Ford EcoSport menawan hati

By  |  1 Comment

Ecosport_Ext_04

Minggu lalu, kecoh apabila banyak tempat di kota metropolitan Kuala Lumpur dilanda banjir. Kalau bab banjir, banyak tempat di negara kita sering ditimba bencana alam itu. Mungkin ada di antara kita yang pernah mengalami kerugian besar apabila kenderaan yang dimiliki mengalami kerosakan kerana tenggelam dalam banjir. Sadis bukan?

Nak memperbaikinya, pasti melibatkan perbelanjaan yang besar. Jadi mungkin anda sedang menimbang tara untuk membeli kenderaan lain yang lebih bersesuaian? InfoKereta.com ada pilihan menarik untuk anda.

Ford EcoSport yang dilancarkan secara rasminya buat pasaran Malaysia pada 26 Ogos lalu sememangnya sesuai untuk kegunaan dan keperluan dalam masa sekarang.

Apakah keistimewaan dan kelebihan yang ada pada SUV mini ini? Mengapa ia menjadi pilihan InfoKereta.com untuk disarankan kepada anda yang mencari kenderaan yang sesuai untuk meredah banjir? Ini jawapannya!

Jawapan utama : Ford EcoSport ini mampu mengharungi banjir dengan kedalaman 550mm. Tapi lebih daripada sukatan itu, sendiri mahu ingat!

Mari bercerita mengenai prestasinya terlebih dahulu.

Ford EcoSport hadir dengan dua varian iaitu 1.5L Trend dan 1.5L Titanium. InfoKereta.com diberi varian Trend untuk dipandu uji.

Ecosport_Ext_46

Kalau mengikut sudut mekanikalnya, kedua-duanya tiada perbezaan. Ia dijanakan oleh enjin petrol empat silinder global Ford berkapasiti 1.5 liter Twin Independent Variable Camshaft Timing (Ti-VCT). Ia mampu menjana kuasa sehingga 110PS dan tork puncak mencecah 142Nm.

Malah ia juga dipadankan dengan transmisi automatik Ford PowerShift enam-kelajuan yang ultra efisien dengan ciri Select Shift. Penulis menyenangi transmisi yang ditampilkan ini, ia umpama bergerak secara senyap dan tidak perasan bilakah gearnya bertukar. Malah kelancarannya juga wajar dipuji. Itulah kelebihan yang ada pada transmisi ciptaan Ford ini.

Padanan enjin dan transmisi ini juga telah menawarkan penjimatan bahan api sehingga 15.4km per liter dan emisi karbon dioksida 154g bagi setiap km.

Ecosport_Ext_11

Adik kepada Ford Kuga ini masih mampu dipacu cemerlang jika melibatkan pemanduan pada jalan biasa termasuk lebuh raya. Tekan sahaja pedal pendikit, ia mampu dipacu mengikut kelajuan yang anda inginkan. Cuma kelemahannya apabila melalui jalan berbukit, kuasanya sedikit mencabar untuk diperah. Jentera terasa sedikit berat sehingga membuatkan kaki harus memberikan tekanan yang lebih pada pedal pendikit.

Malah ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat pada jalan yang sedikit berbukit, penulis terpaksa membiarkan kenderaan di hadapan bergerak sedikit jauh sebelum pedal pendikit ditekan. Ini bagi memberikan momentum yang lebih pantas buat EcoSport ini menganjak ke hadapan.

Ecosport_Ext_44

Namun ketika melalui lebuh raya dan merentasi laluan berselekoh, seronok juga melenjan EcoSport ini. Ia umpama memiliki lenggok yang tersendiri untuk memberikan kepuasan pada pemanduan. Walau bagaimana pun, SUV ini kurang sesuai dipandu secara agresif. Ia lebih kepada pemanduan bersederhana.

Malah ia juga tidak sesuai dipandu secara lasak kerana sifatnya hanya dipacukan dengan pacuan 2WD, bukannya 4WD. Jadi, janganlah berimpian untuk meredah off-road dengan EcoSport ini, sangat tidak bersesuaian.

Walau bagaimana pun, pengendalian EcoSport boleh dikatakan mudah dan stabil. Olengan badan kurang dirasai melainkan anda memandu dalam keadaan agresif dan laju, maka ia boleh memberikan efek kurang menyenangkan buat penumpang di sebelah dan belakang.

Ecosport_Ext_09

Sistem suspensi yang digunakan iaiatu topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan Twist Beam bagi bahagian belakang juga berpadanan dengan SUV ini. Ia banyak membantu memberikan kestabilan yang agak mantap dan menjadikan pemanduan lebih selesa.

EcoSport ini cukup sesuai untuk pemanduan urban terutamanya dengan saiznya yang comel dan sedikit tinggi. Ia mempunyai jarak lantai sehingga 200mm, maka jika meredahi banjir dalam kedalaman 500mm, jentera anda masih selamat. Sebab itulah InfoKereta.com sarankan SUV ini untuk anda yang ingin mencari kenderaan lain selepas ‘kejadian banjir di Kuala Lumpur’.

Bukan itu sahaja, saiznya yang mungil juga memudahkan pengendaliannya terutamanya jika bab parkir dan terpaksa melalui laluan yang sempit terutamanya di lorong-lorong belakang bangunan. Ia mempunyai jejari pusingan sehingga 5.3m.

Ecosport_Ext_06

EcoSport memiliki ukuran 4,273 mm panjang, 1,765mm lebar, 1,675mm lebar dan 2,519mm jarak roda. Dengan ukuran sebegini, SUV ini mampu memuatkan lima penumpang dalam satu masa. Dan ia juga memiliki kapasiti ruang kargo sebanyak 362 liter. Jika anda ingin membawa muatan barangan yang lebih, baringkan saja tempat duduk penumpang belakang, EcoSport akan memberikan ruangan kargo sehingga 705 liter untuk anda. Cukup untuk memuatkan seunit mesin basuh bersaiz sederhana di dalamnya!

Ecosport_Int_34

Ruang kaki dan ruang kepala untuk bahagian tempat duduk belakang memadai luasnya. Malah keselesaannya cukup terserlah dengan kekemasan dalaman yang ditampilkan.

Untuk varian Trend ini, biarpun tidak dilengkapi dengan elemen-elemen elegan seperti mana yang ditampilkan pada EcoSport Titanium iaitu model spesifikasi penuh, namun bagi InfoKereta.com, tiada apa yang cacat celanya.

Antara elemen yang melengkapi model ini ialah Remote Flip Key, sistem penghawa dingin kawalan manual dan tempat duduk balutan fabrik berwarna hitam. Memang ia kelihatan basic dan ringkas, tetapi memadai.

Ecosport_Int_26

Ia turut dilengkapi dengan sistem Ford SYNC dan memudahkan pemandu mengawal sistem audio dan telefon bersama sambungan Bluetooth dengan hanya 
menggunakan arahan suara.


Papan pemukanya pula dilengkapi dengan butang kawalan yang memudahkan penggunaanya. Malah kekemasannya juga masih kelihatan rapi biar pun hanya menggunakan elemen plastik sentuhan lembut.

Ford memang amat menitik beratkan elemen keselesaan. Untuk itu, ia menyediakan sistem pendingin hawanya yang begitu efektif sehinggakan ia mampu menyejukkan kabin daripada 65 darjah selsius iaitu suhu luar kereta yang terbiar di bawah matahari pada suhu bawah 30 darjah selsius dalam tempoh hanya 10 minit. Sesuailah dengan suhu di negara kita yang kerap kali dipanahi sang mentari.

Semasa pelancarannya, Ford mendakwa kabin bagi jentera ini sangat senyap pada kelajuan tinggi. Di mana para jurutera Ford telah berusaha keras untuk mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekasaran. Ia mencatat indeks artikulasi paling tinggi dalam kelasnya. Ini antara faktor yang dipersetujui oleh InfoKereta.com. Di mana anda masih boleh berbual sesama sendiri tanpa gangguan bunyi yang terserap dari luar kabin biar pun ketika SUV ini pacu laju.

Ecosport_Int_30

Bagi imej luarannya, EcoSport memang nampak comel yang diselitkan dengan elemen sporty. Gril dan bampar hadapannya diposisikan sedikit tinggi dan kelihatan agresif. Lampu utamanya nampak tajam melintang. Lampu kabus yang mengapit bahagian gril radiator juga secara tidak langsung menyerlahkan imej hadapan EcoSport ini.

Bahagian sisinya pula kelihatan agak mantap dengan garisan aerodinamik yang melintang. Ia juga dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16 inci yang dibaluti tayar 205/60 R16. Manakala pada sudut pandangan belakang, lampu belakang sedikit condong ke dalam turut menyerlahkan imejnya yang sporty.

Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu pula, EcoSport turut dilengkapi dengan stereng bantuan kuasa (EPS) dengan ciri Pull-Drift Compensation membantu pemandu mengurangkan tekanan memandu di bandar. Sama ada untuk memarkir di ruang sempit, menukar haluan di jalan yang sesak atau membuat pusingan U di ruang yang terhad.

Selain itu, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Hill Launch Assist turut disertakan.

Ciri-ciri lain bagi aspek keselamatan termasuklah ABS, Bantuan Parkir Kecemasan (EBA), Sistem Anti-Kecurian Pasif (PATS) dengan Pelumpuh Enjin, tali pinggang keledar pra regangan, teknologi Ford BeltMinder dan ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

Bagi varian Trend ini, ia hanya dilengkapi dengan dua beg udara sahaja, berbanding tujuh yang ditampilkan untuk model Titanium.

Dengan harga atas jalan RM90,298 (tanpa insurans), pemilikan EcoSport varian Trend ini sudah cukup berbaloi. Seperti semua model kenderaan penumpang Ford yang ditawarkan di Malaysia, EcoSport sini juga didatangkan dengan Pelan Servis Lanjutan (ESP) Ford tanpa kos ekstra. ESP Ford adalah program servis dan penyelenggaraan selama tiga tahun atau jarak perbatuan sejauh 60,000km yang meliputi penggantian alat ganti dan kos buruh secara percuma.

Sebagai tambahan kepada pemeriksaan rutin dan servis penyelenggaraan, ESP Ford turut merangkumi penggantian beberapa alat ganti terpilih seperti palam pencucuh, penyerap hentak, tali sawat enjin, pad brek dan penggilap cermin.

Spesifikasi :
Enjin : 1.5 liter Ti-VCT, 14 DOHC, 16V
Transmisi : Automatik PowerShift dengan 6-kelajuan
Kuasa maksimum : 110 PS @ 6,300 rpm
Tork maksimum : 142 Nm @ 4,400 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 52 liter
Warna pilihan :Candy Red, Midnight Sky & Frozen White

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

  1. Mazli

    October 9, 2014 at 7:29 pm

    huhuhu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *