Isuzu D-Max V-Cross 3.0L menyerlahkan keunggulannya

By  |  0 Comments

DMAX_02

Krew Info Kereta kini berada di Pulau Pinang bagi memandu uji model pikap Isuzu D-Max V-Cross.

Sebelum mengulas mengenai pengalaman memandu ujinya, pasti anda tertanya-tanya, adakah ia merupakan model terbaharu yang diperkenalkan oleh Isuzu?

D-Max V-Cross merupakan varian baharu bagi D-Max generasi kedua. Menariknya tentang varian ini ialah ia telah dikuasakan oleh enjin generasi baharu yang pastinya lebih mantap dan bertenaga. Ia turut dilengkapi dengan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) yang bergabung dengan enjin berkapasiti 3.0 liter bagi menghamburkan kuasa dan tork yang lebih unggul.

20140616_110246

Hadir dengan tiga varian iaitu D-Max V-Cross 3.0 manual, D-Max V-Cross 3.0 automatik dan varian tertinggi iaitu V-Cross Safari.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida, pengenalan varian V-Cross 3.0L ini diharapkan dapat menarik perhatian lebih ramai rakyat Malaysia yang inginkan sebuah trak pikap yang memiliki prestasi luar biasa terutamanya dengan pecutan dan kuasa tork yang lebih tinggi.

Varian V-Cross 3.0L ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan puncak tork 380 Nm pada 1,800 hingga 2,800 rpm.

Penggunaan teknologi VGS juga membolehkan lengkuk kuasa diagihkan dengan lebih sekata. Maka pemanduan lebih responsif dengan kuasa yang begitu menyerlah. Dalam masa yang sama, ia turut menawarkan penjimatan bahan api yang lebih efisien dan tahan lasak.

20140616_110459

Biar pun masih berkongsi platform dengan varian 2. 5 liter, namun V-Cross 3.0 lebih terserlah dengan imej premiumnya. Terutamanya bagi V-Cross Safari yang merupakan model eksklusif yang tampil sedikit berbeza. Dilengkapi dengan warna Venetian Orange Mica, ia juga memiliki pelindung bampar besar berwarna kelabu dan gril radiator dipadankan dengan garis-garis kerangka D-Max yang tampil mantap.

Malah rim dengan kekemasan berwarna kelabu gelap dan rekaan jejari yang lebih eksklusif membantu menyerlahkan lagi imej varian ini.

Pada bahagian belakang pula, kehadiran aero spoiler menjadi daya tarikan. Sementara V-lid yang lebih praktikal, boleh dikunci dengan mudah dan ringan, bagi memastikan barangan yang tersimpan di dalamnya berada dalam keadaan selamat dan kering.

Roof rail berwarna hitam juga tampil sporty menyerlahkan lagi imej varian ini.

Bagi ruang dalamannya, V-Cross Safari tampil dengan tempat duduk yang dibaluti kulit Itali lebih premium. Ia dijahitkan dengan benang berwarna oren dan sulaman logo V-Cross Safari pada bahagian penyandarnya.

Malah model ini juga dilengkapi dengan pemain multimedia DVD Isuzu Sat Nav dan kamera undur.

Bagi varian V-Cross 3.0 manual dan auto, ia hadir dengan empat pilihan warna iaitu Cosmic Black Mica, Garnet red Mica, Titanium Silver Metallic dan Splash White.

Dengan harga atas jalan berserta insurans RM101,343.90 (V-Cross 3.0 MT), RM107,459.90 (V-Cross 3.0 AT) dan RM118,485.90 bagi V-Cross 3.0 Safari, kesemua model ini bakal mula dipamerkan di semua bilik pameran Isuzu pada 20 Jun ini.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *