Rasionalisasi subsidi minyak tidak dapat dielak di negara sedang membangun – PDAM

By  |  0 Comments

RON95

BERNAMA melaporkan pelan rasionalisasi subsidi minyak sememangnya tidak dapat dielakkan di negara-negara sedang membangun, termasuk Malaysia yang mengambil pendekatan melakukan pengurangan secara berperingkat.

Presiden Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Hashim Othman berkata cadangan pengurangan subsidi minyak sebanyak tiga ribu rupiah atau bersamaan 81 sen oleh Indonesia dilihat satu langkah drastik, bagaimanapun dijangka dapat menjimatkan trilion rupiah dalam jangka pendek.

Katanya pengurangan secara berperingkat akan mengekang kenaikan harga barangan secara mendadak dan permintaan yang perlahan.

“Penjimatan daripada kenaikan harga minyak boleh dilaburkan semula kepada infrastruktur pengangkutan dan Indonesia masih memerlukan banyak jalan, pengangkutan awam dan sebagainya.

“Bagi kita, Malaysia lebih beransur-ansur supaya apa pun tindakan pengurangan subsidi ini tidak akan mengejutkan orang ramai dan tidak mengubah senario ekonomi kita dengan mendadak,” katanya kepada Bernama.

Kerajaan baharu Indonesia akan mengurangkan subsidi petrol dan diesel sebelum hujung tahun ini untuk menangani masalah fiskal terbesar yang dialami negara tersebut iaitu subsidi minyak yang mencecah AS$23 bilion.

Kerajaan Indonesia akan memberi pampasan kepada masyarakat yang paling teruk terjejas oleh perubahan subsidi di negara itu.

Malaysia mengurangkan subsidi petrolnya secara berperingkat dengan langkah terbaru pengurangan sebanyak 20 sen ke atas RON95 dan diesel pada 1 Okt lepas.

Walaupun tidak popular, Hashim berkata langkah pengurangan subsidi minyak amat bertepatan, lebih-lebih lagi dengan masalah fiskal yang dihadapi kedua-dua negara.

Dengan kenaikan itu, kedua-dua kerajaan komited untuk membantu rakyat menghadapinya dengan Malaysia mengambil langkah melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia.

“Kerajaan mesti mencari jalan untuk menampung dan membantu pihak yang memerlukan, terutama golongan berpendapatan rendah.

“Contohnya, dengan menambahbaik pengangkutan awam, mengurangkan kos menaiki pengangkutan awam dan mengurangkan insurans kenderaan,” katanya.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *