Proton Compact Car : Ekspresi pertama undang rasa impresif

By  |  0 Comments

PROTON-IRIZ

Menerusi pertemuan bersama pihak media yang berlangsung di Jabatan R&D Proton, tujuh model Proton Compact Car (PCC) turut ditampilkan secara eksklusif. Namun difahamkan, barisan PCC yang dipamerkan itu merupakan model pra-produksi dan ada beberapa elemen masih dipertimbangkan.

Pun begitu, disebabkan ia masih belum dilancarkan, maka tidak dapatlah InfoKereta.com berkongsi foto-fotonya secara lebih terperinci kerana ia masih embargo. Hanya sekadar berkongsi beberapa foto rekaan luaran dan dalaman yang diberikan oleh pihak Proton sendiri.

Menurut Proton, R&D bagi konsep model ini telah pun bermula sejak empat tahun yang lalu. Dan ia telah menelan perbelanjaan sebanyak RM500 juta untuk membangunkan model yang menggunakan platform serba baharu ini.

Pertama kali melihat secara lebih dekat, tidak dinafikan PCC ini mampu mengundang rasa yang penuh impresif. Bertepatan dengan rekaan yang progresif seperti mana yang diperjuangkan oleh Proton untuk model terbaharunya ini. Daripada bahagian hadapan sehinggalah ke belakang, segenap sudut PCC ini direka dengan penuh terperinci.

Tampil dengan lapan varian iaitu 1.3 Standard (MT/AT), 1.3 Executive (MT/AT), 1.6 Executive (MT/AT) dan 1.6 Premium (MT/AT), imej luaran bagi varian-varian tersebut (dengan tiga cabang varian iaitu Standard, Executive dan Premium) hanya dibezakan dengan kit badan dan rekaan/saiz rim aloinya.

Paling beruntung sudah pastilah varian spesifikasi tertinggi iaitu 1.6 Premium. Dengan imej keseluruhan yang tampil secara sporty, pastinya ia bakal menarik perhatian ramai. Dilengkapi dengan kit badan sepenuhnya bersama dua tona warna (warna kerangka & kelabu), varian ini turut ditampilkan dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED, rim aloi bersaiz 15 inci yang dibaluti tayar 195/55R 15 serta spoiler belakang besar yang sedikit bersegi. Dan menariknya, buat pertama kali Proton telah menampilkan bilah pengelap cermin ‘aeroblade’ untuk model keluarannya.

Full Front

Bagi varian Executive pula, masih disaluti dengan kit badan, tetapi ada sedikit kelainan berbanding dengan kit badan pada model Premium. Di mana pada lapisan bawah bahagian bampar hadapan dan belakang yang dicat dengan tona kelabu gelap. Bar pada bahagian grilnya pula berwarna perak, bukan krom. Selain itu, ia juga tidak ditampilkan dengan DRL. Namun turut memiliki lampu LED yang bertindak sebagai lampu posisi serta ditempatkan pada lampu utama.

Manakala rim aloinya pula bersaiz 14 inci yang dibaluti tayar 175/65 R14. Spoiler pada bahagian belakangnya juga tampil sedikit berbeza dan kelihatan lebih bulat berbanding dengan varian Premium.

Varian standard pula, tidak dilengkapi dengan kit badan dan imej bamparnya juga kelihatan kurang agresif. Perumah bagi cermin sisi dan pemegang pintu pula daripada kekemasan berwarna hitam. Spoiler dan bilah pengelap cermin belakang juga tidak kelihatan.

Berkenaan dengan tayarnya, Proton masih belum membuat keputusan sama ada untuk menampilkan rim aloi enam-jejari seperti mana varian Premium dan Executive atau pun setakat penutup rim plastik sahaja.

PCC tampil dengan ukuran 3,905mm panjang, 1,720mm lebar, 1,550mm tinggi dan 2,550mm jarak roda.

Memasuki bahagian kabin pula, pastinya varian Premium ‘menjuarai’ barisan PCC kerana ia kelihatan elegan dengan sentuhan sporty dan nampak sedikit ‘mewah’. Ia dilengkapi dengan sistem kemasukan tanpa kunci, skrin sesentuh bersaiz 6.2 inci yang turut berfungsi sebagai sistem hiburan dan paparan kamera undur, roda stereng yang dilengkapi dengan butang kawalan audio, tiga port USB (soket kuasa 12V pada bahagian kokpit serta soket kuasa 1.5 dan 2.1 berdekatan dengan tuil brek tangan), tempat duduk balutan kulit yang kelihatan eksklusif dan pelindung cahaya (sun visor) pada tempat duduk penumpang hadapan juga ada sambungan tambahan.

Option Beauty Shot

Bagi model Executive dan Standard, ia dilengkapi dengan tempat duduk fabrik, unit kepala 2-DIN dengan sambungan USB dan Bluetooth, dan kunci kawalan konvensional.

Bezanya, varian Executive dilengkapi dengan roda stereng dengan butang kawalan audio dan soket kuasa USB (sama seperti varian Premium). Kekemasan dalaman bagi kedua-dua varian juga sedikit berbeza seperti lingkaran krom pada corong penghawa dingin.

Mengenai keluasan ruang dalamannya, tidak dinafikan ia memiliki ruang kaki dan ruang kepala yang optimum dan mampu memberikan keselesaan buat penumpang di belakang. Malah ruang kargo pula bersaiz 215 liter dan boleh menjadi lebih luas jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Boot Space

Berkenaan dengan sudut mekanikalnya, kesemua model PCC beruntung kerana dilengkapi dengan enjin VVT yang baharu. Ia menampilkan injap, blok dan imboh baharu, pertama kali diimplementasikan oleh Proton. Malah tidak hairanlah bila mana Proton mendakwa PCC ini merupakan model terbaik mereka buat masa ini.

Di mana model 1.3 liter mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 94 hp pada 5,500 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm. Manakala model 1.6 liter pula berkeupayaan memberikan kuasa maksimum sehingga 105 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 3,750 rpm.

Kesemua varian turut ditawarkan dengan pilihan transmisi sama ada manual lima-kelajuan atau pun CVT.

Berkenaan dengan penggunaan bahan api, Proton mendakwa bagi enjin 1.6 liter, ia mampu tercatat 6.6 liter/100km untuk manual dan transmisi CVT pula 7.4 liter/100km.

Seperti mana yang pernah InfoKereta.com laporkan, PCC amat mementingkan aspek keselamatan dan mereka tidak akan berkompromi tentang soal ini biar pun model ini dijual pada harga yang berpatutan. Di mana kesemua varian PCC dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, EBD, Sistem Kawalan Cengkaman (TSC), Hill Hold Assist (HHA-juga termasuk untuk transmisi manual), Bantuan Brek Hidraulik (HBA) dan ISOFIX.

PROTON-IRIZ-TEASER-0003

Varian Premium pula dilengkapi dengan enam beg udara. Manakala varian Standard dan Executive hanya tampil dengan dua beg udara. Dan kelima-lima tali pinggang keselamatan juga disertakan dengan tiga-poin serta isyarat pemasangan tali pinggang keselamatan (yang akan berbunyi jika ada penumpang termasuk di belakang, yang tidak memasang tali pinggang keselamatan)

Malah model PCC ini juga diproduksi dengan Hot Press-Formed (HPF) dan Ultra High-Strength Steel (UHSS) bagi menjamin ketegaran kerangkanya. Ia sangat penting terutamanya jika kenderaan terlibat dengan kemalangan dan ini dapat mengurangkan risiko kecederaan/kematian pada pemandu/penumpang.

Difahamkan, PCC juga dijangka bakal menerima pengiktirafan lima bintang daripada ASEAN NCAP dan ANCAP (Australian NCAP) selepas melalui ujian pelanggaran.

Mungkin pada hari pelancarannya, ada lagi perincian yang bakal didedahkan. Berkenaan dengan harganya pula, Proton mengesahkan ia bakal ditawarkan dengan harga yang pastinya mampu memberikan cabaran buat model persaingnya. Adakah ia bakal ditawarkan pada harga permulaan di bawah RM45k? Ops! Kita tunggu pengumumannya pada 25 September ini!

Proton turut memaklumkan, tempahan PCC ini bakal dibuka tidak lama lagi dan dijangka mula membuat penghantaran pada pembeli seawal-awalnya bulan Oktober ini. Malah Proton juga bakal menganjurkan Hari Terbuka Proton pada 27 September ini selama dua hari bertempat di Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Shah Alam. Ini bakal memberikan peluang kepada para pengunjung untuk menyaksikan lebih dekat lagi model terbaharu ini dan juga barisan model lain. Malah pengunjung juga berpeluang mengetahui teknologi yang dibangunkan oleh Proton bagi model-model terbaharu keluarannya.

Imej luaran Proton Compact Car

Imej kabin Proton Compact Car

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *