Ford Fiesta Sport pamer interpretasi mengagumkan

By  |  2 Comments

Ford Fiesta

Generasi ke-enam Ford Fiesta ini telah pun dilancarkan buat pasaran Malaysia pada 28 September lalu. Ditawarkan dengan dua varian iaitu Sport hatchback dan Titanium Sedan, ‘nafasnya’ disalurkan oleh enjin 1.5 liter Duratec Ti-VCT empat silinder yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 112PS pada 6,300rpm dan puncak tork 140Nm pada 4,400rpm.

Dengan transmisi automatik Powershift enam kelajuan, kedua-dua varian ini dijual pada harga yang sama iaitu RM86,988 seunit. Nampaknya Ford sengaja ‘menurunkan’ kapasiti enjinnya daripada 1.6 liter kepada 1.5 liter untuk model baharu ini dan yang pasti ia agak mempengaruhi pemanduannya tetapi memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

Ketika melihat paras rupa Ford Fiesta ini seminggu sebelum dilancarkan, ternyata ia telah diberi suntikan terkini yang lebih segar. Diberi peluang memandu ujinya selama beberapa jam oleh Ford ketika majlis pengenalannya kepada pihak media seakan tidak memberikan kepuasan untuk menikmati pengalaman pengendaliannya. Lantas peluang memandu ujinya diberikan sekali lagi selama beberapa hari barulah dapat memperoleh kepuasan yang lebih optimum.

Diberikan unit Sport hatchback, Infokereta.com memilih untuk menguji prestasi jentera ini menuju ke Kedah Darul Aman. Perjalanan sejauh hampir 400km (sehala) dari Shah Alam ke Sungai Petani melalui Lebuhraya Utara-Selatan memberikan pengalaman pengendalian Fiesta yang memuaskan.

Ford Fiesta

Dengan kerangka hatchback, memang tidak menjadi masalah buat enjin 1.5 liter itu untuk mempersembahkan prestasi yang memuaskan. Jentera dapat dipacu dengan kelajuan maksimum sehingga 160km/j membelah lebuh raya. Walau bagaimana pun, ketika mahu menambahkan kuasa pecutan ketika kedudukan rpm rendah, penulis terpaksa menekan lebih pedal pendikit untuk kerahan tenaga daripada enjin. Momentumnya sedikit perlahan jika pedal pendikit tidak dipijak habis. Tetapi setelah mencapai kelajuan yang tinggi, Fiesta memang seronok dikendalikan.

Ford Fiesta

Jika menggunakan mod Sport, pastinya mempengaruhi pemandu untuk menekan lebih pedal pendikit untuk mendapatkan kelajuan yang diingini dan pemanduan lebih agresif. Gear secara manual boleh dikawal menerusi butang yang ada ditepi tombol gear. Tetapi bagi penulis, jika Fiesta ini turut menampilkan pedal penukar gear di belakang stereng, ia pasti lebih menyenangkan.

Namun jika memilih transmisi automatik sepenuhnya, anda masih boleh memacu jentera dengan laju tanpa rasa sentakan akibat pertukaran gear. Malah pertukaran gearnya juga boleh dikatakan berlaku dalam keadaan yang senyap dan tidak disedari.

Ford Fiesta

Walau pun merentasi lebuhraya, namun permukaan jalannya tidak menentu. Ada yang rata, beralun dan kurang rata. Jadi pastinya olengan badan atau kesan hentakan boleh dirasai, tetapi bagi Fiesta Sport, ia mampu meminimumkan impak daripada permukaan jalan walau pun berkerangka agak comel iaitu panjangnya hanya 3982mm, selebar 1722mm dan memiliki ketinggian 1489mm. Namun ia tetap mantap dan suspensinya juga sepadanan dengan kerangkanya iaitu menggunakan MacPherson Strut di hadapan dan Twist Beam pada bahagian belakang.

Tetapi penulis kurang menyenangi sistem breknya, bukan kerana ia tidak berfungsi dengan baik. Malah ia cukup responsif sewaktu diperlukan tetapi agak terasa sentakannya. Dan kesan itu lebih dirasai oleh penumpang di sebelah dan di belakang. Apa pun padanan antara Ventilated Disc dan Drum pasti tidak ada yang silapnya.

Stereng berkuasa elektrik (EPS) yang ditampilkan pada Fiesta ini juga sangat memudahkan memandu mengendalikan jentera ini. Malah jika membuat pusingan U, minimum jejari pusingan yang mampu dilakukan ialah 5.1m. Ketika melayani selekoh, memang cukup puas dapat melenjan Fiesta Sport ini. Walau pun sterengnya terasa sedikit berat, namun masih dapat dikawal dengan mudah.

Dengan kapasiti tangki bahan api sebanyak 43 liter, perjalanan sejauh hampir 400km sehala ketika sesi pandu uji ini, berbaki satu bar ketika penulis sampai ke destinasi. Ternyata Fiesta baharu ini memang memberikan penjimatan bahan api yang wajar dipuji biar pun sering dipandu laju dan agak agresif dengan menggunakan mod Sport.

Ford tetap menitik beratkan aspek keselamatan dengan menerapkan beberapa elemen berkaitan yang diperlukan. Antaranya ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mendaki Bukit (HLA), Sistem Anti-Kecurian (PATS) dengan immobilizer, tali pinggang keselamatan dengan pra-regangan, ISOFIX, bantuan parkir, serta isyarat perlindungan perlanggaran di bahagian depan dan sisi.

Ford Fiesta

Berkenaan dengan rekaan luaran dan dalamannya, memang terdapat beberapa elemen menarik yang ditampilkan. Walau pun perubahan yang dilakukan bukan secara besar-besaran, namun tetap memberikan imej yang lebih segar pada rupa Fiesta baharu ini terutama kerangkanya yang lebih tirus pada bahagian hadapan. Perubahan paling ketara yang jelas kelihatan ialah bahagian hadapan Fiesta ini yang tampil dengan jalur gril trapezoidal yang besar dengan padanan lampu utama CSR halogen yang telah dipertingkatkan rekaannya.

Begitu juga dengan bahagian belakang yang tampil dengan imej lebih sporty serta rekaan lampu dan bamparnya juga telah diperbaharui. Rim aloi bersaiz 16 inci yang membaluti tayar 195/50 juga cukup sporty menyerlahkan lagi imej Fiesta ini.

Ford Fiesta

Ternyata rekaan luaran Fiesta tampak lebih stylish, dan menerapkan elemen yang diperlukan dalam pembuatan kenderaan masa kini seperti lampu utama dengan fungsi ‘home safe lighting‘ dan bilah pengelap cermin dengan pengesan automatik ketika hujan.

Manakala rekaan di dalam kabin juga tidak kurang menariknya. Fiesta baharu ini turut memadankan balutan separa kulit dan fabrik pada tempat duduknya dengan memberikan keselesaan yang jitu buat pemandu serta penumpang. Begitu juga dengan tombol gear dan roda stereng turut dibaluti dengan material kulit yang memberikan genggaman lebih selesa buat si pemandu. Papan pemukanya juga direka penuh kemas dan tidak begitu fancy. Cuma ia mempunyai agak banyak butang kawalan pada papan pemukanya. Fiesta ini turut menggunakan butang penghidup enjin dan sistem masukan tanpa kunci.

Ford Fiesta

Untuk infotainmen pula, Fiesta tampil dengan sistem audio SYNC yang turut mempunyai sambungan Bluetooth dan Arahan Suara. Bersama enam pembesar suara dan unit sambungan USB dengan fungsi untuk iPOD, pastinya pemandu dan penumpang dapat menikmati hiburan yang memuaskan sepanjang perjalanan.

Malah ruang tempat meletak kaki dan ruang kepala di bahagian tempat duduk penumpang belakang juga sederhana luas. Tempat duduk penumpang di belakang juga boleh dilipat pada nisbah 60:40 memberikan ruang yang lebih pada bahagian kargo.

Ford Fiesta

Dengan lima pilihan warna kerangka iaitu Chilli Orange, Metropolitan Gray, True Red, Arctic White dan Celestial Blue, pembelian Ford Fiesta ini turut diiringi dengan dua jaminan menarik. Iaitu jaminan selama lima tahun atau 200,000km (mana yang terlebih dahulu) serta juga jaminan di atas program penyelenggaraan Ford Extended Service Plan selama tiga tahun atau 60,000km (mana yang terlebih dahulu) yang turut merangkumi khidmat buruh dan alat ganti secara percuma.

Spesifikasi :
Enjin : 1.5 liter Duratec Ti-VCT, 4-silinder sebaris, DOHC, 16-injap
Transmisi : PowerShift dengan 6-kelajuan automatik
Kuasa maksimum : 112PS @ 6,300rpm
Tork maksimum : 140Nm @ 4,400rpm
Harga atas jalan (berserta insurans) : RM86,988

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *