Mazda Biante 2013 merancakkan pasaran MPV di Malaysia- dijual pada harga bermula RM145,719.20

By  |  0 Comments

Mazda Biante

Sejak kebelakangan ini, pasaran automotif tempatan makin banyak menerima kehadiran model kenderaan pelbagai guna (MPV) baharu atau pun yang dinaik taraf. Ini menandakan bahawa permintaan terhadap MPV di kalangan masyarakat kita kian memberangsangkan. Memberikan saingan terhadap Nissan Serena S-Hybrid, Honda Odessey dan Toyota Previa, muncul pula Mazda Biante serba baharu yang dilancarkan oleh Bermaz pada November lalu di pusat membeli-belah One Utama sempena dengan Mazda Motor Show 2013.

Model serba baharu Biante ini merupakan MPV pertama yang menggunakan teknologi SKYACTIV bertepatan dengan misi Mazda yang ingin menampilkan prestasi yang mengagumkan dan dalam masa yang sama ‘mesra alam sekitar’ pada setiap kenderaan keluarannya. Jantung bagi Biante ini dijanakan oleh enjin pancitan terus bahan api generasi baharu yang memiliki tahap efisiensi tertinggi iaitu SKYACTIV-G 2.0. Ia mampu menghasilkan tujahan kuasa sehingga 149hp pada tahap 6,000rpm dan daya tork maksimum 190Nm.

Dipadankan dengan kotak gear SKYACTIV-DRIVE automatik enam kelajuan, pertukaran gear pastinya lebih lembut dan lancar. Malah ia juga mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien seperti mana kenderaan transmisi manual.

Biante turut dipadankan dengan I-Stop iaitu sistem pemberhentian melahu (idling stop system) yang berfungsi mematikan enjin ketika kenderaan berhenti di lampu isyarat dan sebagainya tanpa mengganggu fungsi penghawa dingin dan audio. Enjin akan dihidupkan semula secara automatik apabila pedal minyak ditekan.

Selain daripada penampilan enjin yang mengikut standard kehendak semasa, MPV yang berkapasiti lapan ruang tempat duduk ini turut mempertaruhkan rekaan paras rupa yang menawan bagi menambat hati para pembeli. Dengan rekaan yang bersifat menarik serta penampilan ciri-ciri aerodinamik, bentuk kerangka Biante juga diperbuat daripada material berkualiti tinggi, kukuh dan mengoptimakan beratnya. Malah turut menawarkan ruang kabin yang lebih luas dan selesa kepada pemandu serta para penumpang.

Mazda Biante

Walau pun ia merupakan sebuah MPV, namun Mazda tidak berkompromi tentang keselesaan pengendaliannya. Mazda mahukan pemandu yang mengendalikan Biante ini merasai pengalaman pemanduan yang sama seperti sebuah kereta biasa. Malah sistem suspensi yang diterapkan turut memberikan respons yang sangat memuaskan dengan kawalan stereng yang mudah dikendalikan.

Stereng hidraulik berkuasa elektronik pastinya memberikan tindakbalas yang meyakinkan. Malah nisbah kawalannya juga menyamai pengendalian sebuah kereta biasa termasuklah jejari pusingannya yang tidak memerlukan ruang yang begitu besar, apatah lagi jika ingin membuat pusingan U. Ditambah pula dengan penggunaan cakera brek untuk kesemua roda yang mampu bertindak pantas terutamanya jika terpaksa memberhentikan kenderaan secara mendadak.

Biante direka untuk memberikan lebih ruang, praktikal dan mudah dikendalikan. Ruangan kabinnya menggabungkan keluasan panjang dan lebar jentera. Manakalanya kedudukan tempat duduk di barisan kedua tinggi sedikit daripada tempat duduk di hadapan iaitu mengikut konsep ‘bentangan teater’ yang diolah Mazda sendiri.

Pintu luncur berkuasa elektronik pada bahagian sisi MPV ini turut menjadi daya penarik bagi Biante. Hanya perlu menekan butang yang terdapat pada pintu luncur tersebut untuk membukanya secara automatik. Malah sistem keyless entry turut memudahkan para pemandu khususnya untuk membuka pintu MPV ini.

Mazda Biante

Ruang kargonya juga memberikan keluasan yang optimum, apatah lagi sekiranya tempat duduk barisan ketiga dibaringkan. Lain-lain ciri yang menambahkan lagi bonus kepada Biante ini ialah roda stereng yang turut menampilkan butang kawalan pelbagai fungsi, pedal penukar gear di belakang stereng, meter kluster yang terletak di papan pemuka berhadapan dengan pemandu, ISOFIX untuk kanak-kanak kecil yang berada di barisan kedua tempat duduk penumpang, lampu utama berprestasi tinggi dan lampu kabus di bahagian hadapan. Selain daripada itu, beg udara turut dipasang pada tempat duduk pemandu dan penumpang.

Mazda Biante yang sepenuhnya diimport dari Jepun ini sudah pun berada di pasaran Malaysia pada harga RM145,719.20 (harga atas jalan tanpa insurans). Ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Jet Black Mica, Radiant Ebony Mica, Crystal White Pearl Mica dan Aluminium Metallic.

Spesifikasi :
Enjin : Skyactiv-G 2.0L, 4-silinder, DOHC 16-injap
Transmisi : Skyactiv-Drive automatik dengan 6-kelajuan
Kuasa maksimum : 149hp@6,000rpm
Tork maksimum : 190Nm@4,100rpm
Kelajuan maksimum : 176 kilometer sejam
Kapasiti tangki bahan api : 60 liter
Sistem suspensi : McPherson Strut (hadapan)/Multi-link (belakang)
Sistem brek : Vertilated Dics (hadapan)/Solid Disc (belakang)
Kapasiti kargo : 254 liter
Ciri-ciri keselamatan : ABS, EBD, DSC, TCS & 2 beg udara

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *