Polis kenal pasti saman tertunggak kenderaan asing dengan menggunakan ANPR

By  |  0 Comments

bkk-ratchaprasong-dt-1

BERNAMA melaporkan, polis akan menggunakan alat pengimbas nombor plat kenderaan atau ‘Automated Numbers Plate Recognition’ (ANPR) di pintu masuk negara bagi mengenal pasti kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3, peralatan itu akan diguna setelah agensi penguatkuasa berkenaan selesai menaik taraf sistem pembayaran dalam talian (Trafik Cops), yang menjurus kepada penguatkuasaan khusus kepada warga asing.

Laporan itu menyebut ia antara kaedah yang akan dilaksana agensi penguatkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyelesaikan bayaran saman untuk pesalah trafik warga asing.

Sejajar dengan usaha itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menyediakan satu kaedah khusus mengikut Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengawal kenderaan asing daripada memasuki atau keluar dari Malaysia, yang terletak di bawah kuasa Ketua Pengarah jabatan itu.

Laporan itu menyatakan JPJ juga sedang mempertingkat sistem pengurusan dalam taliannya, MySIKAP, bagi memperkemas pelaksanaan kaedah berkenaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, sebanyak 16.3 juta saman dikeluarkan polis trafik bagi tempoh 2011-2013 dan daripada jumlah itu, 121,664 untuk bukan warganegara.

“Jumlah pengeluaran saman tertinggi adalah kepada warganegara Singapura (84,604 saman) dan Brunei (25,803 saman),” katanya.

Daripada 121,664 saman terbabit, hanya 12,713 diselesaikan dan anggaran yang akan diperoleh daripada jumlah tunggakan saman itu ialah RM7.63 juta.

Bagi saman untuk warganegara, sebanyak 6.7 juta telah diselesaikan dalam tempoh 2011-2013 yang bernilai RM1.24 bilion, menurut laporan itu.

“Maklum balas yang diterima melalui borang soal selidik mendapati pelanggan/ orang awam berpuas hati dengan perkhidmatan kaunter Trafik Cops, persekitaran dan tempoh berurusan,” kata laporan itu sambil mengesyorkan beberapa lagi cadangan untuk mempertingkat kecekapan pengurusan saman polis.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *