Renault Megane R.S. 265 Sport menerima suntikan lebih segar

By  |  1 Comment

Renault_Megane_RS_265_Sport12

Jika Oktober tahun lalu, TC Euro Cars iaitu pengedar model Renault untuk pasaran Malaysia memperkenalkan Renault Megane RS Red Bull Racing RB8, hari ini giliran Renault Megane R.S 265 Sport pula dilancarkan.

Menerima suntikan yang lebih segar dan sporty, Megane R.S 265 Sport ini telah dipadankan dengan bampar hadapan dan gril baharu dengan logo Renault yang lebih besar menghiasi bahagian tersebut. Bampar hadapan baharu itu telah diberikan suntikan gaya yang lebih harmoni bagi menyerlahkan lagi jentera ini.

Malah kehadiran lampu utama baharu yang dipadankan dengan “kelopak mata” (eyelids) hitam berkilat juga menampakkan imej agresif. Tambahan pula dengan kehadiran kit sisi dan belakang yang menjadikan jentera ini lebih garang.

Rim aloi Tibor Dark Anthrocite bersaiz 18 inci juga menambahkan lagi imej penuh maskulin jentera ini.

Megane R.S 265 Sport ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris 16V Turbo yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan. Ia boleh menghamburkan kuasa sehingga 265 hp pada 5,500 rpm dan tork 360 Nm pada 3,000 rpm.

Jentera ini boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 250km/j. Manakala catatan yang boleh dicapai dari titik sifar ke 100km/j ialah hanya 6.0 saat sahaja.

Megane RS265 FL IK 12

Bagi sistem suspensi, Megane R.S 265 Sport dipadankan dengan Renault Sport Performance hub Independent Steering Axis untuk bahagian hadapan. Manakala bahagian belakang pula menggunakan Semi-Rigid Axis. Untuk brek pula, ia dipadankan dengan Brembo Silver 4 Piston untuk kaliper brek hadapan.

Bagi Megane R.S 265 Sport ini, ia ditampilkan dengan Red Pack yang terdiri daripada Red Front Lip, Red Side Mouldings, Red Rear Spoiler dan termasuklah kekemasan berwarna merah pada bahagian kabin seperti jahitan merah pada tempat duduk dan juga tali pinggang keselamatan juga menggunakan warna yang sama.

Selain itu, jentera ini turut menampilkan R.S. Monitor 1.0 yang memaparkan rekod G-Force, suhu minyak dan klac, kuasa kelajuan, tork dan sebagainya.

Megane RS265 FL IK 5

Antara elemen bagi bahagian kabinnya pula ialah tempat duduk sport dengan material fabrik Carbon Grey R.S., pelbagai mod pemanduan (Normal/Sport/ESP Off) dan penghawa dingin zon-berkembar automatik.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, boleh dikatakan Megane menjadi model paling laris dan utama bagi Renault termasuklah untuk pasaran Malaysia. Bagi Megane R.S 265 Sport, ia telah diproduksi di kilang Palencia yang terletak di Sepanyol.

Dengan harga atas jalan RM199,999.000 (tanpa insurans), Megane R.S 265 Sport sudah boleh didapati di semua bilik pameran Renault seluruh negara.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *