Audi Q7 generasi kedua ‘dibongkarkan’ secara rasmi

By  |  0 Comments

Audi Q7_16

Setelah bertebaran perkhabaran mengenai model Audi Q7 yang bakal muncul tidak lama lagi, akhirnya Audi bersedia membongkarkan kewujudannya model generasi kedua ini secara sahih.

Dikatakan sebagai model paling ringan di dalam kelasnya, Audi Q7 hanya seberat 1,995 kg yang dipadankan dengan enjin 3.0 TDI. Ia lebih ringan sebanyak 325 kg berbanding model sebelumnya bagi memberikan 26% lebih kecekapan.

Pengurangan berat ini didorong oleh penggunaan chasis yang ringin dengan menggunakan keluli berketahanan tinggi. Malah campuran aluminium yang digunakan untuk hud dan fender hadapan, dan bahagian belakang turut menyumbang faktor berat jentera ini.

Audi Q7_17

Audi Q7 ini turut memberikan pilihan kepada para pelanggan sama ada memilih padanan lampu utama xenon, LED atau matrix LED, yang digabungkan dengan lampu pencahayaan siang LED.

Berkenaan dengan bahagian kabin, ia turut memberikan ruang yang lebih luas biar pun saiz kerangkanya lebih 37 mm pendek berbanding model sebelumnya. Dengan ruang dalaman 21 mm ekstra antara barisan hadapan dan barisan kedua serta tambahan 41 mm untuk hadapan dan 23 mm untuk ruang kepala, membuatkan Q7 generasi kedua ini tampil lebih selesa.

Manakala bahagian kokpitnya pula dikatakan memiliki persamaan dengan model TT generasi ketiga dan mengimplementasikan sistem hiburan MMI bersama pad sesentuh yang lebih besar. Beberapa butang kawalan pada bahagian kokpit seperti mana model terdahulu, tidak ditampilkan pada model generasi kedua ini. Namun ia bakal menampilkan sokongan Google Android Auto dan Apple CarPlay.

Audi Q7_7

Bukan itu sahaja, ia juga menawarkan sistem bunyi Bose dengan bunyi 3D atau Sistem Audio bersama Bang & Olufsen Advanced yang lebih mahal bersama 23 pembesar suara. Juga ditampilkan dengan sistem hiburan bagi tempat duduk belakang dengan pilihan satu atau dua tablet bersaiz 10.1 inci yang dikuasakan oleh prosesor Nvidia Tegra 4 bersama kamera HD, storan dalaman 32GB bersama sambungan Bluetooth, NFC dan LTE.

Bercerita tentang penjana kuasa, ia memiliki beberapa pilihan enjin termasuklah 3.0 TDI (272 hp/600 Nm) yang cukup untuk memacu jentera dari 0-100 km/j dalam hanya 6.3 saat dan kelajuan maksimum dicatatkan sehingga 234 km/j. Penggunaan bahan api pula dicatatkan dengan anggaran 5.7 liter bagi setiap 100 km.

Audi Q7_10

Manakala enjin 3.0 TFSI mampu memberikan kuasa sehingga 333 hp dan tork 440 Nm yang mampu dipacu dengan kelajuan maksimum sehingga 250 km/j dan 0-100 km/j dalam hanya 6.1 saat. Penggunaan bahan api pula dicatatkan dengan anggaran 7.7 liter bagi setiap 100 km.

Bagi pasaran Asia dan USA, model Q7 2015 ini juga akan mendapat pilihan enjin 2.0 TFSI dengan kuasa 252 hp dan tork 370 Nm.

Bukan itu sahaja, Audi turut mengesahkan kehadiran varian e-tron quattro plug-in hybrid yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 373 hp dan tork setinggi 700 Nmm. Ia merupakan model pertama Audi yang dipadankan dengan plug-in hybrid diesel dengan penggunaan bahan api beranggaran 1.7 liter bagi setiap 100 km.

Di mana enjin 3.0 TDI dengan kuasa 258 hp akan bergabung tenaga bersama motor elektrik (94 kW) yang dipadankan bersama kotak gear tiptronic lapan-kelajuan.

Audi Q7 ini dijangka akan dibuka tempahannya di Jerman pada musim bunga tahun hadapan dengan harga bermula €61,000 (RM334,565) dan penghantarannya mulai musim panas.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *