fortuner 2015 yang hadir dengan sedikit perubahan kosmetik bagi memberikan kesegaran pada imejnya.

Ia hadir dengan empat varian iaitu Fortuner 2.7V Petrol TRD Sportivo, Fortuner 2.7V Petrol,Fortuner 2.5G Diesel TRD Sportivo, dan Fortuner 2.7G Diesel.

Fortuner 2015 ini hadir dengan lampu utama dan lampu belakang kombinasi yang telah diberi rekaan semula dengan menampilkan lingkaran gelap pada kedua-dua komponen terbabit bagi menyerlahkan lagi imej yang lebih sporty. Bukan itu sahaja, pelindung lensa pada lampu utama projektor ini turut direka semula bagi menonjolkan lagi gayanya.

Selain itu, lampu pencahayaan siang LED turut disambungkan pada sudut bahagian bampar hadapan bagi memberikan sudut pandangan yang lebih jelas kepada pengguna jalan raya yang lain.

Bagi Fortuner 2015 ini, ia juga hadir dengan dua lagi warna pilihan baharu yang lebih menarik iaitu Attitude Black dan Grey Metallic yang menyertai tiga lagi warna sedia ada, Medium Silver Metallic, Solid White dan Silver Metallic.

pict2

Turut mengekalkan tema rekaan yang sama iaitu ‘Advanced & Prestige’, rekaan dalamannya turut menampilkan sentuhan moden termasuklah panel Black Woodgrain bagi Fortuner 2.7V bagi imej yang lebih prestij. Manakala biasan warna hitam turut bertebaran pada bahagian kabin dengan imej kualiti yang lebih tinggi serta praktikal bagi sebuah SUV yang turut boleh digunakan untuk laluan off-road.

Ruang tempat duduk dengan tujuh kapasiti juga fleksibel dan boleh dikonfigurasi bagi memuatkan lebih muatan kargo. Bukan itu sahaja, penumpang belakang juga tidak akan mengeluh kepanasan kerana terdapat corong penghawa dingin pada bahagian tersebut yang boleh dilaras.

pict3

Bagi model ini juga, UMWT turut menawarkan elemen pilihan termasuklah Sistem Navigasi Audio-Video DVD (DVD-AVN) yang membolehkan sambungan daripada sistem berkenaan ke telefon bimbit pintar (Android dan iOS) dengan menggunakan WiFi. Ia juga membolehkan pengguna mengakses aplikasi Internet Browser serta sambungan Bluetooth berfungsi memainkan muzik dan membuat/menjawab panggilan telefon secara bebas-tangan.

Ia juga mempunyai fungsi Pengesanan Suara untuk audio, telefon bimbit dan sistem navigasi. Di mana kesemua informasi tersebut dipaparkan di skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci yang boleh bertindak balas dengan pergerakan tangan dan gerak isyarat udara.

Selain itu, ia turut menampilkan Miracast™* yang membenarkan skrin menyokong beberapa aplikasi termasuk Waze atau Google Maps dari telefon pintar yang dipaparkan menerusi skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci. Ia juga menyokong sambungan HDMI (bagi telefon pintar terpilih sahaja).

Sistem navigasi yang ditampilkan pula ialah peta digital jalan-jalan di Malaysia, Singapura dan Brunei yang turut memprogramkan lokasi bagi pusat jualan dan selepas jualan Toyota bagi memudahkan pengguna mengetahui lokasi berhampiran di seluruh Malaysia.

Ia juga turut berfungsi sebagai kamera undur dengan pandangan yang lebih lebar, bersama garisan arah statik bagi membantu pemandu menentukan posisi yang tepat sewaktu memarkir kenderaan.

Lain-lain elemen tambahan yang turut ditawarkan ialah dua versi Sistem Hiburan Bagi Tempat Duduk Belakang (RSE) dan portable tyre pump. Harga bagi pilihan elemen tambahan ini adalah antara RM200 hingga RM2,990.

Pembelian Fortuner ini turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun/100,000 km (mana-mana yang tiba terlebih dahulu).

Harga atas jalan berserta insurans bagi Fortuner 2015 adalah seperti berikut :

TOYOTA FORTUNER 2.5G (D) A/T : RM172,122.20
TOYOTA FORTUNER 2.5G (D) A/T TRD Sportivo : RM175,580.20
TOYOTA FORTUNER 2.7V (P) A/T : RM179,841.30
TOYOTA FORTUNER 2.7V (D) A/T TRD Sportivo : RM183,325.00

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *