Honda Jazz 2014 telah diuji di Hua Hin, Thailand

By  |  0 Comments

IMG_2858

Jika di Thailand, Jazz serba baharu ini telah pun selamat dipasarkan bermula 23 Mei yang lalu, untuk pasaran Malaysia, dijangkakan bakal dilancarkan dalam beberapa minggu lagi.

Debaran kian dirasai apatah lagi bermula pada 1 Julai, selama dua minggu, Honda Malaysia telah mula mengadakan siri jelajah promosi ke 42 buah lokasi ke serata Semenanjung Malaysia bagi mempertontonkan model hatchback ini.

SONY DSC

Sebelum ia menjengah ke pasaran tempatan, pertengahan minggu lalu, Honda Malaysia mengundang sekumpulan media permotoran tempatan untuk memandu uji Honda Jazz serba baharu di Hua Hin, Thailand.

Memandangkan rekod jualannya sangat memberangsangkan sejak diperkenalkan pada tahun 2001, Honda Jazz berjaya terjual lebih 4.87 juta unit di seluruh dunia. Malahan mengikut rekod Honda Malaysia, Jazz versi Petrol CKD yang diperkenalkan pada Julai 2013 telah berjaya dijual melebihi 6,770 unit dalam tempoh setahun.

Lantas, tidak dinafikan kehadiran Jazz ke Malaysia umpama mencetus satu fenomena apabila ia dilihat sebagai sebuah jentera hatchback yang penuh bergaya dan dalam masa yang sama seronok dipandu. Ini mendorong ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda tertarik dengan Jazz.

SONY DSC

Bagi pasaran Malaysia, ia bakal didatangkan dengan tiga varian iaitu Jazz S, Jazz E dan Jazz V (berbanding enam varian bagi pasaran Thailand).

Sebaik tiba di hotel penginapan di Hua Hin dan ketika itu kelihatan kelibat Jazz serba baharu ini di hadapan mata, terdetik di dalam hati, Jazz generasi ketiga ini bakal meledak ibarat pisang goreng panas bila ia dilancarkan di Malaysia kelak. Puas membeleknya dari segenap ruang luaran dan dalaman, ternyata ia mempunyai personafikasi yang tersendiri.

Biar pun dimaklumkan oleh pihak Honda Malaysia bahawa Jazz serba baharu ini berkongsi platform yang sama dengan City 2014, namun pasti ada keistimewaan yang tersendiri, yang membuatkan penulis berusaha untuk menggeledah dan menyelongkarnya.

Sebelum membaca ulasan pandu uji Jazz baharu ini, penulis ingin memaklumkan bahawa mungkin terdapat perbezaan di antara varian versi SIAM (yang dipandu uji) dengan model versi Malaysia.

IMG_6008

Sebelum sesi pandu uji dimulakan, perkara pertama yang sering kali dilakukan ialah ralit memerhatikan setiap sudut luaran dan dalamannya. Melihat daripada bahagian hadapan, Jazz serba baharu ini ada tempias imej Honda City 2014. Manakan tidak, ia telah mengadaptasikan falsafah konsep rekaan yang sama iaitu “Exciting H Design”, terbaharu dari Honda sendiri.

Pada bahagian hadapannya, terserlah rekaan “Solid Wing Face” yang memberikan penampilan penuh bergaya pada jentera ini. Ditambah pula dengan bar berwarna hitam berkilat di mana terlekatnya logo Honda pada bahagian tengahnya. Diserikan dengan lekukan berwarna perak pada bahagian bawah bar terbabit memberikan kesan yang lebih sporty. Malah bar tersebut turut diapit dengan lampu utama yang turut diberi rekaan baharu menambahkan karakteristik Jazz ini.

Pada sisi kerangka Jazz serba baharu ini, terserlah lekuk garisan yang melintangi sehingga ke bahagian sudut belakang jentera. Ini menimbulkan kesan aerodinamik, bukan setakat pada gaya, bahkan turut membantu seretan angin apabila jentera ini dipacu.

Cermin sisi kedua belah kerangka tampak ringkas. Indikator lampu isyarat turut terletak pada model spesifikasi pertengahan dan tertinggi sahaja. Manakala bagi model spesifikasi paling rendah, indikator lampu isyarat terletak pada sudut konvensional.

Bingkas ke bahagian belakang pula, kelihatan imej yang agak garang sedikit mewarnai paras rupa Jazz pada bahagian belakang. Jika diperhatikan, bahagian belakang Jazz baharu ini sedikit lebar. Ditambah pula dengan penampilan lampu belakang yang sedikit besar dan berlekuk ke tepi. Bukan itu sahaja, hiasan lampu (tetapi tidak berfungsi) disambungkan ke atas dari lampu belakang. Begitu juga dengan kehadiran bar krom berkilat merintangi bahagian pintu bonet belakang.

Memasuki bahagian kabinnya, ternyata imej futuristik cukup terserlah terutamanya pada ruang kokpit. Di mana kekemasannya telah dipertingkatkan, malah ruang kokpitnya juga hampir menyamai Honda City.

SONY DSC

Bagi varian sederhana dan tertinggi, kekemasan plastik pada panelnya memberikan sentuhan yang lebih lembut, berbanding dengan varian paling rendah yang sedikit kasar. Malah terdapat hiasan kekemasan seperti jahitan pada bahagian papan pemuka dan dalaman pintu kedua belah sisi bagi varian tertinggi. Menampakkan sedikit elegen di situ.

Jazz baharu ini juga menampilkan sistem audio sesentuh bersaiz tujuh inci dan bahagian kawalan untuk penyaman udara serta audio seperti sebuah tablet. Fungsinya lebih mudah untuk dikawal dengan konsep sesentuh.

Namun bagi varian terendah, konsep kawalan pada bahagian papan pemuka lebih kepada cara konversional iaitu menggunakan butang.

Bagi panel meter kluster juga direka tampak lebih futuristik. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan sistem One Push Ignition iaitu butang untuk menghidupkan dan mematikan enjin dengan hanya sekali sentuhan dan juga butang Mod ECON.

Roda stereng juga turut ditampilkan dengan butang kawalan audio, alat bebas tangan dan juga butang kawalan kelajuan (cruise control).

Satu lagi elemen yang menarik perhatian pada pendapat penulis ialah terdapat pemegang cawan pada corong penghawa dingin berhadapan dengan tempat duduk pemandu. Jadi kalau letakkan botol air di situ, air boleh sentiasa sejuk. Oh cukup sesuai dengan cuaca panas El Nino yang sedang melanda negara kita sekarang ini (tapi bukan alasan untuk membuatkan puasa anda terencat!)

Berkenaan dengan keluasan ruang dalamannya, ternyata ia cukup praktikal dan selesa. Tambahan pula dengan tempat duduk belakang yang menampilkan teknologi Ultra Seats turut memberikan keselesaan yang jitu buat para penumpang. Malah tempat duduknya boleh dibaringkan secara rata untuk memberikan lebihan ruang pada bahagian kargo. Di mana ruang kargo yang asalnya berkapasiti 337 liter, boleh dipertingkatkan sehingga 400 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Luas bukan?

Secara keseluruhan, Jazz baharu ini berukuran 3,955 mm (panjang), ketinggian 1,524 mm dan lebar 1,694 mm. Sebab itulah ia mampu memberikan ruang yang lebih luas dan selesa berbanding dengan model sebelum ini.

Beralih pula pada prestasi pemanduan dan pengendaliannya.

Ketiga-tiga varian ini dijanakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 120 PS pada 6,600 rpm dan puncak tork 145 Nm pada 4,600 rpm. Umpama kecil-kecil cili padi, Jazz ini mampu dipacu kencang tanpa cela.

Dibantu pula dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan atau CVT (Continuous Variable Transmission) baharu yang dibangunkan di bawah teknologi Honda’s Earth Dream. Di mana ia memberikan kombinasi terbaik bagi prestasi pemanduan dan juga penjimatan bahan api.

IMG_6187

Bagi penulis, teknologi CVT baharu yang ditampilkan oleh Jazz ini mampu bertindak cemerlang. Diperakui, penulis merupakan pemandu kenderaan transmisi manual tegar, namun pengendalian jentera dengan bantuan transmisi CVT ini turut membantu menyalurkan keseronokan dalam pemanduan. Apatah lagi Jazz baharu ini turut tampil dengan mod Sport. Ia menambahkan lagi kegirangan sewaktu pengendaliannya.

Cuma difahamkan untuk model CKD yang bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi, pedal penukar gear (paddle shifter) tidak disertakan. Sebaliknya hanya anjakan pada gear konversional untuk menukar gear dengan mod Sport. Tetapi, rasanya ia bukanlah suatu halangan untuk menikmati prestasi pemanduan Jazz ini.

Sewaktu anjakan gear (secara automatik mahu pun manual), kesan sentakan kurang dirasai dan enjin juga jarang mengaum seperti mana kebanyakan kenderaan yang menggunakan transmisi CVT. Malah pertukaran gearnya juga berlangsung secara lancar.

SONY DSC

Ketika menggunakan mod Sport, adakalanya terleka untuk menukar gear. Dalam beberapa ketika barulah enjin menghantarkan isyarat minta gear ditukarkan nisbahnya melalui bunyi ngauman.

Bukan itu sahaja, bunyi seretan angin ketika jentera dipacu juga agak minima dan lebih senyap serta kurang didengari daripada dalam kabin. Cuma ketika pandu uji ini berlangsung, bunyi seretan tayar yang lebih didengari. Mungkin kerana spesifikasi tayar di Thailand yang agak berbeza jika dibandingkan dengan di Malaysia. Soal kualiti? Mungkin.

Jika ditanya mengenai markah yang selayaknya diberikan dalam soal pengendalian Jazz ini, penulis mahu memberikan 3.5 markah (daripada keseluruhannya 5). Ia memang mampu bertindak cemerlang seperti mana yang dikehendaki. Bukan kerana tubuh badannya yang kecil tetapi ia memang boleh dizahirkan sebagai ‘satu-spesis-kenderaan-yang-mudah-dikendalikan’.

Tidak kiralah sewaktu pemanduan di lebuh raya mahu pun jalan biasa, Jazz memang mudah dikendalikan. Apatah lagi jika mahu membuat pusingan U atau pun memarkirnya.

IMG_6104

Biar pun kecil, Jazz tiada halangan untuk dipandu laju dalam momentum yang diingini. Kestabilannya masih dirasai biar pun ketika melalui jalan berliku mahu pun permukaan jalan yang kurang rata. Olengan badannya juga agak minima. Terasa keselesaan sewaktu pengendaliannya…itu yang penting.

Walau pun sewaktu memandu ujinya di Hua Hin, corak perjalanannya tidaklah mencabar mana. Jalannya yang lurus dan tidak banyak selekoh, hanya pemanduan yang ala kadar sahaja. Walau bagaimana pun, kredibiliti Jazz masih teruji.

IMG_2900

Antara tiga poin yang boleh diberi markah tambahan buat Jazz berhubung dengan pengendaliannya ialah kawalan sterengnya memang cukup responsif, kestabilannya masih dirasai biar pun dipandu laju dan terasa ia lebih mantap berbanding dengan model City (perkara ini juga diperakui oleh rakan satu pasukan dari Paultan.org).

Untuk Jazz baharu ini, ciri-ciri keselamatan yang ditampilkan termasuklah enam beg udara (model terdahulu cuma ada dua beg udara sahaja), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki (HSA) selain ABS dan EBD.

Secara konklusi mengenai pandu uji varian ‘made-in-Siam’ ini, sesungguhnya Jazz serba baharu merupakan sebuah jentera hatchback yang mampu menzahirkan kepuasan pemanduan dan pengendalian yang tidak terhingga. Prestasi dan kualitinya agak berbeza berbanding dengan model sebelum ini. Diakui, penulis turut ‘jatuh-cinta-pandang-pertama’ dengan Jazz ini.

Berkenaan dengan harganya, setakat ini Honda Malaysia menjawab, “Biarlah rahsia…”. Tetapi dijangkakan bakal dijual pada harga RM75,000. Perkembangan selanjutnya, akan diwar-warkan pada hari pelancarannya.

Nota kaki : Tetapi jika anda perhatikan foto model Jazz baharu yang dipertontonkan dalam siri jelajah promosi yang sedang berlangsung tatkala ini, rasanya varian tersebut tidak dilengkapi dengan pedal penukar gear, butang kawalan kelajuan, butang ECON dan juga spoiler pada bahagian belakang. Untuk kepastian, nantikan perkembangan selanjutnya pada hari pelancaran Jazz serba baharu ini kelak.

Satu lagi info tambahan, varian versi Malaysia tidak akan didatangkan dengan warna kuning (ala Bumblebee) ini, tidak seperti varian Siam. Menurut Honda, warna yang ditawarkan adalah seperti model kenderaan Honda lain yang dipasang di kilang Honda yang terletak di Pegoh, Melaka.

Galeri Honda Jazz serba baharu (versi Thailand)

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *