Nissan X-Trail 2.0 2WD & 2.5 4WD miliki personaliti & sifat pengendalian tersendiri

By  |  7 Comments

XTRAIL-TEST-DRIVE-40

Nissan X-Trail generasi ketiga telah pun selamat dilancarkan pada 23 Januari lalu. Model serba baharu ini dilihat memiliki personaliti tersendiri, jauh berbeza dengan generasi pertama yang dihasilkan 15 tahun yang lalu dan yang kedua pada 2007-2013.

Malah X-Trail baharu ini juga turut popular dengan gelaran ‘Baby Murano’ kerana memiliki imej yang agak mirip dengan model Murano. Nampak gayanya percaturan yang dilakukan oleh Nissan di dalam memberikan persalinan baharu pada X-Trail generasi ketiga ini membuahkan hasil. Malah penampilannya nampak lebih elegan, sporty dan meninggalkan ‘imej pakcik-makcik’.

XTRAIL-TEST-DRIVE-3

Sejurus selepas majlis pelancarannya yang berlangsung di pusat pameran Nissan baharu yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) terus membawa sekumpulan media permotoran memandu uji X-Trail ini menuju ke Swiss-Garden Resort, Pangkor.

Kami diberikan peluang memandu uji kedua-dua varian iaitu 2.0 2WD dan 2.5 4WD secara bergilir-gilir bagi mengenali lebih dekat lagi X-Trail baharu ini. Penulis bergandingan dengan Danny Tan orang kuat Paultan.org, memandu varian 2.5 4WD terlebih dahulu sebelum bertukar ke 2.0 2WD.

XTRAIL-TEST-DRIVE-5

Tidak dinafikan, sejak Infokereta.com menyiarkan artikel mengenai model ini mula dibuka tempahan pada 12 Disember lalu, kami banyak menerima pertanyaan dari para pembaca yang tidak sabar ingin mengetahui apakah keistimewaan X-Trail serba baharu ini. Apatah lagi penampilannya yang lebih segar membuatkan ia mampu dijadikan pertaruhan oleh Nissan untuk menambat perhatian ramai.

Sebelum bercerita mengenai imej baharu yang dipertaruhkan, pasti anda ingin tahu apakah X-Trail generasi ketiga ini memiliki prestasi dan pengendalian yang lebih mantap? Baca ulasan pandu uji ini bagi mengetahui tentang perkara ini.

Beza antara dua varian X-Trail ini adalah kekuasaan kapasiti enjin masing-masing. Di mana varian tertinggi iaitu 2.5L 4WD dikuasakan oleh unit enjin QR25DE-k2 dengan CVTC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 169 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 233Nm pada 4,000 rpm.

Manakala varian 2.0L 2WD pula dijana oleh enjin MR20DD bersama sistem pancitan terus bahan api dan Twin CVTC. Ia mampu menjana kuasa mencecah 142 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 200 Nm pada 4,400 rpm.

Kedua-dua varian ini turut dipadankan kotak gear Xtronic CVT generasi baharu dengan mod manual tujuh-kelajuan serta sistem ECO Mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, selain prestasi pemanduan lebih lancar dan berkuasa.

Penulis berasakan langsung tiada masalah dengan kerahan tenaga yang dihamburkan oleh kedua-dua jenis enjin. Bahkan ia sangat bekerjasama erat dengan transmisi yang mampu menukar gear dengan lancar dan senyap.

Namun, tidak dinafikan, enjin 2.5L memang cukup memuaskan kerana ia mampu mengerahkan X-Trail varian tertinggi ini dengan ledakan kuasa yang tersendiri. Malah ia juga tidak perlu kerahan tenaga yang berlebihan andai ingin mendapatkan kelajuan yang tinggi termasuk secara mendadak. Enjinnya mampu menghamburkan kuasa mengikut kehendak pemanduan.

XTRAIL-TEST-DRIVE-7

Namun, penulis kurang menyenangi bunyi enjin ini kerana ia agak bising dan menyerap masuk ke dalam kabin. Secara tidak langsung, sering membuatkan konsentrasi pemanduan sedikit terganggu. Makin pedal pendikit ditekan, bunyinya makin jelas kedengaran.

Berbeza dengan varian 2.0L, bunyi enjinnya agak senyap. Malah penulis dan Danny turut berkongsi pendapat yang sama, varian 2.0L lebih menyenangkan hati untuk dipandu. Bagi penulis, enjin 2.0L juga tidak kurang hebatnya memberikan kuasa yang cukup responsif biar pun tidak mampu menandingi kehebatan kuasa 2.5L.

Namun daripada segi kecekapan dan responsif, kedua-dua enjin ini memang tidak kurang hebatnya. Justeru, untuk perjalanan pulang ke Shah Alam, kami secara sukarela memilih varian 2.0L untuk dipandu. Secara tidak langsung tidak perlu berebut-rebut dengan media lain yang memilih varian 2.5L.

Mengenai pengendaliannya, tidak banyak kekangan antara kedua-dua varian. Masing-masing mampu memberikan kestabilan dan kemantapan yang diingini di dalam pemanduan. Bezanya varian 2.5L dilengkapi dengan ALL MODE INTELLIGENT 4×4 System (4×4-i) untuk mod memandu yang berbeza berdasarkan keadaan jalan raya. Ia menawarkan tiga mod iaitu pacuan dua roda, Auto Mode yang menukar pengedaran tork antara roda depan dan belakang secara automotik semasa memandu di jalan yang berturap atau licin, dan Lock Mode untuk pemanduan pacuan empat roda sepanjang masa.

Semasa sesi pandu uji ini, kami juga dibawa ke Batu Arang yang terletak di daerah Rawang untuk menguji kedua-dua varian X-Trail ini mencuba sedikit laluan off-road sepanjang kurang dari 5 km. Walau pun tidaklah melibatkan laluan off-road yang hardcore dan ekstrem, cuma melalui jalan berbatu kerikil dan tanah merah yang kering, dusun buah-buahan dan mendaki bukit yang tidak berapa tinggi, namun sekurang-kurangnya dapat juga menguji kehebatan SUV ini.

XTRAIL-TEST-DRIVE-6

Memang tidak ada masalah langsung memacu SUV ini dalam keadaan jalan sebegini, namun jika ditanya adakah sanggup memacunya di laluan yang lebih lasak dan mencabar? Jawapan penulis, sudah tentu tidak walau pun varian 2.5L 4WD mampu melaluinya, kerana terasa sayang jentera sekacak ini dilenjan secara lebih lasak dan ekstrem. Penulis berpendapat, lebih baik lenjan Nissan Navara jika benar mahu melenjan laluan off-road yang kaw-kaw.

Walau bagaimana pun, X-Trail serba baharu ini memang syok dilenjan dalam pelbagai corak jalan terutamanya di selekoh dan laluan berbukit. Ia masih dapat mengelakkan rasa semput pada enjin walau pun ketika jentera dipacu dengan kelajuan yang agak tinggi. Malah sewaktu hendak memotong kenderaan, ia tidak mendatangkan masalah buat kedua-dua varian ini. Kedua-dua enjin ini mampu menghamburkan kuasa dengan mudah termasuklah untuk mencapai kelajuan sehingga 160-180 km/j.

Selain itu, kedua-dua varian juga dibangunkan dengan pelbagai teknologi pengendalian yang lebih canggih. Di mana Nissan X-Trail serba baharu turut menampilkan teknologi perintis seperti Active Chassis Control. Ia disifatkan sebagai teknologi pertama seumpamanya di dunia yang memastikan pengalaman pemanduan lebih lancar dan bebas tekanan.

Malah menerusi paparan monitor yang terletak di tengah-tengah antara meter, pemandu turut boleh memantau keadaan jalan dan pengendalian yang bersesuaia dengan corak jalan yang dilalui. Ketika melalui jalan berselekoh atau pun permukaan yang tidak rata, paparan imej bergrafik menunjukkan keadaan kenderaan yang sedang dipandu. Malah pemandu boleh mengetahui andai berlakunya under steer sewaktu melalui selekoh.

Bukan itu sahaja, Nissan turut menampilkan sistem Active Ride Control yang berfungsi mengurangkan rasa bergegar yang dialami oleh para pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek demi meningkatkan keselesaan.

Manakala sistem Active Engine Brake pula mengubah suai jumlah tekanan brek enjin bagi membantu pemandu mengurangkan kelajuan ketika hendak mengambil selekoh atau berhenti.

Selain itu, sistem Active Trace Control iaitu yang pertama pada diimplementasi pada model Nissan, akan mengenakan sedikit kuasa brek kepada tayar-tayar tertentu secara automatik untuk mengurangkan masalah understeer, selain membantu pemandu mengawal kenderaan ketika melalui selekoh.

Boleh dikatakan pengendalian X-Trail serba baharu ini lebih menyakinkan berbanding dengan model terdahulu. Malah SUV dengan kapasiti tujuh tempat duduk ini masih mampu memberikan keselesaan dalam kebanyakan corak jalan.

Kemantapan dan kestabilannya cukup dirasai, selain dengan pelbagai teknologi pemanduan yang dilampirkan, bantuan sistem suspensi juga memainkan peranan utama. Padanan topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan di belakang pula menggunakan Multi-Link, sangat bersuaian dengan SUV lasak ini.

Kesan olengan badan jentera ini juga kurang dirasai, malah masih mampu memberikan keselesaan buat pemandu dan penumpang termasuk yang duduk di belakang.

Bukan itu sahaja, penulis juga menyenangi kawalan roda stereng yang ternyata mudah dikendalikan tidak kiralah sama ada ketika jentera dipandu secara agresif mahu pun lebih santai. Malah pedal brek juga memainkan peranan yang cukup penting, malah cukup responsif sewaktu diperlukan.

XTRAIL-TEST-DRIVE-8

Selain permukaan jalan off-road, kami sempat menguji kehebatan X-Trail serba baharu ini ketika mendaki bukit. Ternyata dengan adanya sistem Bantuan Mula Mendaki (Hill Start Assist) mampu membantu pemandu menukar brek kepada pemecut secara mudah untuk memulakan perjalanan yang lebih selamat di curam bukit.

Selain itu, bagi varian 2.5L 4WD, terdapat sistem ekstra iaitu Kawalan Menuruni Bukit (Hill Descent Control) yang mengawal kelajuan kenderaan (di antara 4 km/j -15 km/j) ketika menuruni laluan berbukit yang curam atau licin tanpa perlu menekan brek. Ini sekali gus membolehkan pemandu fokus untuk mengawal stereng kenderaan.

Malah Nissan turut mengimplementasikan sistem keselamatan standard bagi kedua-dua varian termasuklah dua beg udara SRS di bahagian hadapan, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dengan Active Brake-Limited Slip (ABLS), ABS, EBD dan BA.

Ketika ditanya mengapa X-Trail baharu ini hanya dilengkapi dengan dua beg udara sahaja, pihak ETCM menjawab, sewaktu tempoh membangunkan model ini yang mengambil masa hampir 3 tahun, model-model pesaingnya hanya memiliki beg udara sejumlah itu sahaja. Walau bagaimana pun, ETCM menjawab, jumlah beg udaranya mungkin akan ditambah pada model yang akan datang.

Ok…Bercerita pula tentang imej luaran dan dalaman yang ditampilkan. Seperti mana yang dinyatakan di perenggan awal, X-Trail serba baharu ini ibarat jelmaan Murano. Model generasi ketiga ini ternyata menampilkan imej yang lebih segar-bugar, menarik pandangan mata dan hati serta lebih mempersona.

Kehadiran lampu nyalaan siang LED berbentuk Boomerang, gril Nissan berbentuk V yang tersendiri dan kombinasi lampu belakang yang standard pada kedua-dua varian antara sifat baharu bagi SUV ini. Malah keistimewaan varian 2.5L 4WD ialah lampu utama LED yang pertama dalam kelasnya dengan fungsi Auto serta lampu isyarat membelok LED.

Kedua-dua varian juga ditampilkan dengan roof rails dan rim aloi bersaiz 17-inci pula memberikan ia lebih menarik dengan sisi yang sedikit agresif serta sporty.

Menjengah pula bahagian kabinnya, kekemasan dalamannya ternyata lebih diperhalusi dan dibentangkan dengan material berkualiti tinggi yang lembut apabila dipegang pada panel instrumen, pintu hadapan dan perehat tangan di konsol tengah.

XTRAIL-2.5-8

Tempat duduk berinspirasikan sifar graviti (Zero-Gravity Inspired Seats) yang membantu mengurangkan keletihan. Jika tempat duduk bagi varian 2.5L 4WD lebih mewah dengan balutan material kulit berwarna hitam, model 2.0L 2WD pula hanya tampil dengan material fabrik dari rona yang sama. Manakala tempat duduk pemandu bagi varian 2.5L 4WD memiliki pelarasan secara elektronik dan hanya manuak bagi 2.0L 2WD.

Ruang di dalam kabin X-Trail baharu ini juga ternyata luas dan cukup selesa. Malah konfigurasi tempat duduk 5+2 sememangnya menawarkan keluasan kabin yang luar biasa, terutamanya apabila tempat duduk tambahan diperlukan untuk kanak-kanak.

Manakala kapasiti kargonya juga mengagumkan iaitu 1,520 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata serta 550 liter jika tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya.

Selain itu, ia turut menampilkan Paparan Bantuan Pemanduan Termaju (Advanced Drive Assist Display- ADAD) bersaiz 5-inci yang terbaik dalam kelasnya untuk memberi kemudahan ketika memandu. Sementara ciri 360° Around View Monitor yang pertama dalam kelasnya yang dilengkapi dengan fungsi panorama 360 darjah berfungsi memudahkan urusan memarkir kenderaan.

X-Trail serba baharu ditawarkan pada harga RM165,800 untuk varian 2.5L 4WD dan RM142,800 bagi varian 2.0L 2WD (harga di atas jalan termasuk insurans di Semenanjung Malaysia). Ia didatangkan dalam lima warna iaitu Tungsten Silver, Titanium Olive, Diamond Black, Graphite Blue dan Brilliant White.

ETCM turut menawarkan waranti selama 3 tahun atau jarak perbatuan 100,000 km mana2 yang tiba terlebih dahulu. Ia turut hadir dengan servis penyelenggaraan percuma selama 3 tahun termasuk alat ganti dan kos upah.

Nissan X-Trail 2.5 4WD

Nissan X-Trail 2.0 2WD

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

7 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *