Pusat pameran Brabus baharu dilancarkan di Glenmarie

By  |  0 Comments

BRABUS CLS Rocket 730 01

Naza-Brabus Motors Sdn Bhd, yang bertanggungjawab mengedarkan model kenderaan serba mewah Brabus, pagi ini telah melancarkan pusat pameran baharu yang terletak di Glenmarie, Shah Alam. Dengan modal pelaburan sebanyak RM6 juta, pusat pameran baharu yang seluas 5,000 kaki persegi ini turut mempamerkan model-model seperti Brabus ML WideStar, Brabus iBUsiness S class dan Brabus SLK.

Dalam masa yang sama, Naza-Brabus Motors Sdn Bhd turut melancarkan Pusat Prestasi Brabus yang terletak hanya 500m dari pusat pameran ini. Ia seluas 25,000 kaki persegi yang turut menempatkan lapan petak penyelenggaraan yang dikendalikan oleh juruteknik Brabus yang bertauliah.

Majlis pelancaran ini juga menyaksikan penampilan istimewa model Brabus CLS Rocket 730 iaitu yang ditala khas berasaskan model Mercedes-Benz CLS63 AMG. Rocket 730 ini telah diberi penalaan khas oleh Brabus GmbH dengan kemampuan enjin berkuasa 5.5 liter bi-turbo.

Ia mampu meledakkan kuasa maksimum 730 hp dan tork 1,065 Nm yang membenarkan jentera ini dipacu daripada titik sifar sehingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat sahaja. Malah ia juga boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 350 km/j.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat NAZA, Datuk Wira Hj SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Brabus CLS Rocket 730 yang dipamerkan ini adalah bukti usaha gigih dan hasil kerja pasukan Pusat Prestasi Brabus di Glenmarie.

DSC_0039

“Selain itu, pembukaan pusat pameran dan pusat prestasi Brabus ini dilihat sebagai usaha untuk mengembangkan perniagaan di dalam bidang automotif ini. Bukan itu sahaja, ia juga sebagai kemudahan buat pelanggan kami yang menginap di sekitar Lembah Klang,” ujar Datuk Wira Hj SM Faisal.

Turut hadir sama di dalam majlis pelancaran ini ialah Christoph Dietze selaku Pengurus Jualan Brabus bagi Asia-Pasifik dan Afrika, serta David Hector Ratnaike iaitu Timbalan Presiden 4-Wheel Division Kumpulan Syarikat NAZA.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *