Great Wall M4… Macam Best! Boleh tahan best jugaklah…

By  |  0 Comments

GWM4_Ext_03

Kalau diikutkan slogan yang tertera pada laman web rasminya, “Macam Best Jer!”, pasti ada yang tertanya-tanya, apa yang ‘best-nya’ SUV kompak buatan China ini? Maklumlah kalau disebut produk ‘Made-In-China’ pasti pelbagai persepsi bakal timbul, terutamanya produk dari sana yang dikatakan selalu kurang berkualiti atau pun ‘main tangkap muat sahaja’.

Jadi untuk mengetahui adakan GWM M4, SUV kompak yang diperkenalkan oleh Go Automobile Manufacturing (GO Auto) selaku syarikat yang mendapat mandat eksklusif bagi pemasaran produk Great Wall Motors (GMW) di Malaysia, best atau sebaliknya, InfoKereta.com berpeluang memandu ujinya selama seminggu.

Namun model pandu uji ini adalah unit CBU yang dibawa masuk terus dari China. Tetapi bagi pasaran Malaysia, unit yang dijual adalah hasil pemasangan tempatan (CKD), yang dipasang di kilang GWM yang terletak di Gurun, Kedah. Malah unit pandu uji ini mempunyai perbezaan daripada sudut imej luaran dan dalaman dengan unit CKD yang dijual.

GWM4_Ext_20

Dan untuk pengetahuan pembaca, biar pun GWM M4 ini masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia (dijadualkan bakal berlangsung pada Januari hadapan selepas beberapa kali tertangguh), namun ia telah pun mula dijual dipasaran. Sehingga kini, ia telah direkodkan mencecah hampir 1,500 unit tempahan dan telah mula diedarkan pada para pelanggan secara berperingkat.

Apa yang menariknya tentang M4 ini? M4 menampilkan tiga varian utama iaitu Standard, Comfort dan Premium. Di mana setiap varian turut ditawarkan dengan transmisi manual dan automatik, yang membolehkan pembelinya membuat pilihan yang lebih variasi. Bagi manual, ia disertakan dengan lima-kelajuan, manakala enam-kelajuan bagi transmisi automatik.

Walau pun begitu, kesemua varian M4 memiliki sudut kejuruteraan mekanikal yang sama. Ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter 4-silinder sebaris DOHC Electronic Throttle VVT MPI Gasoline yang mampu memberikan kuasa sehingga 78 kW pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,200 rpm.

GWM4_Ext_31

Perkara kedua menarik mengenai M4 ini pula ialah ia ditawarkan pada harga atas jalan yang cukup berpatutan iaitu antara RM46,990 hingga RM60,586.32. Bayangkan SUV kompak sebegini dijual pada harga yang cukup rendah. Menarik bukan?

Namun, adakah ia benar-benar menarik dan ‘Macam best!’ seperti mana tagline di dalam laman web GWM Malaysia?

Ini ulasan pandu ujinya.

Penulis diberi unit pandu uji M4 varian Premium transmisi manual. Bagi penulis, gabungan enjin dan transmisi bagi SUV kompak ini memang bertepatan. Kedua-duanya saling memberikan kerjasama yang diperlukan. Malah mampu menghamburkan prestasi yang tidak dijangka.

GWM4_Ext_36

Memiliki karakter 2WD, M4 ini juga sesuai untuk dilenjan sama ada secara santai mahu pun sedikit agresif. Jika mahukan jentera dipecut laju, M4 ini seolah tidak memerlukan kerahan tenaga sehabis yang mungkin. Tekanan pada pedal secara sederhana membolehkan jentera ini dipacu mengikut kelajuan yang diingini.

Namun jika melalui kawasan berbukit, terasa sedikit kekurangan tenaganya, justeru enjin perlu dikerah sedikit berhempas pulas untuk mendaki laluan sedemikian rupa. Begitu juga jika anda mahukan kelajuan mendadak, momentum yang disalurkan sedikit mengambil masa iaitu daripada kelajuan sederhana atau perlahan, untuk terus menderu laju. Namun untuk transmisi manual, perkara ini boleh dikekang dengan menggunakan gear yang lebih rendah.

GWM4_Ext_39

Bercerita soal transmisi, penulis cukup menyenangi kotak gearnya. Boleh dikatakan ia berfungsi dengan baik, dan mampu melancarkan permanduan yang lebih berdinamik. Klac terasa agak ringan, jadi bila harus menukar gear banyak kali disebabkan pelbagai faktor termasuk ketika dalam kesesakan lalu lintas, tidaklah mendatangkan masalah (terutamanya sakit kaki). Namun terasa clutch biting point yang sedikit tinggi, itu cuma sedikit kekurangan.

Bagi memberikan pengendalian yang lebih mantap, M4 ini turut dipadankan dengan sistem suspensi topang MacPherson Independent untuk bahagian hadapan dan Trail Arm Torsion Bar Composite bagi bahagian belakang.

Tidak dinafikan, biar pun ia bersaiz kompak, namun kemantapan dan kestabilannya masih dirasai. Bila melalui jalan berselekoh dan dalam kelajuan yang sederhana, pengendaliannya masih mampu dikawal dengan mudah. Malah kesan olengan juga agak jarang dirasai.

Namun jika berada dalam kelajuan yang tinggi dan melalui jalan berselekoh mahu pun permukaan jalan yang beralun, terasa juga olengan badannya.

Untuk sistem brek pula, ia dikuasai oleh cakera Ventilated yang mengawal keempat-empat tayar. Di mana cengkaman breknya memang cukup responsif ketika diperlukan.

Stereng berkuasa hidraulik yang ditampilkan pula bersifat sederhana. Namun ia masih mudah untuk dikendalikan termasuklah ketika mahu membuat pusingan U, mencelah-celah sewaktu tersekat dalam kesesakan lalu lintas atau memarkir. Di mana M4 ini mampu memberikan jejari pusingan minimum 5.35m.

Dengan ukuran 3,961 mm bagi kepanjangannya, selebar 1,728 mm, ketinggian 1,617 mm dan jarak lebar pula 2,383mm, membuatkan M4 ini memang mudah dikendalikan.

GWM4_Ext_15

Bagi aspek keselamatan, M4 turut dilengkapi dengan ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), dua beg udara SRS, dan Isofix. Namun tambahan bagi model transmisi auto, ia juga dilengkapi dengan Program Kestabilan Elektronik (ESP).

Bercerita mengenai imej yang ditampilkan oleh GWM M4 ini, unit pandu uji Premium (MT) adalah berbeza dengan model yang dijual. Terdapat sedikit perbezaan, jadi harap anda tidak terkeliru.

Jika dilihat pada imej luaran yang ditampilkan, varian ini kelihatan sporty, ada sisi agresif dan juga comel. Stiker Great Wall yang tertampal pada bahagian hud hadapan juga menyerlahkan lagi gaya M4 ini. Begitu juga dengan penampilan engine hood decorative cover dan luggage rack pada bahagian bumbung yang menampilkan imej sporty dan penuh berkarakter pada SUV ini.

Mengikut risalah GWM, varian Premium dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 16 yang dibaluti tayar 205/60 R16, spoiler belakang, lampu utama boleh laras secara elektronik, lampu kabus, dengan gril bersama bampar hadapan yang agak tinggi. Manakala bahagian belakangnya pula kelihatan bampar yang agak lebar dengan lampu belakang yang sedikit membujur.

Masuk ke dalam kabinnya, ruang yang tersedia agak sederhana. Tidak begitu luas, tetapi tidak juga begitu sempit. Cuma ruang kargonya sahaja yang agak kecil dan ini meminimumkan barangan yang boleh diletakkan di bahagian tersebut.

GWM4_Int_24

Tertera di risalah GWM, varian premium dilengkapi dengan kamera undur dan skrin multimedia bersaiz 7 inci yang dilengkapi dengan navigasi. Namun pada unit pandu uji, ia tidak ditampilkan. Susun atur pada papan pemuka juga ringkas dengan butang kawalan yang mudah dicapai serta dikendalikan.

Ia juga ditampilkan dengan stereng balutan kulit yang dilengkapi dengan butang kawalan audio dan juga enam pembesar suara. Sedikit kekurangan pada sistem audionya di mana kualiti bunyi yang dikeluarkan ‘kurang syok didengari’.

GWM4_Int_19

Jika unit pandu uji varian Premium hanya tampil dengan tempat duduk fabrik dua tona dan penghawa dingin kawalan manual. Namun difahamkan bagi unit yang dijual (untuk varian tersebut), ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit dan penghawa dingin kawalan automatik.

Tampil dengan enam pilihan warna iaitu Pearl Black, Sky Silver, Titanium White, Ocean Blue, Jazz Red dan Fashionable Orange. Ia sudah pun berada di 20 bilik pameran GWM di seluruh Malaysia. Pembelian M4 turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Spesifikasi :
Enjin : 1.5 liter 4-silinder sebaris DOHC Electronic Throttle VVT MPI Gasoline
Transmisi : Manual dengan 5-kelajuan
Kuasa maksimum : 78 kW @6,000 rpm
Tork maksimum : 138 Nm @ 4,200 rpm
Harga atas jalan : RM56,990 (Premium), RM51,990 (Comfort) & RM46,990 (Standard)

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *