Peugeot 2008 sudah ada di pasaran Malaysia – Harga bermula RM119k

By  |  0 Comments

Peugeot 2008

Membuka lembaran baru tahun 2014, Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi bagi jenama Peugeot di Malaysia, telah memperkenalkan Peugeot 2008 serba baharu untuk pasaran tempatan hari ini. Sejak pertama kali ditayangkan sempena berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIM) 2013 yang lalu, dicatatkan bahawa Peugeot telah menerima lebih 100 tempahan untuk SUV urban ini.

Peugeot 2008 ini dilengkapi dengan enjin 1.6 liter VTi yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 122hp dan tujahan tork 160Nm. Dipadankan dengan kotak gear automatik Tiptronik dengan fungsi mod Sport, 2008 ini mampu dipacu daripada titik sifar ke 100 km/j dengan hanya 11.2 saat dan mampu mencatat kelajuan maksimum sehingga 190km/j.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Nasim Sdn Bhd, Dato’ Samson Anand George, “Pihak Peugeot mensasarkan jualan sebanyak 100 unit sebulan bagi model Peugeot 2008 serba baharu ini. Seperti mana sambutan yang diterima di pasaran Eropah, kami juga berharap ia mencatatkan jualan yang memberangsangkan di pasaran tempatan. Apatah lagi ia sarat dengan pelbagai elemen inovatif dengan rekaan penuh bergaya.”

Antara elemen penuh inovatif yang dipertaruhkan ialah pakej Bantuan Parkir Pintar dengan pengesan pada bahagian hadapan, belakang dan sisi bagi memudahkan pemandu memarkirkan kenderaan ini dengan lebih selamat. Di mana dengan adanya bantuan sistem parkir ini, kenderaan lebih mudah diparkir terutamanya jika ingin memarkirnya daripada sudut sisi (side parking) secara automatik. Dengan memilih butang arahan pada skrin sesentuh untuk membolehkan kenderaan diparkirkan secara automatik. Pemandu cuma perlu mengawal pedal pendikit dan brek sahaja.

Peugeot 2008 ini turut dilengkapi dengan lampu utama automatik ‘Follow Me Home’ dan lampu kawalan ‘Guide Me Home’ yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi dan lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang.

Selain daripada itu, kerangka kenderaan yang agak tinggi membolehkan pemandu memperoleh jarak penglihatan yang lebih baik. Malah model 2008 serba baharu ini juga tampil dengan bumbung panaromik kawalan elektrik yang menyerlahkan lagi gaya kemewahannya.

Turut dipadankan dengan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci, pastinya memberikan gaya yang lebih ranggi pada rekaan luaran 2008 ini. Ditambah pula dengan gril krom pada bampar hadapan dan kekemasan lingkaran krom pada cermin sisi serta lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan.

Manakala bagi bahagian dalaman Peugeot 2008 pula mengetengahkan karakteristik Peugeot i-Cockpit dengan roda stereng kompak, skrin sesentuh resolusi tinggi bersaiz tujuh inci, sistem audio 3D Arkamys berserta enam pembesar suara. Turut ditampilkan ialah penghawa dingin zon berkembar digital automatik dan perehat lengan di bahagian tengah dengan kotak storan.

Dengan ruang kargo berkapasiti 360 liter, ia boleh ditambahkan lagi jumlahnya jika tempat duduk bahagian belakang dilipat dengan hanya menekan butang ‘Smart One’ memberikan lebihan 1,194 liter.

Bagi mengutamakan aspek keselamatan, Peugeot 2008 ini turut dipadankan dengan enam beg udara dan Program Kestabilan Elektronik yang menggabungkan fungsi seperti Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), ABS, EBA dan EBD. Selain daripada itu, elemen keselamatan lain yang turut ditampilkan ialah bantuan mendaki bukit, ISOFIX, lampu kabus bantuan selekoh dan struktur badan berkualiti tinggi (VHSS). SUV ini turut mendapat pengiktirafan lima bintang daripada EURO NCAP.

Didatangkan pada empat warna pilihan menarik iaitu Digital White, Virtual Blue, Dakota Brown dan Artense Grey, 2008 serba baharu ini sudah pun dipamerkan di kesemua pusat jualan Peugeot kecuali di Sabah dan Sarawak. Manakala harga atas jalan berserta insurans yang ditawarkan ialah RM119,888 bagi Semenanjung Malaysia, RM121,888 di Sabah dan RM121,588 bagi Sarawak.

Nasim Sdn Bhd juga akan mempamerkan 2008 di dalam Pameran Bergerak Peugeot di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya bermula 8 hingga 12 Januari ini. Di mana para pengunjung turut berpeluang memandu ujinya berserta lain-lain model Peugeot seperti 508, 408 dan 208.

Pembelian mana-mana model Peugeot turut didatangkan dengan lima tahun jaminan berserta jumlah perbatuan tanpa had dengan tawaran 24 jam perkhidmatan Peugeot Assistance, keahlian Peugeot Privilege dan banyak lagi yang menarik sebagai penghargaan kepada para pelanggan.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *