Mercedes-Benz S300L kenderaan rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang

By  |  0 Comments

MERC KM PENANG

Hari ini terdapat beberapa laman media sosial melaporkan kerajaan negeri Pulau Pinang telah memilih Mercedes-Benz S300L sebagai kenderaan rasmi yang akan digunakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng.

Kereta mewah berwarna perak yang didaftar dengan plat PG1 ini dilaporkan telah dibeli pada harga RM298,263.75 (tanpa insurans) setelah diberi diskaun dan dengan pelepasan cukai. Walau bagaimana pun, Lim menegaskan bahawa pembelian kereta terbabit dibuat setelah mendapat kelulusan daripada majlis mesyuarat kerajaan negeri yang bersidang pada 20 November lalu atas sebab keselamatan pemimpin negeri. Pembelian Merc ini juga bagi menggantikan Toyota Camry yang baru saja dua bulan digunakan oleh KM Penang itu.

“Kerajaan negeri membuat keputusan untuk membeli kereta tersebut selepas melihat harga yang ditawarkan. Pihak kerajaan negeri juga pernah memiliki Merc yang digunakan oleh KM selama 18 tahun, dan terbukti ia sebuah kenderaan yang mampu bertahan lama. Malah kereta yang baru dibeli ini juga bukan untuk kegunaan peribadi. Ia kepunyaan kerajaan negeri dan akan turut digunakan oleh KM baharu selepas saya,” tegas Lim dalam satu sidang akhbar hari ini.

Lim turut menambah, pihak majlis kerajaan negeri memang mahu menggantikan Proton Perdana yang digunakan sebelum ini dengan Mercedes dan bukannya Toyota Camry. Pada mulanya rancangan untuk pembelian Merc ini terpaksa dibatalkan ekoran pihak pengedar kenderaan terbabit tidak dapat memberikan jaminan bahawa mampu memperoleh pelepasan cukai dan diskaun atau pun tidak. Beliau juga berkata, jika kedua-dua perkara tersebut tidak dapat ditunaikan, sudah pasti beliau sendiri tidak akan bersetuju untuk membeli kenderaan mewah terbabit kerana terpaksa membayar harga penuh. Walau bagaimana pun, akhirnya selepas pelepasan cukai (yang dikhabarkan mencecah RM260,000), pihak pengedar kenderaan terbabit memberikan diskaun sehingga RM100,000.

Menurut kerajaan negeri Pulau Pinang, keputusan untuk menukar kenderaan rasmi kepada yang baharu disebabkan kos penyelenggaraan kenderaan lama yang begitu tinggi. Di mana kesemua 21 buah kenderaan rasmi kerajaan negeri berusia lebih 15 tahun dan pada tahun ini saja kos penyelenggaraannya mencecah RM301,238.

Kerajaan Persekutuan juga bakal menerima kenderaan rasmi baharu iaitu Proton Perdana baharu yang menggunakan platform Honda Accord generasi terdahulu. Di mana unit pertamanya telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada 11 Disember yang lalu.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *