22 peraturan UN baharu bakal diwartakan tahun hadapan

By  |  0 Comments

jpj-auto-eng-director-un-regulations-271

Sebanyak 22 peraturan UN baharu di bawah Forum Dunia bagi Pengharmonian Peraturan-peraturan Kenderaan (WP29), bakal diwartakan pada tahun hadapan di Malaysia, mengikut kenyataan yang disampaikan oleh Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ir Haji Mohamad bin Dalib.

Dalam ucapan yang disampaikan semalam di Seminar DreamEDGE 2014 yang bertajuk Memperkasakan Industri Automotif Tempatan yang berlangsung di Cyberjaya, Mohamad berkata, hasil perbincangan antara kerajaan dengan organisasi automotif, telah sepakat untuk mengimplementasikan 22 peraturan baharu pada tahun hadapan.

Diikuti pula dengan 19 lagi peraturan baharu yang diwartakan pada tahun 2017 dan dua lagi menjelang 2020. Ia menjadikan jumlah peraturan UN yang diwartakan mengikut undang-undang Malaysia sebanyak 126.

Antara teknologi tambahan yang dimasukkan ke dalam peraturan tersebut meliputi Brek Kecemasan Autonomi, Amaran Haluan, Pencahayaan Hadapan Adaptif, dan Sistem Pengendalian Bagi Keselamatan Kanak-kanak. Walau bagaimana pun, beliau menambah, walau pun ia tidak dinyatakan bilakah teknologi terbabit bakal efektif diwajibkan bagi kelulusan kenderaan baharu.

honda-civic-driver-assistance-safety-pack-g

“Undang-undang yang diwartakan ini bukan sahaja akan memastikan keselamatan terbaik untuk produk automotif di Malaysia dan menggalakkan rangka kerja automotif di peringkat antarabangsa yang diiktiraf; ia juga akan membuka peluang untuk industri automotif Malaysia mengembangkan perniagaannya ke pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Buat masa ini, sebanyak 77 peraturan UN di bawah WP29 telah diimplementasikan bagi kelulusan kenderaan baharu di Malaysia. Ini termasuk ECE R94 (40% ujian kemalangan hadapan), ECE R95 (ujian kemalangan impak sisi), ECE R66 (ujian kekuatan struktur bagi bas, coach dan trak) dan ECE R43 (ujian pemasangan cermin keselamatan).

Pada 4 April 2006, Malaysia secara rasminya telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menjadi negara yang memeterai Perjanjian Timbal Balik Perakuan (1958) dan Perjanjian mengenai Peraturan Teknikal Global atau Perjanjian Global 1988 menerusi Forum Dunia bagi Pengharmonian Peraturan-peraturan Kenderaan (WP29) yang merupakan badan yang mentadbir kedua-dua perjanjian tersebut.

Active-City-Stop

Ketika diperkenalkan undang-undang UN ini, Malaysia menjadi antara peneraju di negara Asia dan telah diundang untuk menghadiri Pengharmonian Peraturan-peraturan Kenderaan bagi peringkat ASEAN. Malah ASEAN telah mengimplementasikan 19 undang-undang UN ini di bawah fasa pertama dan diikuti 32 lagi pada fasa kedua.

Manakala Kesatuan Eropah telah menetapkan semua kenderaan komersial baharu haruslah dilengkapi dengan Brek Kecemasan Autonomi bermula tahun 2013. Ia juga merupakan syarat kelayakan bagi rating keselamatan EURO NCAP. Antara jenama yang telah mengimplementasikan sistem ini ialah Volvo, Ford, Mercedes-Benz dan Mazda.

Proton juga sedang menguji model prototaip Iriz yang dilengkapi dengan kamera stereo ADAS (hasil teknologi LG) bagi elemen keselamatan seperti Brek Kecemasan Autonomi, Kawalan Kelajuan Adaptif, dan beberapa lagi.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *