Mazda2 2015 kemunculan yang dinanti – Varian sedan & hatchback dengan harga RM88k

By  |  0 Comments

IMG_3910

Menyertai keluarganya seperti Mazda CX-5, Mazda6 dan Mazda3, petang ini model yang dinanti-nantikan iaitu Mazda2 telah pun selamat dilancarkan di Glenmarie, Shah Alam. Menjadi model keempat dan kenderaan kompak pertama yang menyertai pasaran Mazda di Malaysia dengan mengadaptasi rekaan KODO – Soul of Motion dan sepenuhnya SkyActiv Technology.

Menariknya, Mazda2 ini turut dikenali sebagai kenderaan jimat tenaga (EEV) dan ditawarkan dua varian iaitu sedan dan hatchback, Mazda 2 ini tampil dengan enjin 1.5 liter SkyActiv-G empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 114 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 148 Nm pada 4,000 rpm serta dipadankan bersama transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

DSC_0116

Bagi bahagian luarannya, Mazda2 dipadankan dengan lampu utama halogen dengan butang pelarasan manual, lampu pencahayaan siang, lampu kabus hadapan, lampu kombinasi belakang, cermin sisi dengan indikator membelok dan rim aloi bersaiz 16-inci.

Selain bentuk kerangka yang berbeza, varian sedan memiliki jaluran mengikut warna badan pada bahagian gril, tetapi tidak bagi sedan.

Manakala bagi bahagian dalamannya, ia turut menampilkan elemen menarik seperti tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dengan jahitan merah, sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, skrin sesentuh MZD Connect bersaiz tujuh-inci dengan tombol Commander Control dan kamera undur, pedal penukar gear, kawalan suhu automatik dan sistem i-stop.

M2_HB_Int_01

Malah ia turut didatangkan dengan Active Driving Display seperti mana yang turut ditampilkan pada Mazda3. Di mana pemandu boleh memantau kelajuan, arah navigasi dan lain-lain data tanpa mengalihkan pandangan daripada jalan raya.

Manakala sistem navigasi pula ditawarkan secara pilihan dengan pakej tambahan bernilai RM1,200.

Bagi varian sedan, ia memiliki ukuran 4,320 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,495 mm tinggi dan jarak roda 2,570, sekali gus memberikan ruang dalaman yang lebih optimum termasuklah memiliki ruang kargo berkapasiti 410 liter.

Manakala bagi varian hatchback pula, ruang kargonya berkapasiti 220 liter dan secara keseluruhannya memiliki kerangka berukuran 4,060 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,470 mm tinggi dan jarak roda sama seperti sedan.

M2_Sdn_03

Bagi aspek keselamatannya pula, Mazda2 dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TSC), ABS, EBD, BA, Bantuan Mula Mendaki, dua beg udara, Isofix, serta sistem amaran tali pinggang keselamatan untuk pemandu dan penumpang di hadapan.

Mazda2 dijual pada harga RM87,956 (dengan insurans) untuk varian sedan dan hatchback. Setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti selama tiga tahun/100,000 km dan servis percuma tiga tahun/60,000 km.

Ia turut didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Soul Red Metallic, Snowflake White Pearl Mica, Metropolitan Gray dan Aluminium Metallic.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *