Honda Jazz 2014 bersedia untuk ditempah!

By  |  0 Comments

IMG_2673

Selepas Honda City baharu yang dilancarkan pada 20 Mac lalu, sebuah lagi model daripada Honda bakal menghangatkan lagi industri automotif tempatan akan tiba di pasaran tidak lama lagi. Honda Jazz generasi ketiga ini mengalami transformasi luaran yang lebih praktikal, bergaya dan kompak. Pastinya mampu menambat perhatian mata yang memandang terutamanya generasi muda masa kini.

Jazz serba baharu ini hadir dengan keselesaan dalaman yang lebih optima, penjimatan bahan api yang efisien, penuh bergaya dan pastinya mampu menyalurkan prestasi pemanduan yang diingini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, Honda Jazz berjaya terjual lebih 4.87 juta unit di seluruh dunia. Bahkan, diperakui model ini begitu popular di merata dunia termasuklah Malaysia sendiri. Ia seakan mencipta satu fenomena di mana ramai yang inginkan sebuah jentera hatchback yang penuh bergaya dan dalam masa yang sama seronok dipandu, lantas Jazz merupakan pilihan yang tepat.

Malah pada Julai 2013, Honda Malaysia telah memperkenalkan pula Jazz versi Petrol CKD di mana ia telah berjaya dijual melebihi 6,770 unit dalam tempoh setahun. Ini menunjukkan satu perkembangan yang cukup memberangsangkan.

Maka, untuk Jazz serba baharu ini, Honda Malaysia juga telah nekad untuk memperkenalkan unit CKD kerana berpendapat rakyat Malaysia semakin mempercayai kredibiliti model pemasangan tempatan. Malah harganya juga pasti lebih rendah jika dibandingkan dengan unit CBU.

Untuk Jazz serba baharu ini, ia bakal didatangkan dengan tiga varian iaitu Jazz S, Jazz E dan Jazz V. Ketiga-tiga varian ini dijanakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 120 PS pada 6,600 rpm dan puncak tork 145 Nm pada 4,600 rpm.

Ia juga dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan atau CVT (Continuous Variable Transmission) baharu yang dibangunkan di bawah teknologi Honda’s Earth Dream yang memberikan kombinasi terbaik bagi prestasi pemanduan dan juga penjimatan bahan api.

IMG_2681

Berukuran 3,955 mm panjang, ketinggian 1,524 mm dan lebar 1,694 mm, Jazz serba baharu ini juga tampil dengan keluasan ruang dalaman yang optima dan pastinya mampu menyalurkan keselesaan yang lebih jitu buat pemandu dan penumpangnya. Malah elemen yang lebih inovatif turut ditampilkan termasuklah tangki bahan api di bahagian tengah dan juga tempat duduk penumpang belakang ‘Ultra Seat’ yang mudah laras.

Bagi penampilan luaran, Jazz baharu ini tampil dengan identiti rekaan yang lebih bergaya, apatah lagi dengan kehadiran “Solid Wing Face” yang dibangunkan mengikut konsep “Exciting H Design!!!”.

Manakala bagi bahagian kabinnya, ia turut menawarkan ruang kokpit yang lebih futuristik dan praktikal. Malah ia turut menampilkan skrin audio bersaiz tujuh inci, panel penyaman udara sentuhan auto, akses pintar dengan butang penghidup enjin dan sebagainya.

Bagi Honda, aspek keselamatan bukanlah suatu perkara yang harus diketepikan, malah ia menjadi keutamaan buat pengeluar kenderaan dari Jepun ini. Untuk Jazz baharu ini, ciri-ciri keselamatan yang ditampilkan termasuklah enam beg udara (model terdahulu cuma ada dua beg udara sahaja), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki (HSA) selain ABS.

Honda Malaysia dijangkakan bakal melancarkan model Jazz serba baharu ini pada pertengahan Julai ini.

Namun bermula hari ini sehingga 15 Julai, Honda Malaysia telah mula menerima tempahan bagi model Jazz baharu ini. Dengan tawaran hebat termasuklah kadar faedah rendah sehingga 2.53 peratus, pembeli yang menempah model hatchback ini turut berpeluang memenangi pakej percutian ke Maldives.

Malah selama dua minggu ini, Honda Malaysia mula menganjurkan siri jelajah promosi di 42 buah lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia. Untuk mengetahui lokasi siri jelajah promosi ini, sila layari laman web rasmi www.honda.com.my.

Minggu lalu, Info Kereta telah pun diundang oleh Honda Malaysia untuk memandu uji Honda Jazz baharu ini di Hua Hin, Thailand. Ulasan mengenai sesi pandu uji ini akan dipaparkan tidak lama lagi.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *