Volkswagen Passat… Gaya & prestasi seiring sejalan

By  |  0 Comments

PASSAT_2

Gaya dan prestasi seiringan. Itulah dua perkataan yang sesuai digambarkan untuk Volkswagen (VW) Passat model yang telah dipertingkatkan (facelift) yang diperkenalkan pada April lalu. Di mana ia turut menawarkan spesifikasi yang lebih baik dengan harga yang boleh dikatakan agak kompetitif.

Bagi ‘menggali’ keistimewaan (dan mungkin sedikit kelemahan) Passat ini, Info Kereta mengambil peluang untuk memandu ujinya selama beberapa hari.

Masih mengekalkan ‘jantung’ yang sama iaitu enjin pancitan petrol empat silinder dengan pengecas turbo TSI 1.8 liter berkuasa 160PS dan tork maksimum 250Nm pada 1,500rpm hingga 4,200rpm, boleh dikatakan prestasinya masih mampu memberikan kepuasan yang didambakan.

P1120393

Malah boleh dikatakan ia agak mudah untuk ‘dijinakkan’, dengan hanya memijak sedikit pedal pendikit, ia mampu meluncur mengikut kelajuan yang diingini. Malah ia juga dikatakan mampu dipecut daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam tempoh hanya 8.5 saat dan berupaya mencecah kelajuan maksimum 222km/j.

Namun sedikit keresahan timbul bila mana meter kelajuan menghampiri angka 190km/j, jentera ini dirasakan sedikit beroleng. Jadi, nak tak nak, pedal pendikit terpaksa dilepaskan sedikit bagi mengurangkan kelajuan. Sekali gus memberikan kestabilan yang lebih menyakinkan sewaktu pengendaliannya.

Dipadankan dengan kotak gear Direct Shift tujuh kelajuan, penulis agak berpuas hati dengan pertukaran gear secara automatik yang terasa lancar. Namun jika berada pada tahap gear rendah, kedengaran enjin melahu sedikit mengganggu, malah terasa sentakan sedikit ketika gear ditingkatkan ke tahap tinggi. Mungkin itulah sedikit kelemahan pada teknologi DSG ini.

P1120312

Namun jika inginkan pemanduan yang lebih bertenaga, pilih sahaja mod Sport pada tuil gear. Sama ada menggunakan tuil gear atau pun pedal penukar gear (paddle shifters), anda boleh ‘bermain-main’ dengan gear mengikut corak pemanduan dan kelajuan yang diatur. Malah ledakan kuasa lebih mengaum tatkala mod Sport menguasai pemanduan.

Menurut VW, kombinasi teknologi enjin TSI dan kotak gear DSG memberikan kelebihan pada Passat dalam soal penjimatan bahan api. Di mana ia menawarkan penggunaan bahan api mencecah 7.0 liter bagi setiap 100km bagi gabungan perjalanan di bandar dan lebuh raya.

Berkenaan dengan keupayaan suspensinya, ia boleh dikatakan berada pada tahap sederhana. Menggunakan topang MacPherson bagi kestabilan bahagian hadapan dan Multi-link untuk belakang, agak terasa sedikit olengan badannya terutama bila jentera dipacu laju atau pun ketika melalui permukaan jalan yang kurang rata.

Walau bagaiamana pun, bagi kawalan stereng dan pedal brek, ia cukup responsif dan menyatu walau pun dalam keadaan kecemasan termasuk brek mengejut atau pun mahu mengelak sesuatu ketika jentera dipacu laju.

P1120033

Dengan kerangka bersaiz 4769m (panjang), 1820m (lebar) dan 1470m (tinggi) serta jarak roda 2712m, pengendalian Passat ini tidaklah sesukar mana. Malah ia juga mudah diparkir dan membuat pusingan U, serta mempunyai jejari pusingan sehingga 5.7m.

Daripada segi imejnya, tidak banyak berbeza dengan model Passat sebelum ini. Ia masih mengekalkan ciri-ciri elegan dengan sedikit sentuhan kemewahan pada bahagian luaran dan dalaman.

Kehadiran lampu LED pada lampu utamanya turut menyerlahkan lagi imej hadapan Passat ini. Ditambah pula dengan lampu pencahayaan siang, lampu kabus serta perumah krom yang memberikan sedikit kelainan pada imejnya. Rim bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar 235/45 R17 memberikan pandangan sedikit sporty pada bahagian tepi.

Manakala imej bahagian belakangnya pula tidak berbeza berbanding dengan model terdahulu.

Menjenguk bahagian kabinnya, keluasan ruang yang ditampilkan memberikan kelebihan buat Passat. Cukup selesa, itulah yang sesuai digambarkan tak kiralah sama ada sebagai pemandu mahu pun penumpang. Tempat duduk balutan kulit menjadi pilihan, menambahkan lagi elemen kemewahannya. Bukan itu sahaja, papan pemukanya juga tampil ringkas tetapi nampak eksklusif dan moden.

P1120276

Kehadiran jam analog pada tengah papan pemukanya ternyata penampilan yang sangat bersesuaian, ia nampak agak klasik dan dalam masa yang sama memberikan rasa sedikit kemewahan. Pemukaan papan pemuka dengan sentuhan lembut juga menambahkan imej yang cukup elegan pada jentera ini.

Passat ini tidak menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci, cuma masukkan kunci pada slot yang disediakan dan pulas sahaja tombol penghidup enjin.

Selain itu, antara elemen baharu yang ditampilkan oleh Passat ini ialah sistem sambungan Bluetooth, telefon pintar dan audio streaming yang lebih baik. Malah tempat duduk pemandu juga boleh dilaraskan sebanyak 12 cara dan mempunyai ketetapan memori tersendiri.

Bagi aspek keselamatan pula, Passat ini turut dilengkapi dengan sistem penggera anti kecurian dengan pelumpuh elektronik bagi memberikan pelindungan maksimum terhadap kenderaan daripada dicuri. Selain dilengkapi dengan ciri standard seperti tali pinggang pra-regangan, sistem ISOFIX, enam beg udara, ABS, EBD dan sistem bantuan brek (BA).

PASSAT_4

Dengan harga yang ditawarkan iaitu RM169,888, walau pun harganya sedikit tinggi, namun jika dilihat daripada segi elemen dan kuasa yang ditampilkan, ia agak berbaloi untuk dimiliki.

Spesifikasi :
Enjin : 1.8L TSI 4-silinder sebaris, DOHC, 16-injap
Kuasa maksimum : 159hp@5,000–6,200rpm
Tork maksimum: 250Nm@1,500–4,200rpm
Transmisi : DSG 7-kelajuan
Kapasiti tangki bahan api : 70 liter
Pilihan warna: Candy White, Light Brown, Reflex Silver, Deep Black, Black Oak Brown & Icelandic Grey
Harga atas jalan : RM169,888
 

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *