Situasi POPULAR yang kerap dilakukan oleh segelintir pemandu di Malaysia

By  |  4 Comments

HondaJazz1

Kesabaran kita sebagai pemandu bukan sahaja kerap diuji jika terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas, bahkan ia juga sering kali ‘meledak’ apabila terpaksa berhadapan dengan karenah segelintir kurang berhemah atau tidak begitu bertimbang rasa ketika memandu.

Adakalanya sikap yang kurang berhemah atau tidak begitu bertimbang rasa boleh menyebabkan (menambah) kesesakan jalan raya. Paling mendukacitakan, sikap sebegini juga boleh mengundang kecelakaan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Menukar lorong secara mendadak termasuk tanpa memberikan signal antara punca berlakunya kemalangan. Selain itu, memandu perlahan di lorong laju pula boleh menimbulkan kesesakan lalu lintas.

Apabila berhadapan dengan situasi yang boleh menguji kesabaran ini, pasti ada di antara kita yang mudah marah. Tidak hairanlah sekiranya ada yang sanggup ‘mencabar’ kembali ragam ini, contohnya ketika kenderaan yang sedang dipandu dipintas secara mendadak oleh kenderaan lain. Ada pemandu yang tidak puas hati lantas mengejar kembali kenderaan terbabit. Mengekori secara rapat, membunyikan hon bertalu-talu dan menunjukkan isyarat lucah, antara ‘tindakan’ yang diambil ekoran rasa tidak puas hati itu.

Malah situasi sebegini juga boleh menimbulkan ‘kes-buli-di jalanraya’, terus menghalang kenderaan terbabit, berhenti di hadapannya dan berlakukan ‘perkara yang tidak diingini’ termasuk menendang pintu atau mengetuk cermin kenderaan terbabit, meminta pemandu berkenaan keluar dari kenderaan dan maki hamun pun boleh timbul.

Beberapa kes telah dibawa ke mahkamah atau sekurang-kurangnya laporan polis dibuat ekoran kes pembuli/gengster jalan raya. Ingatkah lagi berita mengenai kejadian seumpama ini yang menjadi viral di Internet, umpamanya kes pemandu CR-V dan ‘Kiki – steering lock’ ? Ini antara dua contoh kes yang pernah hangat diperkatakan ekoran salah faham dan sikap kurang bertimbang rasa sesama pemandu.

Screen Shot 2014-12-29 at 11.27.51

Selain itu, mungkin anda pernah ternampak (atau sendiri terjebak), memandu sambil memangku anak di riba. Mungkin si ibu atau bapa memberikan alasan, tidak mempunyai kerusi bayi atau si anak tidak mahu duduk di kerusi bayi, anak akan meragam dan sebagainya. Tahukah anda, perbuatan sebegini mampu mengundang bahaya bukan sahaja pada anda anak beranak, mungkin juga orang lain. Apabila anda memandu dalam keadaan sebegini, bukan setakat fokus pemanduan akan terganggu sedikit, cuba bayangkan jika tangan si kecil itu yang tiba-tiba memulas stereng. Apa yang akan terjadi? Bayangkan sendiri…

Ini belum masuk lagi kes tidak memakai tali pinggang keselamatan bagi pemandu atau penumpang atau kedua-duanya sekali. Anda ‘kaya’ sampai tak kisah hendak membayar kompaun sebanyak RM300 dan juga tidak kisah ia membabitkan nyawa sendiri? Jika anda sayangkan duit dan paling penting, nyawa anda sendiri, pastikan anda memakai tali pinggang keselamatan sehingga sampai ke destinasi yang ditujui.

Rear_Seat_belt-003-850x566

“Pandu cermat, jiwa selamat” dan “Berhati-hatilah di jalan raya”, dua slogan yang cukup popular dari dulu lagi, tapi jarang diendahkan. Mengapa? Ini kerana sering kali pelakuan seseorang bukan dipengaruhi ‘amaran’ sebegini, sebaliknya ia ‘lahir’ dari diri sendiri. Namun tidak salah untuk saling ingat-mengingati, walau pun dua slogan terbabit sering kali ‘berdendang’ di tepi telinga sahaja, tidak meresap sehingga ke dalam jiwa untuk membentuk sikap lebih berhemah di jalan raya.

Hari ini merupakan Isnin terakhir bagi tahun 2014, jadi InfoKereta.com ingin berkongsi antara situasi popular yang kerap dilakukan oleh segelintir pemandu di Malaysia. Apa yang dinyatakan di sini hanya sekadar perkongsian, renungan, amaran, tanda ingatan dan mohon ada yang terasa/sentap (jika melakukannya).

Asal boleh parkir
Ketiadaan petak parkir yang kosong, parkir yang kosong jauh dan malas nak berjalan, “Ala nak park sekejap saja”, antara alasan yang kerap diberi jika ‘terpaksa’ menghalang parkir (blocking). Tapi kalau dah halang kenderaan lain sehinggakan susah untuk ia keluar atau lama pula itu, bukankah tindakan anda ini menyusahkan pemilik kenderaan yang dihalang itu. Ada juga pemandu yang selamba memarkir di selekoh, double parking, main redah saja parkir termasuk di tempat larangan (ada pili bomba) dan macam-macam lagi.

Jika anda terpaksa double parking, pastikan anda meninggalkan nombor telefon bimbit untuk dihubungi (letak atas papan pemuka) atau turunkan brek parkir anda untuk memudahkan orang lain menolak kereta anda.

Tapi bagaimana pula jika yang parkir di lorong sempit atau di selekoh sampai pengguna jalan raya yang lain sukar melalui kawasan itu? Atau menguasai dua petak parkir (parkir senget sampai kereta lain tak boleh parkir di petak sebelah)? Ada harapan gambar kereta anda disebarkan di laman media sosial terutamanya di FB.

Langgar lampu isyarat

Nampak sahaja lampu isyarat bertukar kuning, anda mula menekan pedal minyak sehabis mungkin semata-mata tidak mahu berhenti di lampu merah. Ada pula yang selamba langgar lampu merah (penunggang motosikal kerap melakukannya), asal rasa selamat, main redah dan tempuh.

Tahukah anda, sikap sebegini boleh mengundang padah. Tak perlu untuk menghuraikan padah yang mungkin menimpa kerana rasanya anda sudah cukup matang untuk mengetahuinya.

Menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu

Menggunakan telefon bimbit tanpa kit bebas tangan juga boleh menyebabkan daya tumpuan pemanduan anda terganggu. Sebelah tangan memegang telefon bimbit, sebelah tangan lagi memegang stereng. Ada juga yang membalas mesej atau pun melayari Internet sewaktu memandu. Bukan setakat daya tumpuan ketika memandu terganggu, anda juga boleh disaman kerananya, dan paling membahayakan ia boleh menyebabkan kemalangan atau pun laluan tersebut menjadi perlahan kerana anda sibuk dengan telefon bimbit dan berderet kenderaan mengekori dari belakang.

Disebabkan telefon bimbit sekarang ini makin canggih, ada juga yang suka hati ber’selfie’ atau mengambil gambar ketika SEDANG memandu (bukannya ketika kenderaan berhenti atau penumpang yang tolong rakamkan foto).

Leka di lampu isyarat

Sering kali melibatkan kenderaan yang berbaris di hadapan yang terleka apabila lampu isyarat sudah bertukar hijau. Mungkin kerana leka bersembang, membaca akhbar, melayari Internet menggunakan telefon bimbit, bersolek (bagi perempuan) atau berangan! Bila kenderaan anda terlewat bergerak, pasti ia juga melambatkan pergerakan kenderaan di belakang. Ada sesetengah lampu isyarat yang cepat menukar warna, jadi bila anda terhegeh-hegeh untuk bergerak, ‘aktiviti’ anda itu bukan setakat disahut dengan bunyi hon, tapi mungkin maki hamun dari pemandu di belakang anda.

bkk-ratchaprasong-dt-1

Menggunakan hazard light sewaktu hujan lebat

Rasanya di sekolah memandu dan ketika ujian JPJ, tidak ada silibus yang mengatakan anda perlu menggunakan hazard light sewaktu hujan. Jadi kenapa anda berbuat demikian? Cara terbaik ialah pasang saja lampu utama (headlight) kenderaan anda. Bukannya hazard light (atau bahasa pasar ‘double signal’).

Enggan mengalah memberikan laluan

Ia kerap terjadi jika di bulatan (roundabout), atau yang hendak memasuki simpang (tanpa lampu isyarat dan melibatkan simpang kecil sahaja). Ada pemandu yang sengaja melajukan kenderaan kerana enggan memberikan laluan. Ada yang telah berhenti di simpang jalan atau menghalang garisan putus-putus kerana berlaku kesesakan lalu lintas (atau lampu isyarat bertukar merah) tetapi buat tak tahu sahaja walau ada kenderaan di laluan bertentangan telah memberikan signal sebagai tanda meminta laluan. Ia menggambarkan sikap kurang bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya.

Perlahan untuk menyaksikan kemalangan

Ini antara ‘hobi’ segelintir pengguna jalan raya iaitu memperlahankan kenderaan untuk menyaksikan kemalangan walau pun di laluan bertentangan. Ada yang sibuk hendak merakamkan gambar dan video, bukan hendak menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan atau menolong mengalihkan kenderaan ke laluan kecemasan. Kadangkala kemalangan yang berlaku di jalan yang sering kali sesak (terutamanya di Lebuhraya Persekutuan) akan bertambah sesak dengan ‘wayang percuma’ ini.

Potong barisan

Sering kali berlaku di tol, sama ada pemandu berkenaan keliru lorong manakah yang patut digunakan (sama ada tunai atau sistem elektronik) atau dek sikap tidak sabar dan tidak mahu berbaris panjang untuk membayar tol.

Pandu perlahan di lorong laju

Memang patut kita mematuhi had laju yang ditetapkan, tetapi jika ada kenderaan lain di belakang yang memandu laju, apa salahnya anda mengubah laluan ke lorong tengah atau pun terus ke lorong kiri. Sekurang-kurangnya anda tidak menghalang lalu lintas yang lain. Ada juga pasangan bercinta yang suka memandu perlahan di jalan raya….eh anda terasa?

Sudah mahu masuk simpang, baru hendak tukar laluan

Ada tiga laluan iaitu laluan paling kanan, tengah dan kiri. Selepas 500 m atau 1 Km di hadapan, simpang kiri yang hendak dimasuki. Tapi anda memandu di lorong paling kanan. Lagi 200 m atau 100 m simpang berkenaan, baru anda terhegeh-hegeh hendak menukar lorong. Tahukah anda tindakan sebegini boleh mengundang kecelakaan atau pun kesesakan lalu lintas. Bila masa kenderaan yang berada di lorong paling kanan, hendak menukar lorong ke kiri secara serentak, maka ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Dan jika anda menukar laluan secara mendadak, mungkin ada kenderaan lain yang tidak menyedarinya, maka boleh berlaku pelanggaran.

Jika anda teragak-agak persimpangan yang ingin dimasuki (bagi yang tidak familiar dengan arah jalan berkenaan), disarankan memilih lorong tengah, peka dengan tanda arah jalan dan jangan memandu laju.Seeloknya dengan kelajuan sederhana dan anda cukup bersedia untuk menukar laluan tanpa menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Turn signal

PALING POPULAR : – Tidak memberikan lampu isyarat sisi

Setiap kenderaan waima jentolak disediakan lampu isyarat sisi/signal untuk membelok ke kiri atau kanan. Hanya basikal sahaja yang tidak memilikinya. Tetapi sayang 1000 kali sayang, ramai pengguna jalan raya tidak menggunakannya. Sama ada malas, enggan mengunakannya, menganggapnya sebagai sebahagian daripada aksesori kenderaan atau (tak mungkin) kenderaan anda tidak dilengkapi dengan peralatan ini.

NOTA KAKI :-
Anda bersetuju atau tidak dengan kenyataan di atas? Atau ada hujah yang ingin anda tambah atau dibangkang? Sila kongsikan bersama di FB infokereta.com.

PANDU CERMAT, JIWA SELAMAT. INGATLAH INSAN YANG TERSAYANG.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

4 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *