Nissan Teana 2.5XV pamer prestasi memukau

By  |  1 Comment

Nissan Teana25

Sepanjang cuti raya yang lalu, selama 10 hari Info Kereta berpeluang mendamping Nissan Teana 2.5XV. Walau pun pernah memandu ujinya sebelum ia dilancarkan iaitu pada Mei lalu, namun pemanduan dalam masa yang singkat tidak begitu menzahirkan ‘rasa sebenar’ dalam mengenali jentera ini.

Lantas tawaran Edaran Tan Chong Motor (ETCM) untuk memandu ujinya sekali lagi dan dalam tempoh masa yang lebih lama tidak dilepaskan begitu sahaja. Malah penulis memandunya pulang berhari raya ke kampung halaman yang terletak di Kedah Darul Aman.

Varian ini dipadankan dengan ‘jantung’ baharu iaitu enjin dengan kod QR25DE yang telah diberi penambah baikan pada julat tork yang rendah dan sederhana. Ditambah rencah dengan gandingan sistem CVTC Berkembar yang membuatkan ia lebih berkuasa berbanding dengan model sebelumnya. Ia mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 173 PS pada 6,000 rpm dengan tork puncak 234 Nm pada 4,000 rpm.

Tidak cukup dengan itu, rencah ratusnya ditambah pula dengan padanan transmisi baharu iaitu Xtronic CVT. Ia menawarkan penjimatan bahan api, pecutan meyakinkan dan ketahanan yang lebih memberangsangkan berbanding dengan kotak gear automatik konvensional.

Itu sebahagian fakta daripada sudut mekanikal. Adakah fakta yang tertera dalam lampiran mekanikal ini memang benar-benar menepati seperti mana kepuasan pemanduan yang didambakan?

Bagi penulis, Teana 2.5XV sangat mengikut kehendak pemanduan. Sama ada pemanduan di bandar, lebuh raya mahu pun jalan kampung, ia begitu mudah untuk dikendalikan. Ledakan enjinnya sering kali tidak menghampakan terutamanya jika mahukan kuasa pecutan yang lebih.

Tanpa perlu menekan lebih pada pedal pendikit, enjin akan memuntahkan kuasa semahunya tanpa kerahan tenaga yang berlebihan. Dengan tenang, jentera dipacu mengikut kehendak, tanpa dipaksa-paksa, sekali gus mengelakkan pembaziran bahan api.

Nissan Teana39

Satu lagi pujian yang wajar dilemparkan pada jentera ini ialah kawalan gear CVT juga boleh dikatakan bertindak cemerlang. Tidak terasa bila pertukaran gear berlaku. Malah ia juga mampu membantu kuasa pecutan lebih bertebaran.

Jika inginkan pemanduan yang lebih mencabar dan agresif, pilih saja mod Sport. Butangnya ada pada tepi tuil gear. Walau tanpa pedal penukar gear, namun tolakan pada tuil gear juga turut menyalurkan keseronokan mengendalikan jentera ini dalam mod Sport. Malahan lonjakan kuasanya juga kian cemerlang dan sudah tentu menyeronokkan. Apatah lagi jika memandu di lebuh raya.

Ketika memandunya pergi/balik ke/dari Kedah melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, keadaan jalan yang sedikit lenggang seakan memberikan peluang untuk penulis melenjan jentera ini pada tahap maksimum. Walau pun terpaksa berhati-hati andai ada sesuatu yang menghalangi termasuk perangkap laju, namun ia tidak menghalang penulis untuk menguji sejauh mana kehebatan Teana 2.5XV ini.

Dengan pelbagai kondisi jalan, ada permukaan jalan yang beralun, berbukit, berbelok-belok dan sebagainya sepanjang lebih raya tersebut, Teana ini masih mampu memberikan aksi yang mengagumkan. Malah tidak membosankan sewaktu ‘berdampingan’ dengannya.

Ketika melalui jalan yang sedikit berbukit menghala ke Terowong Menora, Ipoh, kuasa kelajuannya tidak terpinggir dek kondisi jalan. Pecutan pada kelajuan antara 120 hingga 140km/j masih mampu membuatkan jentera ini stabil dan mantap. Seakan tidak mendatangkan masalah biarpun melalui jalan sedikit berbukit, malah pedal pendikit tidak perlu ditekan sehabis mungkin. Sebaliknya jentera masih gigih dipacu tanpa membuatkan enjin mengaum tanpa kerahan tenaga berlebihan. Menjadikan pemanduan kian….syok!

Pemilihan sistem suspensi topang MacPherson dengan penstabil untuk bahagian hadapan dan Multi-link juga bersama penstabil pada bahagian belakang ternyata memberikan kerjasama yang cukup optimum. Ia memang cukup mantap dan stabil.

Pemanduan bertambah selesa dengan adanya padanan stereng berkuasa elektro-hidraulik. Di mana kawalan sterengnya memang menyakinkan dalam kebanyakan situasi.

Begitu juga ketika melalui jalan berselekoh, kawalan pengendalian Teana ini ternyata menguja. Mungkin atas bantuan Kawalan Understeer Aktif (AUC) yang ditampilkan pada model baharu ini kerana ia memberikan pengendalian yang lebih meyakinkan.

Walau melibatkan permukaan jalan yang licin, basah mahu pun berpasir. Di mana AUC sangat bekerjasama dengan sistem kawalan cengkaman (TCS) dan kawalan dinamik kenderaan (VDC), membuatkan risiko understeer mampu dielakkan.

Bercerita mengenai keselesaannya, lima bintang buat Teana 2.5XV ini. Pertama keluasan ruang termasuk pada bahagian tempat duduk penumpang belakang, bahagian kargo, ruang kaki dan ruang kepala sangat memuaskan. Setakat tiga penumpang dewasa dan dua penumpang kanak-kanak di bahagian tempat duduk belakang juga tidak mendatangkan rasa kurang selesa. Apatah lagi pada bahagian tempat duduk belakang juga ditampilkan corong penghawa dingin sendiri.

Ruang kargo yang berkapasiti 516 liter juga pastinya mampu membuatkan pemiliknya tersenyum lebar. Hendak membeli-belah atau membawa muatan yang banyak, seakan tidak ada masalah. Setakat pulang dari kampung halaman bersama beberapa buah bagasi termasuk timbunan buah-buahan tempatan, masih boleh melukiskan senyuman lebar.

Ada satu perkara yang paling penulis cukup teruja dengan jentera ini (selain pemanduan dan pengendalian yang mengagumkan), tempat duduk yang direka direka berinspirasikan ‘Graviti Sifar’ ini memang cukup selesa. Pemanduan selama empat jam tidak terasa langsung sakit-sakit badan.

Di mana tempat duduk ini begitu menyokong bahagian belakang badan, daripada paha hingga ke bahagian dada. Malah ketika melalui permukaan jalan yang beralun atau tidak rata, anda masih mampu duduk dengan selesa kerana kurang terasa sentakan atau lambungan. Seakan tubuh anda ‘dipeluk erat’ oleh tempat duduk ini.

Nissan Teana33

Berkaitan dengan penjimatan bahan api, kapasiti penuh tangkinya sebanyak 65 liter. Ketika pulang ke Kedah, ada tercatat baki perjalanan 198km lagi untuk bahan apinya. Tetapi bila kembali ke Shah Alam, baki bahan apinya tercatat lagi 253km lagi perjalanan yang boleh ditempuh sebelum memasuki garisan merah. Mungkin sewaktu perjalanan pergi, penulis terpaksa menempuh sedikit kesesakan lalu lintas yang berlaku di beberapa buah lokasi. Namun perjalanan begitu lancar sewaktu pulang. Dengan anggaran kelajuan bagi kedua-dua hala antara 110 hingga 160km.

Cuma ada satu sahaja masalah yang yang penulis sering hadapi…ok..disebabkan penulis bertubuh kecil molek, memandu jentera bersaiz 4885m (panjang), 1830m (lebar), dan tinggi 1485m (tinggi) ini agak mencabar terutamanya jika hendak memasuki petak parkir atau melalui jalan yang sempit. Tempat duduk sudah ‘ditinggikan’ secara maksimum, tetapi pandangan pada bahagian hadapan sering kali terjejas. Tetapi rasanya itu bukan masalah besar sangat pun… pandai-pandai tentukan halanya…sudah oklah kan! Kan… 🙂

Apatah lagi dengan bantuan parking sensor yang terdapat pada bahagian bampar hadapan dan belakang, dengan imejnya yang dipancarkan menerusi skrin pada bahagian meter, masalah untuk mengendalikan Teana ini boleh diatasi dengan mudah (bagi pemandu bertubuh petite seperti penulis).

Kalau ditanya, adakah jentera ini berbaloi untuk dimiliki, jawapan penulis sudah pasti YA! Dengan harga RM169,900, segala apa yang dipersembahkan memang sudah mampu menzahirkan kepuasan. Malah imejnya ternyata lebih elegan dan sofistikated, meninggalkan imej dahulu yang lebih kepada ‘era-pakcik-makcik’. Malah boleh dikatakan, Teana baharu ini mampu memberikan persaingan sengit buat pencabar terdekatnya termasuk Toyota Camry 2.5, Mazda6 2.5 dan Honda Accord 2.4.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai elemen yang ditampilkan termasuk aspek keselamatan dan imej Teana serba baharu ini, sila klik pada PAUTAN INI.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *