Citroen DS3 refleksi jiwa muda

By  |  0 Comments

CitroenDS3_Ext_14

Melihat akan gaya yang ditampilkan pada malam pelancarannya pada 26 Februari lalu membuatkan hati ini membuak-buak ingin tahu apakah ia setanding dengan prestasi yang diterjemahkan. Biar pun terpaksa menanti begitu lama untuk memandu ujinya, namun peluang yang diberikan ini tidak dipersiakan.

Sukar untuk mengalihkan pandangan daripada terus ralit memerhatikan segenap ruang luaran dan dalaman yang ada pada Citroen DS3 ini. Malah penampilannya begitu mudah menawan hati, tidak seperti ‘abangnya’, DS5 dan DS4. Walau pun seakan berkongsi sifat futuristik, namun DS3 membentangkan elemen yang lebih pantas menarik perhatian penglihatan.

Sebelum kita bercerita elemen menarik yang ditampilkan pada keseluruhan badan luaran dan dalamannya, sila baca ulasan mengenai prestasi jentera hatchback ini terlebih dahulu.

CitroenDS3_Ext_01

DS3 ini didenyutkan oleh nadi 1.6 liter VTi empat-silinder sebaris yang mampu menghembuskan kuasa sehingga 120 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 160 Nm pada 4,250 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan. Mungkin menjadi persoalan anda, adakah cukup dengan sekadar empat-kelajuan? Pasti ada segelintir dari anda yang mengatakan sekadar empat-kelajuan tidak mencukupi. Dan ada juga yang mengatakan, cukuplah dengan transmisi sebegini.

Bagi penulis, secara peribadi, memang terasa ia tidak mencukupi. Apatah lagi jika memilih mod pemanduan manual dan memandunya pula di lebuh raya, terasa anjakan gear yang terhenti pada angka ‘4’ mengurangkan rasa kepuasan ketika memandunya.

Namun ini tidak membantutkan DS3 ini untuk dipacu lancar. Malah ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum mencecah 190 km/j dengan catatan 0-100 km/j hanya 10.9 saat. Walau bagaimana pun, ketika memecut DS3 ini di lebuh raya, penulis hanya ‘berani’ setakat 170 km/j sahaja, bukan kerana kerangkanya yang kecil tetapi terasa olengan badannya yang agak ketara. Jadi lebih elok sekiranya memandu dalam kelajuan yang sederhana dan di bawah 140 km/j.

CitroenDS3_Ext_31

Berpatah semula ke prestasi yang dihamburkan, penulis berpuas hati bab ini. Enjin 1.6 liter VTi ini pantas memberikan kuasa yang dikehendaki. Tidak perlu kerahan tenaga berlebihan kerana enjinnya cukup responsif dan seakan memahami rentak yang dikehendaki. Disebabkan kerangka jentera ini kecil molek dan hanya seberat 1,164 kg, lantas ia tidak memberikan sebarang masalah untuk lonjakan kuasa.

Biar pun penulis ada menyentuh kelemahannya berhubung olengan badannya, ia cuma dirasai ketika jentera dipacu dalam kelajuan yang tinggi iaitu melebihi 140 km/j, terutamanya pada jalan yang lurus dan melalui permukaan jalan yang beralun.

Namun ketika melenjannya di jalan yang berselekoh dan berliku, jentera mampu kekal stabil dan terasa kemantapannya. Ternyata padanan suspensi yang bersesuaian iaitu topang MacPherson di bahagian hadapan yang cukup bekerjasama dengan Flexible Transverse Beam yang menopang bahagian belakang banyak membantu dalam hal ini.

CitroenDS3_Ext_38

Manakala roda stereng, pedal pendikit dan brek bersatu memainkan peranan masing-masing dengan cemerlang. Penulis juga menyenangi roda stereng berkuasa elektrik ini yang terasa ringan ketika memandu perlahan dan berat jika jentera dipacu lebih agresif. Sifat kontra ini memberikan lebih kepekaan sepanjang pemanduan.

Bukan itu sahaja, DS3 juga tampil dengan pengehad kelajuan (cruise control) dan indikator penukar gear yang memaklumkan bila gear harus ditukar bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien. Jika menurut risalahnya, DS3 mampu mencatat penggunaan bahan api dengan anggaran 6.9 liter bagi setiap 100 km. Namun ini bergantung pada keadaan pemanduan dan muatan yang dibawa.

Dan disebabkan bertubuh kecil, jejari pusingannya mampu mencapai sehingga 10 m, sangat memudahkan pengendalian terutamanya ketika ingin membuat pusingan u. Pendek kata, DS3 ini memang sesuai untuk pemanduan urban.

CitroenDS3_Ext_21

Dengan saiz ukuran 3,948mm panjang, 1,715 mm lebar dan 1,483mm tinggi serta jarak roda 1,467 mm, pastinya DS3 ini cukup memberikan kemudahan buat pemandu (terutamanya pemandu wanita) untuk mengendalikannya. Senang hendak melalui lorong yang sempit, mudah untuk diparkir dan menyelit-nyelit ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Mengenai aspek keselamatan pula, pastinya Citroen mahu memberikan yang terbaik buat DS3 ini demi keselamatan pemandu dan para penumpannya. Ia dilengkapi dengan ABS, EBD, Bantuan Brek Elektronik (EBA), Program Kestabilan Elektronik (ESP), enam beg udara, penyambungan ISOFIX dan tiga poin tali pinggang keselamatan untuk penumpang di belakang sebagai ciri standard.

Lebih meyakinkan lagi apabila jentera dari segmen-B ini turut menerima pengiktirafan lima bintang daripada Euro NCAP di dalam ujian pelanggaran.

CitroenDS3_Ext_04

Seperti mana yang penulis katakan pada awal artikel ini, ternyata DS3 turut berkongsi sifat futuristik, sama seperti iaitu DS5 dan DS4. Namun penulis melihat, gaya yang ditampilkan ini lebih bersesuaian dengan DS3 yang bertubuh kecil tetapi nampak dramatik dan sporty.

Bentuk kerangka yang sungguh menonjol dengan penampilan Shark Fin pada B-pillar dan lampu hadapan yang dilengkapi dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED antara elemen utama bagi rekaan luaran yang dipertaruhkan.

Malahan garisan luaran kerangka dengan kemasan krom turut memberikan refleksi tersendiri buat DS3 ini. Ditambah pula dengan padanan rim aloi Bellone Black Diamond bersaiz 17-inci pasti menyerlahkan lagi imej DS3 ini.

Lampu belakang dengan efek 3D bersama logo DS3 pada bahagian tengah membuatkan penampilan jentera ini makin bergaya biar pun daripada pandangan ekornya. Ternyata rekaan luaran DS3 bukan sekadar eksperimentasi semata-mata, namun terlahir dari karya seni halus yang dipersembahkan pada sebuah jentera.

CitroenDS3_Int_17

Menyusup ke bahagian kabinnya, anda akan tertarik dengan rekaan kokpitnya. Biar pun tidak segempak kokpit DS5 yang seakan sebuah jet pejuang, namun DS3 juga tidak menang gaya biar pun sedikit ringkas. Ia tetap menampilkan elemen kemewahan apabila material kulit dan krom menjadi pilihan menghiasi ciri-ciri yang ada di dalam kabin termasuk pada papan pemuka.

Ia turut dilengkapi dengan meter berbentuk kon pada kluster instrumen, sistem audio HiFi, tiga pembesar suara yang terletak di bahagian tengah papan pemuka dan amflified subwoofer di bahagian bonet, pemain CD, kit bebas tangan Bluetooth, zon penghawa dingin automatik digital dan penyegar udara yang tersendiri.

Malah tempat duduk balutan kulit Mistral Claudia pastinya mengundang keselesaan. Penulis juga teruja dengan tempat duduk pemandu semi bucket yang seakan memeluk tubuh penulis sepanjang berada di dalam perut DS3 ini.

Walau pun berkerangka kecil, namun keselesaan berada dalam kabinnya masih dirasai. Tempat duduk penumpang belakang lebih sesuai untuk mereka yang bertubuh sederhana. Ruang kaki serta ruang kepala juga tidak begitu sempit dan boleh dikatakan agak memuaskan.

CitroenDS3_Int_16

Manakala ruang kargonya pula mampu memuatkan storan sehingga 385 liter dan tempat duduk belakang (60:40) boleh dibaringkan bagi memberikan lebih ruangan.

Selain itu, penulis juga pasti tujuh pilihan warna kerangka dengan kombinasi dua tona pada DS3 ini pantas menambat perhatian. Pilihan kombinasi warna begitu sepadan iaitu Red Rouge Rubi dan warna hitam di bahagian atas, Red Rouge Rubi (putih di bahagian atas), White Blanc Banquise (hitam di bahagian atas), White Blanc Banquise (biru di bahagian atas), Black Noir Perla Nera (putih di bahagian atas), Blue Belle (putih di bahagian atas) dan Yellow Jaune Pegase (hitam di bahagian atas).

Dengan harga atas jalan iaitu RM117,888, dengan waranti lima tahun tanpa perbatuan terhad, DS3 ini ternyata cukup bersesuaian dengan golongan muda (atau yang berjiwa muda) tidak kira lelaki mahu pun wanita.

Spesifikasi :
Enjin : 1.6 liter Vti 4-silinder sebaris
Transmisi : Automatik 4-kelajuan
Kuasa maksimum : 120 hp @ 6,000 rpm
Tork maksimum : 160 Nm @ 4,250 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 50 liter

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *