Honda CR-V baharu memperkenalkan varian terkini 2.0L 2WD – Turut menambah baik 2.0L 4WD & 2.4L 4WD

By  |  0 Comments

IMG_3607

Tidak mahu ketinggalan di dalam ‘berkejar sakan’ mengikut rentak dunia automotif global mahu pun tempatan, Honda Malaysia telah memperkenalkan varian terkini bagi SUV Honda CR-V yang dilancarkan pagi ini di Setia City Convention Centre.

Honda CR-V baharu kini didatangkan dengan tiga varian termasuk penambahan model 2.0L 2WD, selain memberikan suntikan yang lebih segar pada model 2.0L 4WD dan 2.4L 4WD.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno berkata, “Sejak kebelakangan ini, segmen SUV menerima sambutan yang memberangsangkan. Dan berdasarkan maklum balas pasaran, kami mendapati wujud permintaan yang tinggi terhadap SUV pacuan dua roda (2WD). Oleh itu, bagi memenuhi permintaan tersebut, kami memperkenalkan varian 2.0L 2Wd dalam barisan model CR-V baharu ini.”

CRV24_FL_Ext_20

Varian 2.0L 2WD ini berkongsi rangkaian kuasa dengan 2.0L 4WD iaitu menggunakan enjin SOHC i-VTEC yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 155PS dan tork setinggi 190Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan bagi memberikan keseimbangan yang sempurna di antara penjimatan bahan api dan prestasi. Untuk meningkatkan lagi kecekapan penggunaan bahan api, semua varian turut dilengkapi butan Mode ECON sebagai ciri standard.

Varian 2.0L 2WD boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 185 km/j dan dipacu dari 0-100 km/j mengambil masa hanya 12.2 saat. Manakala varian 2.0L 4WD pula mengambil masa 12.7 saat dipacu dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 183 km/j.

Tiada perubahan mekanikal bagi varian 2.4L 4WD dan ia masih mengekalkan enjin 2.4L DOHC i-VTEC dengan kuasa maksimum 190 PS dan tork setinggi 222 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan. Jika model sebelum ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 10.6 saat, varian baharu ini pula mencapai 10.7 saat. Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicapai masih kekal iaitu 190 km/j.

CR-V baharu ini juga direka untuk lebih tegap dan berani menerusi rekaan serta garis badan yang lebih kemas, Bagi menyerlahkan sentimen yang berani, agresif dan sporty, CR-V baharu ini dipasang dengan gril hadapan bersama dua jalur krom serta bampar hadapan dan belakang baharu yang lebih tegap.

Selain itu, CR-V ini juga menerima beberapa elemen baharu. Di mana elemen baharu tersebut menjadi ciri standard bagi ketiga-tiga varian termasuklah lampu kabus belakang, sistem pencahayaan HID dengan pelarasan auto (baharu untuk 2.0L 2WD/2.0L 4WD & dikekalkan untuk 2.4L 4WD) dan lampu pencahayaan siang LED.

CRV24_FL_Ext_22

Varian 2.0L 2WD dan 2.0L 4WD dipadankan dengan rim aloi bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar 225/65 R17. Manakala varian 2.4L 4WD pula tampil dengan rim aloi bersaiz 18-inci dan tayar 225/60 R18.

Manakala pada ruang kabinnya pula, varian 2.0L 2WD dilengkapi dengan tempat duduk balutan fabrik berwarna hitam. Manakala bagi tempat duduk bagi 2.0L 4WD telah dinaik taraf dengan balutan kulit berwarna hitam, sama seperti 2.4L 4WD.

CRV20_FL_Int_01

Ketiga-tiga varian juga ditampilkan dengan skrin paparan pelbagai-maklumat pintar bersaiz lima-inci, roda stereng Tilt & Telescopic, kawalan kelajuan, butang i-MID dan Kawalan Bebas-tangan bagi telefon bimbit pada roda stereng.

Bukan itu sahaja, ketiga-tiga varian juga ditampilkan dengan elemen baharu iaitu cermin pandang belakang anti-silau serta 8-pelarasan tempat duduk pemandu dengan sokongan bahagian bawah badan (hanya ada pada model terdahulu 2.4L 4WD).

Ia turut menampilkan zon berkembar kawalan penghawa dingin, corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang, konsol tengah dengan soket dan USB, perehat tangan di bahagian tengah dengan pemegang cawang serta brek parkir kaki. Walau bagaimana pun varian 2.4L 4WD memiliki elemen ekstra yang baharu iaitu soket HDMI, dan tidak ada pada 2.0L 2WD dan 2.0L 4WD.

Bagi menyamakan elemen standard dengan varian 2.4L 4WD, 2.0L 2WD dan 2.0L 4WD kini turut ditampilkan dengan sistem kemasukan pintar dan butang penghidup enjin. Malah varian 2.0L 4WD kini juga sudah memiliki skrin paparan audio bersaiz tujuh-inci sama seperti 2.4L 4WD (yang hadir dengan elemen ekstra fungsi Navi).

Selain varian 2.0L 2WD, varian 2.0L 4WD kini juga telah ditampilkan dengan Kawalan Bebas-tangan bagi telefon bimbit (HFT) dan Bluetooth Audio sama seperti 2.4L 4WD. Bagi hiburan yang lebih memuaskan, ketiga-tiga varian juga dilengkapi dengan enam pembesar suara.

Bagi CR-V baharu ini, ruang kargonya boleh dipertingkatkan secara dramatik daripada 589 kepada 1,146 liter melalui tempat duduk belakang yang boleh dilipat sepenuhnya melalui One-Motion Rear Foldable Seats.

Berkenaan aspek keselamatan pula, varian 2.0L 2WD dan 2.0L 4WD dilengkapi dengan empat beg udara, dan enam bagi 2.4L 4WD. Selain itu, elemen keselamatan yang standard ialah ABS, EBD, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Perberhentian Kecemasan (ESS), kamera undur dengan pengesan parkir belakang, dan Isofix.

Manakala varian 2.4L 4WD turut diimplementasikan dengan Honda LaneWatch yang merupakan model pertama dalam segmennya yang memiliki ciri ini. Teknologi baharu ini membolehkan pandangan pemandu ke arah trafik sebelah penumpang dipertingkatkan, berbanding jika sekadar menggunakan cermin sisi sahaja. Sebelum ini, Honda LaneWatch hanya ditampilkan pada Honda Accord 2.4L.

CR-V baharu didatangkan dalam lima warna iaitu Modern Steel Metallic, Taffeta White, Twilight Blue Metallic, Alabaster Silver Metallic dan Crystal Black Pearl.

CRV24_FL_Ext_21

Harga atas jalan (tanpa insuran) yang ditawarkan untuk CR-V baharu ini ialah RM135,982.20 bagi 2.0L 2WD, RM146,696.20 untuk 2.0L 4WD dan 2.4L 4WD pula RM165,170.50.

Honda turut menawarkan empat pakej aksesori menarik untuk CR-V baharu yang menggabungkan penambaikan dari segi dalaman dan luarannya. Pakej -pakej ini bermula pada harga yang berpatutan iaitu RM2,650. Malah turut menawarkan jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis setiap 10,000 km.

Bukan itu sahaja, para pelanggan CR-V baharu juga boleh menikmati servis buruh percuma sebanyak enam kali yang diselang-selikan dengan servis berbayar sehingga perbatuan mencecah 100,000 km di semua 77 buah pengedar Honda di seluruh negara.

Honda CR-V Bersama Pakej Modulo

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *