Berhati-hati di jalan raya – Pandu cermat, jiwa selamat!

By  |  0 Comments

20130811_131225_Richtone(HDR)

Hari ini pastinya sudah ramai di antara kita yang mula bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri yang bakal diraikan pada 28 Julai. Bagi yang memandu kenderaan, berhati-hatilah di jalan raya.

“Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah insan yang tersayang” merupakan motto kempen keselamatan jalan raya yang paling popular di negara kita. Biar pun ia sudah dicanangkan sejak sekian lama, namun statistik kemalangan di jalan raya khususnya pada musim perayaan masih membimbangkan.

Walau pun motto ini seakan dipandang remeh oleh segelintir pemandu, namun laungan kerajaan supaya para pengguna jalan raya sentiasa peka dan lebih berhati-hati harus diberi perhatian khusus. Malah harus dipraktikkan cara pemanduan yang selamat supaya dapat mengurangkan risiko kemalangan jiwa terutamanya pada musim perayaan yang bakal kunjung tiba pada minggu hadapan.

Info Kereta membawakan persediaan sebelum memulakan dan semasa dalam perjalanan khas untuk panduan anda. Bagi yang memulakan perjalanan tidak kiralah sama ada memandu kenderaan, menunggang motosikal, menaiki pesawat, atau pun pengangkutan lain, Info Kereta mendoakan moga perjalanan anda sekeluarga selamat tiba ke destinasi yang dituju.

driver3

Persediaan sebelum memulakan perjalanan :
1) Sila lakukan pemeriksaan kenderaan anda di pusat servis kenderaan yang dipercayai. Periksa keadaan tayar kenderaan, minyak enjin, bateri dan air bateri, penghawa dingin dan sebagainya. Pastikan kenderaan anda diselenggara dengan baik dan selamat dipandu.

2) Jangan lupa memeriksa tayar simpanan dan pastikan anda membawa air bateri, minyak enjin, peti pertolongan cemas, pemadam api bersaiz kecil serta peralatan yang berkaitan sekiranya diperlukan ketika kecemasan. Pastikan juga lampu utama, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi dengan baik.

3) Pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan jauh. Memandu di dalam keadaan yang mengantuk dan letih adalah berbahaya.

4) Pastikan anda turut menyemak lokasi berehat termasuk stesen minyak sepanjang perjalanan.

5) Memandangkan ramai yang berpusu-pusu ke kampung halaman masing-masing, anda disarankan agar merancang perjalanan supaya tidak terkandas di dalam kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di lebuh raya utama pada musim perayaan. Anda juga boleh mengikuti perkembangan trafik daripada syarikat konsesi lebuh raya.

6) Sekiranya perlu, anda boleh menggunakan GPS, Waze, Google Maps atau aplikasi yang berkaitan untuk merancang perjalanan anda. Aplikasi sebegini boleh membantu anda mengetahui laluan alternatif sekiranya jalan yang biasa anda lalui mengalami kesesakan atau pun kerosakan.

7) Sila pastikan anda turut menyimpan nombor-nombor penting sekiranya berlaku sebarang kecemasan semasa pemanduan. Termasuklah nombor telefon keluarga terdekat, balai polis berhampiran dan juga mekanik yang dipercayai.

8) Bagi yang menggunakan perkhidmatan Smart Tag atau pun Touch & Go, sila pastikan anda sudah membuat isian semula kad tersebut.

Semasa dalam perjalanan :
1) Tetapkan kelajuan mengikut keadaan trafik semasa. Elakkan memandu perlahan di lorong kanan, memotong dari lorong kiri dan menggunakan laluan kecemasan. Amalkan sikap saling bertoleransi, bertolak ansur dan bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya.

2) Gunakan lampu isyarat jika ingin memotong kenderaan lain atau mengubah laluan.

3) Patuhi papan tanda yang menjadi panduan dalam pemanduan seperti mengetahui kawasan berisiko kemalangan, angin lintang dan sebagainya.

4) Jika hari hujan atau pun cuaca gelap, pastikan anda memasang lampu utama dan bukannya menggunakan hazard light. Perlahankan kenderaan sekiranya jarak penglihatan anda terbatas. Elakkan daripada memandu laju.

5) Awasi jarak pemanduan anda. Jangan sesekali mengekori kenderaan di hadapan secara dekat kerana ia boleh mengundang padah terutamanya jika ia brek mengejut atau pun memasuki simpang secara mendadak.

6) Pastikan anda dan para penumpang memakai tali pinggang keselamatan.

7) Sentiasa fokus pada pemanduan. Jangan sesekali menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu. Jika ada panggilan masuk atau membuat panggilan keluar, anda disarankan menggunakan kit bebas tangan atau kemudahan bluetooth yang boleh disambung terus pada kenderaan anda. Jika mengantuk, seeloknya anda berhenti di tempat yang selamat untuk berehat atau boleh bergilir-gilir memandu dengan keluarga dan rakan yang bersama anda.

9) Kerap melihat cermin pandang belakang dan cermin sisi. Ia boleh membantu anda mengetahui keadaan lalu lintas di belakang kenderaan anda. Malah ia juga boleh dijadikan panduan sekiranya anda mahu menukar lorong, memecut atau memotong kenderaan lain.

10) Selepas memandu dalam tiga hingga empat jam, disarankan untuk berhenti seketika di kawasan rehat yang selamat untuk merehatkan fizikal dan mental anda. Ia juga untuk memastikan kenderaan anda juga dapat berehat seketika bagi mengelakkan enjin terlampau panas dan sebagainya.

Nota kaki : PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang boleh dijadikan panduan untuk anda yang merancang perjalanan menuju ke destinasi masing-masing.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *