Honda Jazz generasi ketiga dilancarkan- Harga RM73k-RM88k

By  |  0 Comments

Jazz_Ext_09

Tampil lebih versatil dengan menawarkan penjimatan minyak yang lebih ekonomi, ruang yang luas, prestasi yang lebih dinamik dan harga yang mampu milik. Itulah empat elemen yang dipertaruhkan untuk Honda Jazz serba baharu. Kemunculan yang dinanti-nantikan…

Mula diperkenalkan pada tahun 2001, kemunculan Jazz generasi pertama seakan mencetus fenomena di Malaysia apabila ia menjadi pilihan kebanyakan generasi muda biar pun ketika itu ia dijual pada harga yang sedikit tinggi. Namun masa demi masa, selepas satu demi satu model facelift diperkenalkan termasuk versi CKD pada tahun lalu, harganya makin menurun.

Jazz_Ext_07

Hari ini, Honda Malaysia berbesar hati untuk melancarkan model baharu bagi jentera hatchback ini dengan menawarkan tiga varian iaitu Gred S, Gred E dan model spesifikasi tertinggi, Gred V. Berbanding di Thailand, Honda membawakan enam varian bagi pasaran negara tersebut. Namun bagi Malaysia, ternyata ia sudah cukup berbaloi menerima tiga varian yang ditawarkan dengan harga mampu milik.

Bagi Gred S, harga atas jalan berserta insurans yang ditawarkan ialah RM72,800. Manakala bagi varian Gred E pula ialah RM79,800 dan model spesifikasi tertinggi iaitu Gred V berharga RM87,800.

Selain harga yang berpatutan, Jazz serba baharu ini juga dibangunkan dengan misi untuk menjadi “Kompak Dengan Fungsi Terbaik di Dunia”. Justeru, empat elemen yang dipertaruhkan (seperti mana yang dinyatakan pada perenggan pertama) diharap mampu bersatu bagi mempersembahkan penampilan yang lebih segar buat model hatchback ini.

Dengan identiti reka bentuk baharu Honda iaitu “Exciting H Design!!!”, ternyata mampu memberikan imej yang lebih agresif dan pastinya cukup sporty untuk Jazz ini. Menampilkan konsep rekaan “Crossfade Monoform Exterior” yang lebih berdinamik, ternyata memberikan karekteristik tersendiri buat Jazz ini.

Jazz_Ext_08

Malah gabungan ruang kabin yang sporty dan dinamik dengan bahagian bawah badan yang lebih rendah, sekali gus memberi penekanan terhadap kestabilan dan kelebaran rekaannya.

Jazz ini masih dikuasakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC tetapi yang telah diberi penambah baikan. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 120 PS pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,600 rpm.

Bagi memantapkan lagi kuasa pemanduan yang lebih berdinamik, ia juga hadir dengan transmisi CVT baharu dengan jenis klac Torque Converter. Tidak dinafikan, transmisi yang ditampilkan oleh Jazz ini lebih menarik dan ‘sedap’ berbanding dengan model City serba baharu (sila baca ulasan pandu uji Jazz baharu versi Siam).

Jazz_Ext_28

Selain itu, Jazz baharu ini juga hadir dengan platform subkompak global baharu Honda dengan struktur yang lebih ringan dan tegar, sekali gus memberikan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi. Honda mendakwa Jazz serba baharu ini boleh mencapai penggunaan bahan api sebanyak 17.81 km untuk setiap liter.

Malah keluasan kabin yang dipertaruhkan memberikan Jazz serba baharu ini tampil lebih istimewa berbanding dengan model sebelumnya. Walau pun berkongsi platform dengan City serba baharu, namun Jazz tampil dengan jarak roda yang lebih panjang.

Dengan ukuran 3,955 mm bagi panjang, kelebaran 1,694 mm, tinggi 1,524 mm dan jarak roda 2,530 mm, tidak hairanlah Jazz baharu ini mempunyai rauang dalaman yang lebih luas dan pastinya menambahkan keselesaan buat pemandu serta penumpang.

Jazz_Int_26

Melengkapi keistimewaan yang ditonjolkan daripada sudut dalamannya, Jazz baharu ini menampilkan tempat duduk “Magic Seat” dengan empat mod konfigurasi yang lebih baik berbanding model sebelumnya. Malah ia juga memberikan peningkatan ketara pada bahagian bahu dan kaki penumpang belakang serta ruang kargo.

Antara elemen dalaman yang ditampilkan ialah ia dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh Advanced Touch Audio bersaiz tujuh inci dengan fungsi MirrorLink (bagi varian V). Turut ditawarkan ialah paparan meter pelbagai maklumat dan sistem pendingin hawa automatik dengan panel kawalan sentuh (juga bagi varian V) dan sistem Kemasukan Pintar serta Butang Penghidup Enjin (varian E dan V).Sistem kawalan telefon bebas tangan dan Kawalan Pengecaman Suara juga diletakkan pada stereng multi fungsi (varian V).

Tidak seperti model bagi pasaran Thailand (seperti mana yang Info Kereta pernah pandu uji di Hua Hin, Thailand), Jazz versi Malaysia hasil pemasangan tempatan ini (unit CKD) tidak dilengkapi dengan pedal penukar gear (paddle shifters), mod ECON, kawalan kelajuan, kamera undur dan navigasi (diletakkan di dalam pakej pilihan).

Ruang kargonya pula boleh memuatkan kapasiti sehingga 400 liter, berbanding hanya 337 liter bagi model terdahulu.

Jazz baharu ini juga dimantapkan dengan sistem suspensi topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan torsion beam pada belakang. Di mana sistem suspensi ini telah diberi penambah baikan bagi memantapkan lagi kestabilan kenderaan sewaktu dipandu. Malah ia juga memberikan kestabilan pada stereng, kurang gegaran dan juga pengendalian yang lebih baik.

Bagi aspek keselamatan, Jazz baharu dipadankan dengan enam beg udara, Emergency Stop Signal (varian E dan V), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) (varian E dan V), kerangka G-CON dan ISOFIX. Malah Jazz baharu ini telah menjalani Ujian Pelanggaran ASEAN NCAP baru-baru ini dan diharap mampu mencapai pengiktirafan lima bintang.

Kesemua tiga varian ini didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu New Tinted Silver (iaitu warna baharu sempena pengenalan Jazz ini), Brilliant Sporty Blue Metallic, Taffeta White, Crystal Black Pearl dan Modern Steel Metallic.

Honda Malaysia turut menawarkan waranti selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dan penyelenggaran untuk setiap 10,000km.

Pembeli Jazz ini juga boleh memberikan kelainan pada imej hatchback ini dengan pilihan Pakej Modulo (kit badan + pedal sports, RM2,650), Pakej Utiliti (lampu kaki + pelapik kargo + trunk organiser + panel pemijak iluminasi, RM1,250) dan buat pertama kalinya ia turut didatangkan dengan Pakej Mugen (kit badan + spoiler belakang + logo Mugen yang keseluruhannya bernilai RM4,900).

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *