Ford Ranger 2.2L XLT pamer prestasi pengendalian yang lebih menyakinkan

By  |  5 Comments

Ranger_Ext_04

Ford Ranger T6 telah dilancarkan pada Jun 2012 untuk pasaran Malaysia bersama tiga varian iaitu 4×4 2.2L XLT manual, automatik dan 4×4 3.2L XLT Wildtrak. Setelah dua tahun berada di pasaran dan melihat jualan yang begitu memberangsangkan di sini selain keperluan sistem keselamatan yang diutamakan, Ford Malaysia telah meningkatkan lagi aspek keselamatan yang ada untuk ketiga-tiga varian tersebut.

Elemen keselamatan yang ditambah ialah ESP iaitu sistem keselamatan aktif bagi meningkatkan tahap kawalan pemandu dalam apa jua keadaan, memaksimumkan cengkaman kenderaan dan kestabilan sama ada di atas jalan biasa mahupun off-road.

Dengan adanya pertambahan elemen keselamatan sebegini, secara tidak langsung ia turut memberikan lebih input yang menyakinkan di dalam pengendalian trak pikap ini. Apatah lagi Ford Ranger boleh dikatakan antara trak pikap yang cukup popular dan seronok dikendalikan.

Ranger_Ext_21

Atas permintaan para pembaca yang ingin mengetahui apakah kehebatan yang terserlah dan tersembunyi berkenaan Ranger ini, InfoKereta.com telah memandu uji varian 2.2L XLT automatik selama beberapa hari. Walau pun tidak sempat melenjannya habis-habisan di laluan off-road, namun memandu ujinya di lebuh raya, jalan bandar dan juga sedikit off-road, jentera ini tetap menyerlahkan belangnya.

Penulis memilih untuk memandunya terlebih dahulu di kawasan bandar dan jalan yang sentiasa sesak termasuk di tengah ibu kota dan Lebuh raya Persekutuan.

Penulis akui, perlu mengambil masa hampir setengah jam untuk membiasakan diri dengan jentera ini. Pertama, penulis jarang memandu trak pikap. Kedua, untuk mengagak kuasa yang mampu dilampiaskan agar sukar pada mulanya kerana ia seakan memerlukan kerahan tenaga dengan memberikan lebih tekanan pada pedal pendikitnya.

Setiap kali mahukan jentera ini meluncur laju setelah bergerak perlahan sebelumnya (selepas berhenti di persimpangan lampu isyarat, tersekat di kesesakan lalu lintas atau pun baru memulakan perjalanan), sedikit tension untuk mendapatkan kuasa yang diingini. Namun selepas lonjakan kuasanya terpantul, barulah tenang sedikit rasa di hati. Itu yang dirasai ketika baru-baru berdampingi Ranger ini. Namun semuanya berjaya diatasi selepas beberapa jam bersamanya, keserasian mula terserlah.

Ranger_Ext_29

Mungkin ada yang bertanya, kapasiti enjin 2.2 liter TDCi (Turbo Diesel Commonrail Direct injection) yang menjanakan kuasanya, adakah mencukupi bagi memacu jentera ini? Kalau ikutkan kenyataan di atas, mesti ada yang beranggapan, dengan kerangka yang besar bersaiz 5,359 mm panjang, 1,850 mm lebar dan 1,815 mm tinggi serta seberat 2,010 kg, enjin berkapasiti ini pasti tidak begitu bersesuaian untuk menampungnya.

Enjin ini mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 150 PS pada 3,700 rpm dan tork setinggi 375 Nm pada 2,500 rpm. Bagi penulis, prestasi kuasa yang dipamerkan berada pada tahap sederhana sahaja. Jika anda sudah memahami rentak pengendalian Ranger ini, pastinya soal kuasa boleh diletak ketepi. Ini kerana, enjinnya masih mampu menyalurkan prestasi yang baik (walau bukan yang terbaik) tetapi sedikit kekangan jika anda membawa muatan yang banyak, ia akan terasa kurang berkuasa dan momentum pergerakannya sedikit perlahan bila baru mula bergerak. Tetapi jika sudah berada dalam kelajuan yang diingini, momentum pergerakannya tidak terbatas.

Ranger_Ext_11

Diberi unit pandu uji transmisi automatik enam-kelajuan, penulis menyenangi daya responsif kotak gear ini. Ia cekap membantu menyalurkan kuasa pacuan bergantung pada gaya pemanduan. Ketika menuruni bukit, dengan tekanan pedal brek yang mencukupi, gear akan dianjak menurun bagi menambah kuasa membrek.

Mengendalikan Ranger ini, tidaklah begitu menyukarkan biar pun kerangkanya yang besar dan tinggi seakan ‘menenggelamkan’ penulis yang hanya memiliki ketinggian 153sm. Rasa seperti mengendalikan sebuah kenderaan sedan. Malah ketika mahu memarkirnya juga, tidak ada masalah yang timbul (tidak seperti tanggapan ramai yang mengatakan susah mahu memarkirkan trak pikap kerana saiznya), tetapi kenalah pandai hendak mengagak-agaknya supaya tidak terjulur sangat ke hadapan, terlebih sasaran ke belakang atau pun terkeluar dari petak parkir.

Ranger_Ext_20

Ranger juga mempunyai jarak jejari pusingan minimum 6.2m, jadi untuk membuat pusingan U, mungkin memerlukan skil pemanduan yang lebih cekap.

Cuma agak sulit sedikit jika terpaksa melalui lorong yang agak sempit, tetapi disebabkan trak pikap sememangnya dihasilkan tahan lasak dan kental, maka anda pasti mampu mengatasi masalah pengendaliannya.

Ranger dipadankan dengan sistem suspensi double wishbone dengan gegelung spring pada bahagian belakang dan leaf spring untuk bahagian belakang yang memberikan kemantapan dan kestabilan lebih optimum. Namun jika tidak membawa muatan, hanya pemandu dan penumpang di hadapan, terasa bumpy yang agak ketara apabila trak pikap ini dipandu laju terutamanya jika merentasi lebuh raya mahu pun jalan yang berliku atau permukaan jalan yang beralun/kurang rata.

Tetapi perkara ini dapat dikurangkan jika membawa muatan pada bahagian kargo. Hal ini adalah kebiasaan dan boleh dianggap ‘adat’ bagi trak pikap. Tidak mengundang masalah bagi yang terbiasa dengannya.

Ranger_Ext_36

Jika mahu memandu di laluan off-road, pemanduan dua-roda boleh ditukar ke empat-roda dengan tatapan butang Electronic-shift-on-the-fly (ESOF) yang disediakan yang terletak di sebelah gear. Malah ESOF ini juga boleh dilaras walau pun dalam kelajuan sehingga 120 km/j.

Penulis sempat melenjan Ranger ini di laluan tanah merah, berlopak, berlubang dan sedikit berbukit. Tidak sukar untuk mengendalikannya kerana modnya cukup responsif bergabung dengan skil pemanduan. Sesekali tayar tersekat dalam selut dan lumpur, namun ia mudah untuk melepasinya kerana prestasi Ranger memang diyakini kelasakannya. Dengan mod 4WD, cengkaman tayar juga lebih dirasai dan sangat memahami keadaan jalan.

Ranger_Ext_40

Mujur juga penulis menguji Ranger ini sebelum kejadian banjir besar di Pantai Timur, jika tidak, pastinya penulis ingin menawarkan diri menyertai konvoi menghantar bantuan ke sana. Selain menghulurkan bantuan sedaya mungkin, dapat jugalah menguji kehebatan trak pikap ini meredahi banjir dan lumpur.

Difahamkan, Ranger ini mampu meredahi banjir sehingga kedalaman 800mm, memiliki kapasiti menunda sehingga 3,000 kg, berkeupayaan membawa muatan sehingga 1,190 kg dan kapasiti isipadu muatan pada bahagian kargo sehingga 1.18 cubic per metre.

Ranger_Ext_30

Seperti mana yang dijelaskan pada awal artikel ini mengenai peningkatan elemen keselamatan pada model Ranger termasuklah varian XLT 4×4 ini, selain ABS, EBD dan ESP, ia juga turut dilengkapi dengan Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Load Sensing Proportionate Valve (LSPV), Limited Slip Differential (LCD), Kawalan Kelajuan, Isofix, dan dua beg udara.

Ford Malaysia mengambil keputusan untuk menyerapkan elemen ESP pada kesemua varian Ranger kerana ia adalah sangat penting. Di mana ESP mampu mengesan kenderaan mengalami masalah oversteer atau understeer, sistem ini secara automatik mengurangkan kuasa tork enjin dan/atau membrek pada roda-roda tertentu untuk menstabilkan kenderaan dan membantu ia kekal di laluan sepatutnya.

Ciri ini sangat berguna terutama di atas jalan yang licin, apabila pemandu terpaksa mengubah laluan secara tiba-tiba untuk mengelak kemalangan, atau kenderaaan hilang cengkaman atau pecutan ketika mengambil selekoh.

Berkenaan dengan ciri-ciri luarannya yang ditampilkan, bahagian hadapannya dilengkapi dengan lampu utama halogen automatik, lampu kabus dengan gril krom yang nampak penuh maskulin. Malah elemen krom juga melatari bahagian bampar belakang, pemijak bahagian sisi, sport bar, pemegang pintu, dan perumah lampu belakang.

Rim aloi bersaiz 16 inci yang dibaluti tayar 255/70 R16 menjadi pilihan untuk memberikan kemantapan pada jentera ini.

Menjengah ruang kabinnya, kenderaan lasak sebegini ternyata tidak memerlukan imej yang futuristik seperti mana model Ford seperti Fiesta, Focus, Kuga dan sebagainya. Walau bagaimana pun, ia masih dilengkapi teknologi-teknologi pintar, termasuklah sambungan Bluetooth® dengan Kawalan Suara (Voice Control) dan ciri Kawalan Suhu Dua Zon.

Ranger_Int_22

Selain itu, ia juga menampilkan balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear, paparan pelbagai-fungsi bersaiz 4.2 inci dan enam pembesar suara. Malah penyandar tempat duduk belakang juga boleh dibuka dan memiliki sedikit ruangan untuk ‘menyembunyikan’ barang.

Ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans) iaitu RM96,688, Ranger XLT 4×4 ini memiliki pilihan warna seperti Aurora Blue, Gunmetal Blue, Cool White, Metropolitan Grey, Black Mica dan Highlight Silver.

Secara konklusinya, setelah berpeluang memandu beberapa trak pikap termasuk pesaingnya seperti Isuzu D-Max, Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, ternyata Ranger memiliki rahsia kehebatan yang tersendiri. Seperti mana varian XLT 2.2L ini, biar pun enjinnya berkapasiti sederhana, namun ia masih mampu menyalurkan kuasa yang jarang menghampakan. Malah ia juga begitu terserlah daripada segi kemantapan dan kestabilannya.

Spesifikasi :
Enjin :2.2 liter TDCi
Kuasa maksimum : 150 PS @ 3,700 rpm
Tork maksimum : 375 Nm @ 2,500 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 80 liter
Harga : RM96,688 (tanpa insurans)

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

5 Comments

  1. faiz

    January 6, 2015 at 8:05 pm

    Berminat untuk mengetahui dari segi value of money di Antara ranger, hilux, navara dan triton. Boleh jika penulis memberi ranking pada pendapat penulis sendiri yg mne pilihan pertama hingga akhir

    • Izwaashura Sadali

      January 6, 2015 at 11:02 pm

      Secara personal ya ni… 1) Ford Ranger 2) Mitsubishi Triton 3) Isuzu D-Max 4) Toyota Hilux 5) Nissan Navara

      • BraderJ

        September 25, 2017 at 9:59 pm

        Tipu la

  2. Adbas

    June 16, 2017 at 9:16 pm

    Bagimana dengan Kos penyelewengan?
    Dari Yang paling murah ke Kos yang agak mahal, termasuk kekerapan.

  3. Adbas

    June 16, 2017 at 9:17 pm

    Bagaimana dengan Kos penyelengaraan, dari paling murah ke Kos yang paling mahal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *